Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
LANGSUNG: Anwar yakin dapat sokongan 'MP tak gembira' di pihak satu lagi

Jumaat hari ini, bermakna kemelut perebutan kuasa politik ekoran penjajaran kuasa yang cuba dilakukan sejak Ahad lalu memasuki hari keenam.

Semalam perdana menteri interim, Dr Mahathir Mohamad, berkata hal itu akan cuba diselesaikan di Dewan Rakyat melalui sidang khas pada 2 Mac.

Bermakna, keadaan tidak menentu sekarang akan berlanjutan sekurang-kurangnya untuk empat hari lagi.

Malaysiakini sekali lagi membawa secara langsung perkembangan ini.

LANGSUNG

11.20 malam: Presiden PKR, Anwar Ibrahim tetap yakin bahawa Pakatan Harapan mempunyai jumlah sokongan ahli parlimen yang cukup, termasuk dari ahli parlimen pihak 'satu lagi' yang "tidak gembira".

"Semua ahli parlimen yang menyokong saya sudah menyatakan sokongan secara individu.

"Saya tahu hakikat bahawa sesetengah ahli parlimen di 'pihak satu lagi' tidak berpuas hati bahawa pemimpin parti mereka telah mencuri suara mereka.

"PH mempunyai sokongan yang cukup," katanya.


10.40 malam: Adun Sabah yang dilantik, Jaffari Walliam meletakkan jawatan dari PKR, lapor Bernama yang memetik bahawa tindakan itu dibuat selepas hilang kepercayaan dalam kepemimpinan presidennya, Anwar Ibrahim.

Laporan itu memetik Jaffari - yang merupakan ketua bahagian PKR Libaran - mengatakan bahawa 3,144 daripada 4,000 ahli di bahagian itu juga keluar parti, termasuk 32 daripada 38 pemegang jawatan di bahagian itu.

Peletakan jawatan itu bermakna PKR Libaran dibubarkan.

Jaffari dilaporkan berkata keputusan untuk keluar dibuat selepas bekas timbalan presiden PKR Azmin Ali dan bekas naib presiden Zuraida Kamaruddin dipecat daripada parti itu.

"Kami telah hilang kepercayaan terhadap presiden parti (Datuk Seri Anwar Ibrahim), yang telah terbukti gagal menguruskan parti.

"Presiden hanya mementingkan kelompok tertentu dan meminggirkan yang lain, terutama pejuang asal yang berkorban (untuk parti) sepanjang 20 tahun," katanya dipetik pada sidang media di Sandakan.

Beliau dilaporkan berkata beliau menyokong Perdana Menteri sementara Dr Mahathir Mohamad untuk kekal sebagai perdana menteri, dan untuk Mohd Shafie Apdal untuk terus menjadi ketua menteri Sabah.


10.40 malam: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Redzuan Yusof menegaskan bahawa keputusan parti itu untuk menamakan presidennya, Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri adalah keputusan yang kukuh.

Redzuan berkata demikian sebagai menyangkal kenyataan seorang lagi Ahli MPT Bersatu, A Kadir Jasin yang berkata keputusan menamakan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri bukan dibuat oleh MPT.

"Itu, tak tahu la, itu pendapat dia, saya pun tak tahu, apa yang kita lihat hari ini, saya nampak sokongan terhadap Muhyiddin solid (kukuh), kalau Kadir kata tidak, kita baru habis mesyuarat pagi ini dan kenyataan rasmi pun telah dikeluarkan oleh setiausaha agung Bersatu.

"Kalau itu tidak dapat solid, saya tak tahu lagi macam mana jadi solid," katanya.

Redzuan bercakap kepada media ketika ditemui di luar rumah Muhyiddin di Bukit Damansara.

Beliau juga memberitahu pemberita bahawa sudah tiba masanya untuk negara bergerak ke depan.

"... Saya fikir kita mempunyai hasil yang positif dari apa yang kita lihat hari ini, dan semoga kita dapat kembali ke kepemimpinan kita dan mengukuhkan negara ke arah kemakmuran," kata Redzuan.

Ditanya mengenai spekulasi bahawa hasil mesyuarat Bersatu telah membelakangkan prinsip Mahathir untuk tidak bekerjasama dengan Umno, Redzuan mengatakan bahawa ia adalah persepsi.

