Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerajaan perpaduan tak demokratik, tak pragmatik
Diterbitkan:  Feb 27, 2020 10:37 AM
Dikemaskini: 2:37 AM

Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) tidak bersetuju dengan cadangan penunuhan kerajaan perpaduan yang dibayangkan Dr Mahathir Mohamad kerana ia disifatkan sebagai “tidak pragmatik” dan “tidak demokratik”.

Malah, kata presidennya, Mohamed Arshad Raji, cadangan tersebut merupakan satu "autokrasi".

“Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan kerajaan perpaduan terdiri daripada anggota parlimen secara individu, bukan berasaskan perwakilan parti, kemungkinannya dialah (Mahathir) perdana menterinya.

“Idea kerajaan perpaduan itu tidak pragmatik, malah tidak demokratik. Dia sebagai perdana menteri memegang kuasanya. Secara dasarnya, ia merupakan autokrasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, memandangkan PH merupakan blok yang menerima paling banyak sokongan anggota parlimen, maka merekalah yang wajar diberikan peluang untuk membentuk kerajaan, meskipun kerajaan itu nanti ialah kerajaan minoriti.

Malah, tambahnya, Patriot turut menolak pilihan raya mengejut memandangkan kos yang tinggi, sedangkan dalam keadaan negara berdepan dengan banyak ketidakpastian yang mengancam ekonomi, tempoh beberapa bulan untuk membentuk kerajaan dan kabinet baru adalah tempoh yang terlalu lama.

Setelah beberapa siri gerakan untuk mengubah kerajaan, semalam Mahathir sendiri mengakui beliau meletak jawatan sebagai perdana menteri kerana tidak sanggup Umno menyertai kerajaan campuran yang ingin dibinanya.

Katanya yang turut meminta maaf atas kekecohan politik yang melanda negara itu, ekoran peletakan jawatannya itu, peluang menukar kepemimpinan memang ada.

Sekiranya dia masih disokong untuk terus menjadi perdana menteri, maka beliau akan kembali, namun jika tidak, dia akan menerima siapa sahaja yang dipilih. 

Tidak lama selepas itu, PH dalam satu sidang media mengesahkan wakil rakyat mereka mencalonkan Presiden PKR Anwar Ibrahim walaupun sebelum itu menyatakan menyokong Dr Mahathir. 

Keputusan itu, kata mereka, dicapai sebulat suara selepas Mahathir tidak bersetuju mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PH yang juga diadakan sehari sebelum itu.

“Patriot mahu melihat melihat mandat rakyat yang pilihan raya umum (PRU) ke-14 dihormati, itulah baru demokratik.

“Kerajaan pintu belakang yang dibentuk bersama wakil daripada parti pembangkang tidak demokratik.

“Begitu juga dengan kerajaan perpaduan yang disebut-sebut itu. Semua ahli politik mesti menghormati prinsip demokrasi,” kata Mohamed Arshad lagi.

Dengan perkembangan setakat ini, Anwar mendapat sokongan paling banyak untuk dilantik perdana menteri, diikuti Mahathir yang mendapat sokongan wakil rakyat Bersatu, GPS dan blok Azmin Ali.

Bagaimanapun tiada mana-mana pihak mendapat kerusi majoriti mudah bagi membentuk kerajaan.

Wakil rakyat BN dan PAS pula mahu pembubaran parlimen dibuat, sementara wakil-wakil rakyat dari parti lain belum dapat dipastikan sokongan mereka. 

Lihat Komen
ADS