story image
mk-logo
Berita
BSH tambahan, tunai untuk kakitangan bendung Covid-19
Diterbitkan:  Feb 27, 2020 9:45 AM
Dikemaskini: 1:13 PM

Perdana Menteri interim, Dr Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM20 bilion.

Pakej ransangan tersebut sepatutnya diumumkan oleh kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini tetapi ditangguhkan selepas kerajaan dibubarkan.

Mahathir mengumumkan beberapa langkah termasuk bantuan wang tunai dan insentif untuk membantu negara berdepan ketidaktentuan ekonomi akibat penularan virus Covid-19 yang telah menjangkiti lebih 82,000 orang di seluruh dunia dan meragut lebih 2,800 nyawa.

Antara langkah-langkah yang diumumkan adalah seperti berikut:

1) Bayaran one-off sebanyak RM600 kepada pemandu teksi, pemandu bas pesiaran, pemandu pelancong dan penarik beca yang berdaftar.

2) Elaun khas RM400 sebulan kepada doktor dan kakitangan perubatan yang terlibat secara langsung dalam menangani wabak Covid-19.

3) Bayaran RM200 untuk kakitangan imigresen dan kakitangan barisan hadapan yang terlibat dalam membendung Covid-19 dari Februari 2020 sehingga wabak berkenaan berakhir.

4) Bantuan Sara Hidup (BSH) yang sepatutnya diberikan pada Mei 2020 akan diawalkan iaitu pada Mac 2020.

5) Tambahan RM100 kepada setiap penerima BHS akan dikreditkan ke dalam akaun bank pada bulan Mei dan tambahan RM50 akan disalurkan secara e-tunai.

6) Pelepasan cukai individu sehingga RM1,000 untuk perbelanjaan pelancongan dalam negeri.

7) Baucer digital bagi pelancongan domestik sehingga RM100 seorang untuk penerbangan domestik, keretapi dan penginapan di hotel berlesen

8) Kadar caruman minimum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dikurangkan sebanyak empat peratus iaitu daripada 11 peratus kepada 7 peratus berkuat kuasa sehingga akhir tahun.

Mahathir, dalam ucapannya berkata Malaysia pernah mengalami situasi yang sama ketika penularan wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) melanda Asia Timur hingga menyebabkan keluaran dalam negara kasar menyusut dari 7.1 peratus pada suku ketiga 2002 kepada 4.6 peratus pada suku yang sama tahun berikutnya.

Bagaimanapun, beliau berkata hasil daripada pakej rangsangan ekonomi yang komprehensif, kedudukan ekonomi Malaysia pulih kepada 6.5 peratus pada suku keempat tahun 2003.

“Insya-Allah, ini boleh kita ulangi dengan pakej rangsangan ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Mahathir berkata akibat daripada wabak Covid-19, produk domestik kasar negara dijangka berkisar antara 3.2 peratus hingga 4.2 peratus.

"Saya percaya pakej rangsangan ekonomi akan membolehkan ekonomi Malaysia mencapai titik tertinggi dalam julat. Dalam merumuskan pakej rangsangan, kerajaan melaksanakan berhemat berhubung dengan kedudukan fiskalnya," katanya.

Namun, kata Mahathir akibat daripada rangsangan ekonomi, defisit fiskal Malaysia dianggarkan meningkat sedikit daripada sasaran 3.2 peratus daripada keluaran dalam negara kasar kepada 3.4 peratus.

“Kerajaan juga menyedari bahawa pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi tidak boleh dilaksanakan hanya satu pihak sahaja.

“Oleh yang demikian, kerajaan menyeru pihak swasta secara langsung dan tidak langsung turut terlibat bagi memastikan pakej ini berjaya,” katanya.

Mahathir juga mengucapkan terima kasih kepada petugas awam barisan hadapan di dalam memerangi wabak Covid-19 yang setakat ini menjangkiti 22 orang di Malaysia.