"Ini adalah persepsi kita tidak boleh mengatakan bahawa orang dalam kumpulan sebagai jahat, perompak dan pencuri.

"Kita mempunyai undang-undang untuk mengatasinya, jadi kita tidak mengorbankan prinsip. Prinsipnya sama dengan apa yang telah kita ambil sebelum ini di Pakatan Harapan," katanya.


9.15 malam: Tokoh wartawan A Kadir Jasin berkata keputusan menamakan Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri bukan dibuat oleh Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti.

Sebaliknya, kata Kadir yang juga anggota majlis itu, mereka tidak dibawa berunding atau dimaklumkan mengenai hal berkenaan.

“Pendirian terakhir MPT yang dibuat dalam mesyuarat malam Isnin lalu ialah Tun Dr Mahathir kekal sebagai perdana menteri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Seorang lagi ahli majlis itu, Rais Hussin ketika dihubungi Malaysiakini berkata ahli MPT cuma tahu tentang Muhyiddin dinamakan sebagai calon perdana menteri melalui kenyataan media.

Ditanya sama ada beliau bersetuju dengan pencalonan Muhyiddin, Rais berkata: "Sudah tentu saya akan bersetuju. Beliau berkebolehan dan mempunyai pengalaman."

Rais juga percaya bahawa Mahathir sendiri setuju untuk mencalonkan Muhyiddin sebagai perdana menteri.


9.10 malam: NGO penggesa pembaharuan sistem pilihan raya, Bersih 2.0 akan mengadakan mesyuarat dengan NGO, esok bagi membincangkan kemungkinan menganjurkan himpunan berhubung kemelut politik negara.

Mesyuarat itu akan diadakan di Petaling Jaya pada pukul 11 pagi esok. Sidang media pada pukul 2.00 petang akan diadakan kemudiannya.

"Sokongan anda diperlukan untuk menyelamatkan negara," kata jawatankuasa pemandu Bersih dalam satu kenyataan.


7.10 petang: Presiden PKR, Anwar Ibrahim meninggalkan Eastin Hotel di Petaling Jaya yang menjadi lokasi mesyuarat awal hari ini.

Namun beliau enggan menjawab soalan wartawan yang menunggunya di lobi hotel.


6.40 petang: Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil dilihat bertemu dengan sekumpulan penyokong PH di lobi Eastin Hotel di Petaling Jaya, yang menjadi lokasi pimpinan tertinggi parti gabungan itu mengadakan pertemuan.

Fahmi didengar memberi jaminan kepada para penyokong bahawa para pemimpin PH sedang berusaha.

"Kita perlukan sikit lagi," katanya, dipercayai merujuk kepada jumlah kerusi yang diperlukan untuk menyokong presiden PKR, Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri.

Pada masa yang sama, Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar (PKR) dan Ahli Parlimen DAP Iskandar Puteri Lim Kit Siang dilihat meninggalkan hotel itu.

Mereka enggan memberi sebarang komen apabila dihampiri media.

"Tunggu kenyataan media," kata Lim.


6.21 petang: Ahli baru Bersatu, Zuraida Kamaruddin baru saja meninggalkan kediaman presiden partinya, Muhyiddin Yassin.

Dia enggan menjawab soalan daripada media, sekadar menunjukkan ibu jari.


6.20 petang: Kenyataan media yang dikeluarkan Setiausaha Agung BN, Tengku Adnan Tengku Mansor berkata MCA yang mempunyai dua ahli parlimen dan MIC seorang ahli parlimen menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Presiden MCA Wee Ka Siong mengesahkan perkara ini dengan Malaysiakini.

"Ya," katanya ringkas apabila diminta mengesahkan sokongan terhadap Muhyiddin.

Beliau menambah bahawa MCA akan mengeluarkan kenyataan kemudian.

PBRS yang merupakan komponen BN dengan 1 kerusi, belum lagi mengisytiharkan pendirian.

Ini bererti Muhyiddin mempunyai sokongan 96 ahli parlimen dari Bersatu, PAS, Umno, MCA dan MIC.

PH yang mencalonkan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri mempunyai 92 sokongan ahli parlimen dari PKR, DAP dan Amanah.


6.00 petang: Umno dan PAS yang masing-masing memegang 39 dan 18 kerusi parlimen bersetuju mencalonkan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri untuk perkenan Agong.

Terdahulu, kenyataan media Bersatu menyebut bahawa "36 ahli parlimen" mereka menghadiri mesyuarat. Bersatu sebelum ini hanya mempunyai 26 ahli parlimen. 10 ahli parlimen lain dipercayai merupakan kumpulan Mohamed Azmin Ali yang meninggalkan PKR.

Dengan perkembangan ini, Bersatu, PAS dan Umno kini mempunyai 93 sokongan ahli parlimen.

PH yang mencalonkan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri mempunyai 92 sokongan ahli parlimen dari PKR, DAP dan Amanah.


5.25 petang: Rumah Muhyiddin, Bukit Damansara - Anggota baru Bersatu iaitu Zuraida Kamaruddin, Saifuddin Abdullah dan Willie Mongin kini berada di rumah presiden parti itu.

Turut bersama ialah anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Redzuan Yusof.


5.15 petang: Majlis Presiden PH kekal yakin Anwar Ibrahim memiliki sokongan terbesar anggota parlimen yang ditemu duga Yang di-Pertuan Agong beberapa hari lalu.

"Majlis Presiden percaya bahawa Anwar wajar diberi peluang untuk menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk membuktikan keyakinan majoriti anggota parlimen terhadap beliau," kata PH dalam kenyataan.

PH berkata mereka meletakkan kepercayaan kepada Agong untuk mencari penyelesaian dalam proses pelantikan perdana menteri.


5 petang: Pengerusi Umno Johor Hasni Mohammad mengangkat sumpah sebagai menteri besar yang baru.

Beberapa sumber yang dekat dengan istana berkata acara itu diadakan di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.

Terdahulu, beberapa adun Umno dan Bersatu yang dihubungi Malaysiakini menutup mulut berkenaan acara angkat sumpah tersebut.


4:45 petang: Dr Mahathir Mohamad enggan menjawab sebarang soalan dikemukakan wartawan semasa beliau ditemui di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur petang ini. 

Perdana menteri interim itu ditemui media ketika beliau meninggalkan suatu persidangan antarabangsa. 

Antara soalan yang ditanya kepada Mahathir ialah sama ada beliau bersetuju atau tidak apabila Bersatu mencalonkan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri untuk dipertimbangkan oleh Agong.  


4.35 petang: Sumber yang dekat dengan kepemimpinan tertinggi Bersatu mengesahkan 10 ahli parlimen - diketuai Azmin Ali - menyertai parti itu hari ini.

Satu-satunya ahli parlimen yang tidak menyertai Bersatu ialah wakil kawasan Ranau, Jonathan Yasin.

Untuk rekod, sebelum ini 11 ahli parlimen PKR mengumumkan keputusan mereka meninggalkan parti itu pada awal minggu ini.

Bagaimanapun semalam - melalui hantaran di Facebook - Jonathan menafikan beliau keluar PKR. Hantaran itu kemudian dipadam.

Tedahulu kira-kira jam 3.30 petang tadi, seorang pembantu Zuraida Kamaruddin menafikan ahli parlimen Ampang itu sudah menyertai Bersatu.


4.18 petang: Bersatu bersetuju mencalonkan presiden mereka, Muhyiddin Yassin, sebagai perdana menteri untuk pertimbangan Yang di-Pertuan Agong.

Setiausaha Agung Bersatu, Marzuki Yahya, berkata hal itu diputuskan dalam mesyuarat ahli parlimen mereka bersama Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Al Bukhary, Kuala Lumpur tadi.

Bagaimanapun Marzuki tidak menyatakan sama ada keputusan tersebut dibuat secara sebulat suara atau tidak, namun menyatakan 36 ahli parlimen Bersatu menghadiri mesyuarat tersebut.

Untuk rekod Bersatu hanya mempunyai 26 wakil di Dewan Rakyat sebelum ini. Tambahan 10 ahli parlimen itu dipercayai merujuk kepada kumpulan Azmin Ali yang memang disebut-sebut bakal menyertai parti berkenaan.


4 petang: Setakat ini Yang di-Pertuan Agong masih belum dapat memutuskan ahli parlimen mana yang mendapat sokongan majoriti anggota Dewan Rakyat.

Hal itu disahkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadli Shamsuddin, dalam kenyataannya sebentar tadi.