“Saya ingin ucap setinggi-tinggi penghargaan kepada para doktor, jururawat, kakitangan perkhidmatan kesihatan, pegawai imigresen dan pegawai lain di barisan hadapan yang bertungkus lumus melindungi Malaysia dari wabak Covid-19.

“Penularan penyakit Covid-19 di Malaysia telah terkawal, dengan semakin ramai pesakit telah beransur pulih daripada penyakit ini.," katanya.

Langkah-langkah lain dari pakej rangsangan ekonomi adalah:

1) Penangguhan ansuran bulanan cukai pendapatan bagi perniagaan yang terjejas dalam sektor pelancongan.

2) Diskaun sementara selama enam (6) bulan sebanyak 15 peratus daripada bil elektrik secara bulanan bagi hotel, agensi pelancongan, syarikat penerbangan, pusat membeli belah, pusat konvensyen dan pameran.

3) Pengecualian levi Tabung Pembangunan Sumber Manusia bagi hotel dan syarikat pelancongan.

4) Pengecualian cukai perkhidmatan bagi hotel dari Mac hingga Ogos 2020.

5) Kemudahan bantuan khas RM2 bilion bagi perusahaan kecil dan sederhana pada kadar 3.75 peratus oleh Bank Negara.

6) Pengurangan kadar sewa premis kepada penyewa di lapangan terbang, dan juga akan mengurangkan caj pendaratan dan parkir di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

7) RM100 juta geran-padanan kepada Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) untuk membiayai tambahan 40 ribu pekerja daripada sektor pelancongan dan sektor lain yang terkesan.

8) RM50 juta subsidi pembiayaan kursus jangka pendek dalam bidang digital dan berkemahiran tinggi kepada 100,000 rakyat Malaysia.

9) Skim Insurans Pekerjaan akan menaikkan kos latihan yang boleh dituntut dari RM4,000 kepada RM6,000 bagi sektor yang terjejas serta elaun latihan harian RM30 bagi pelatih.

10) Pelepasan cukai individu sehingga RM1,000 untuk perbelanjaan pelancongan domestik.

11) Bank Negara menyediakan kemudahan makanan agro bernilai RM1 bilion pada kadar 3.75 peratus untuk mempromosikan pengeluaran makanan untuk permintaan domestik dan eksport.

12) RM10 juta untuk Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) untuk menyediakan kemudahan simpanan makanan untuk membantu mengurangkan harga makanan.

13) Pemberian RM1,000 kepada 10,000 usahawan tempatan untuk mempromosikan penjualan produk mereka di platform e-dagang.

14) RM20 juta kepada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk mengubah Pusat Internet Desa menjadi hab e-dagang.

15) Relaksasi prosedur kewangan pada tahun 2020 untuk mempercepat pelaksanaan projek.

16) Menggalakkan pelaburan berkualiti dalam projek berkaitan solar, serat dan Tenaga Nasional Berhad.

17) Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Malaysia akan mengecualikan bagi tempoh 12 bulan, yuran penyenaraian di papan Leading Entrepreneur Accelerator Platform (LEAP) dan di papan Access, Certainty, Efficiency (ACE), serta syarikat yang bermodal pasaran kurang RM500 juta yang ingin tersenarai dalam papan utama

18) BNM akan menyediakan Kemudahan Automasi dan Pendigitalan PKS bernilai RM300 juta.

19) Kerajaan akan membenarkan Elaun Modal Dipercepatkan selama tempoh dua tahun untuk perbelanjaan ke atas mesin dan kelengkapan, termasuk ICT.

20) Kerajaan akan menyediakan potongan cukai ke atas kos pengubahsuaian premis perniagaan sehingga RM300,000

21) Mengecualikan duti import dan cukai jualan ke atas pengimportan dan pembelian peralatan untuk operasi pelabuhan untuk tempoh 3 tahun bermula 1 April 2020.

ADS
Paling Popular
Terkini
ADS