Kata Ahmad Fadli, tindakan seterusnya yang akan diambil Agong ialah berhubung dengan semua parti yang memiliki wakil di Dewan Rakyat.

Kata Ahmad Fadil, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan dengan keputusan speaker Dewan Rakyat untuk tidak memanggil Mesyuarat Khas Dewan Rakyat pada Isnin depan.


3.45 petang: Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador, dan Panglima Angkatan Tentera Affendi Bujang, selesai mengadap Yang di-Pertuan Agong.

Bercakap kepada media selepas itu, Abdul Hamid berkata, mereka hadir atas titah perintah Agong yang mahukan taklimat mengenai tahap keselamatan negara ketika ini.

"Alhamdullilah, kami dah pun sempat taklimatkan, keadaan di seluruh negara tenang, cuma suhu meningkat.

"Saya menyeru semua pemimpin politik dan pengikut mereka supaya jalankan kegiatan politik mereka mengikut perlembagaan, dengan penuh tanggungjawab, elakkan kenyataan provokatif dan kepada orang ramai, hentikan spekulasi tak logik," katanya.

Beliau juga berkata polis sudah membuka kertas siasatan mengenai tindakan pihak tertentu yang mendakwa mengetahui pelbagai perkara dalam istana.

"Bagaimana orang luar boleh tahu (macam-macam) dengan jumlah undi dan sebagainya.

"Jangan main-main dengan perkara macam ini," kata Abdul Hamid yang turut memaklumkan beliau sudah mengarahkan polis mengambil tindakan yang sewajarnya.

Menurut beliau lagi, walaupun pihak berkuasa menghormati hak bersuara, ia mestilah dalam lingkungan undang-undang negara.

"Hati-hati jangan sampai melepasi batasan undang-undang," katanya.


3.30 petang: Bekas naib presiden PKR, Zuraida Kamaruddin, tidak mengemukakan sebarang borang permohonan menyertai mana-mana parti, kata seorang pembantunya.

Bekas setiausaha politik ahli parlimen Ampang itu, Nor Hizwan Ahmad, berkata setakat ini Zuraida masih ahli parlimen bebas selepas PKR memecatnya pada 24 Feb lalu.

"Berdasarkan maklumat yang saya ada, setakat ni perkara itu (penyertaan ke mana-mana parti) masih dalam perbincangan, sebab semua orang tahu beliau dipecat parti.

"Jadi beliau pada masa ini seorg ahli parlimen yang menganggap dirinya bebas, cuma cenderung kepada kepemimpinan perdana menteri (Dr Mahathir Mohamad)," katanya.

Nor Hizwan juga menafikan Zuraida, Azmin Ali serta beberapa bekas pemimpin PKR bertemu dengan Mahathir lewat pagi tadi sebagai anggota Bersatu.

"Mungkin beliau melihat kawasan sekitar Yayasan Al Bukhary.... saya tak ada maklumat penuh, jadi kita tunggu kenyataan daripada beliau sendiri," katanya. 


3.25 petang: Speaker Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof, dipanggil sekali lagi ke Istana Negara.

Pagi tadi bekas hakim kanan itu sudah mengadap Yang di-Pertuan Agong.

Perkembangan itu berlaku sejurus selepas Mohamad Ariff memutuskan tiada sidang Dewan Rakyat akan diadakan Isnin depan kerana surat pemakluman mengenainya tidak mengikut peraturan.

“Mengikut Peraturan Mesyuarat 11(3), pemberitahuan dan tarikh mesyuarat akan dikeluarkan oleh saya selaku Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

“Setakat ini tiada notis dikeluarkan,” katanya. 


2.45pm: Beberapa pemimpin kanan PH kelihatan di Hotel Eastin di Petaling Jaya. Antaranya Saifuddin Nasution Ismail, Dr Dzulkefly Ahmad, Khalid Samad, Gobind Singh Deo dan Anthony Loke.

Sebelum ini beredar mesej dalam WhatsApp mendakwa Majlis Presiden PH akan bertemu dan memberi taklimat kepada penyokong mereka di situ pada jam 3 petang.

Bagaimanapun pegawai PH berkata, mesej itu palsu.

Ketua Penerangan PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata mereka hadir di situ hanya untuk menghadiri mesyuarat harian biasa.


2.40 petang: Ekoran keputusan Speaker Dewan Rakyat menolak untuk mengadakan sidang khas Isnin ini, seorang pemimpin kanan Umno berkata, itu menjadi petanda jelas bahawa sekarang masa terbaik untuk Dr Mahathir Mohamad berundur.

"Petandanya sudah begitu jelas buat Tun M (Mahathir), masa untuk berundur. Terima kasih atas khidmat dan pengorbanan untuk Malaysia selama ini," tulis Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin, di Instagramnya petang ini.

Mengiringi kenyataan itu ialah gambar surat jawaban daripada Speaker Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof, mengenai keputusan beliau untuk tidak mengadakan sidang pada 2 Mac ini seperti yang diumum Mahathir.

 


2 petang: Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon berkata tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana sudah mendapat “mandat besar” daripada rakyat.

Dalam PRU14, PH menang 37 daripada 40 kerusi DUN. Pembangkang hanya mendapat tiga kerusi.


Raja di istana, PM interim di Yayasan Albukhary

1.10 tengah hari: Beberapa raja-raja Melayu dilihat sudah meninggalkan Istana Negara.

Sementara Di Yayasan AlBukhary, Dr Mahathir Mohamad, pemimpin Bersatu dan kem Azmin juga sedang bermesyuarat.


1 tengah hari: Setelah kira-kira dua jam pertemuan dengan Perdana Menteri Interim Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Al-Bukhary, pemimpin Bersatu dan sejumlah anggota parlimen kem Azmin Ali mula beredar dari bangunan itu.

Rata-ratanya terus beredar tanpa memberhentikan kereta mereka untuk bercakap dengan media yang menunggu di depan pondok pengawal keselamatan.

Anggota Parlimen Alor Gajah dari Bersatu Redzuan Mohd Yusof bagaimanapun sempat ditanya tentang pertemuan tersebut, dan hanya menjawab: "Tunggu malam ini."

Tidak pasti sama ada pertemuan itu sudah tamat atau mereka hanya berhenti seketika untuk sembahyang Jumaat.

Di Istana Negara pula, Sultan Johor, Kedah dan Terengganu dan Raja Perlis dilihat meninggalkan kawasan itu.

Difahamkan Raja-raja Melayu lain masih dalam pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong.


12.22 tengah hari: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Muhammad Faiz Na’aman Malaysia boleh mencontohi Indonesia untuk merealisasikan pembentukan kerajaan perpaduan.

Katanya demi kepentingan nasional, ia perlu berpaksikan kepada Rukun Negara serta perlembagaan negara.

"Malaysia boleh mencontohi bagaimana Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi), (membawa) pesaing jawatannya dalam pilihan raya negara itu, Prabowo Subianto, sebagai menteri pertahanan lantas merealisasikan kerajaan perpaduan versi mereka," katanya.

Dengan itu, kata Muhammad Faiz, penjawat awam juga tidak lagi menganggap diri mereka bekerja di bawah kerajaan parti politik tertentu, sebaliknya berkhidmat demi negara dalam erti kata sebenar. 

Untuk rekod, Prabowo ialah bekas panglima tentera Indonesia yang dua kali melawan Jokowi untuk merebut jawatan presiden republik itu. 

Prabowo kemudian menerima tawaran menyertai kabinet Jokowi di sebalik perpecahan yang berlaku di peringkat rakyat akibat persaingan sengit kedua-dua kumpulan terbabit.


12 tengah hari: Bekas menteri kanan, Dr Rais Yatim, menyertai gesaan agar isu pemilihan perdana menteri diselesaikan di luar Dewan Rakyat.

Menciap di Twitter, anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu yang memiliki latar belakang undang-undang itu mempertikaikan keributan mengenai sidang khas parlimen minggu depan.

"Kenapa masih ribut-ribut konon Dewan Rakyat akan tentukan siapa jadi PM pada 2 Mac?

"Kuasa melantik PM di tangan Yang di-Pertuan Agong bukan di Dewan Rakyat.

"Patut Agong dah buat keputusan hasil dua hari temu duga ahli parlimen," ciapnya.

Justeru Rais - yang kini menjadi pengerusi Bersatu Negeri Sembilan - menggesa peguam negara memberikan "nasihat yang betul" kepada Agong.

"Peguam Negara tolonglah beri nasihat yang betul kepada Agong. Di Dewan Rakyat cuma boleh undi percaya atau tak percaya," katanya lagi.

Kenyataan itu kemudian dibalas bersahaja oleh Senator Yusmadi Yusoff

"Tolonglah nasihat boss Tan Sri tu," ciapnya dipercayai merujuk kepada Mahathir Mohamad selaku pengerusi Bersatu.


11.50 pagi: Sembilan belas daripada 26 bahagian Bersatu di Johor menyokong Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri, kata ketuanya, Mazlan Bujang.

Kenyataan itu dibuat sehari selepas Adun Bersatu bersama-sama BN dan PAS mengambil alih kerajaan Johor, didakwa dengan restu presiden mereka, Muhyiddin Yassin.

Untuk rekod Mahathir - selaku perdana menteri interim - bertegas menolak kerjasama Bersatu dengan Umno secara en bloc dan sebalknya mendakwa Muhyiddin mempunyai pendirian lebih lembut berhubung isu tersebut. 


11.40 pagi: Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa, mengajak semua ahli parlimen mengatakan "Tidak" kepada sidang khas Dewan Rakyat yang dijadual berlangsung pada 2 Mac ini.

Kata Annuar langkah tersebut bukan saja bercanggah dengan perlembagaan malah tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong.

"Semua MP mesti berkata 'Tidak' kepada sidang 2 (Mac) yang diumum perdana menteri interim. Ia tak selaras dengan perlembagaan, tidak mengikut prosedur dan tidak menghormati Agong," ciap beliau.


11.30 pagi: Beberapa kenderaan membawa sultan dan raja Melayu tiba seawal jam 9.20 pagi.

Kenderaan pertama dilihat memasuki pekarangan Istana Negara ialah milik Sultan Johor disusuli Sultan Selangor dan Kelantan kira-kira 10.30 pagi.

Turut dilihat kenderaan Raja Perlis dan disusuli Sultan Pahang, Kedah, Negeri Sembilan, Terengganu dan terakhir, Perak pada jam 11.26 pagi.  


11.20 pagi: Hanif Omar berkata beliau menghantar 'memorandum rakyat' kepada Istana Negara sebagai usaha pelbagai NGO mencadangkan penyelesaian kepada kemelut melanda sekarang.

Bekas ketua polis negara itu yang mendakwa mengetuai kumpulan Gerakan Mempertahankan Kedaulatan Perlembagaan berkata, pembubaran parlimen bukan penyelesaian terbaik bagi mengatasi isu pelantikan perdana menteri.

Sebaliknya kata Hanif, Yang di-Pertuan Agong wajar membuat keputusan dan tidak perlu membubarkan parlimen.

“Kita biarkan Yang di-Pertuan Agong buat keputusan, kalau baginda rasa perlu bubar, kami terima,” katanya.

Bagaimanapun, Hanif enggan mendedahkan kandungan memorandum tersebut kerana beranggapan ia khusus buat Agong.

Terdahulu Hanif bersama seorang lagi bekas ketua polis negara, Musa Hassan, keluar dari Istana Negara kira-kira jam 10.10 pagi.

Musa pula berkata beliau juga berpendapat tidak wajar parlimen dibubarkan kerana dilihat tiada sebarang ancaman keselamatan setakat ini.

“Tiada yang berdemo, tiada yang bahaya kita lihat lagi, jadi tidak perlu bubar parlimen dan kita biarkan kepada Tuanku buat keputusan,” katanya.


10.40 pagi: Bendahari PKR, Lee Chean Cheong, beranggapan Dr Mahathir Mohamad melangkaui batas kuasanya apabila membuat pengumuman mengenai sidang khas Dewan Rakyat semalam.

Sepatutnya, kata Lee, sebagai perdana menteri interim Mahathir tidak boleh berbuat demikian, sebaliknya ia adalah kuasa Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 40 (2) dan 43 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan.

"Peruntukan itu bertujuan untuk menghalang perdana menteri daripada bertindak sewenang-wenangnya dan kuasa perlembagaan diberikan kepada ketua negara saja di bawah sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan," katanya dalam satu kenyataan.

Kata Lee langkah diambil Mahathir membawa lebih banyak masalah.

"Mesyuarat Majlis Raja-raja yang akan diadakan pada hari ini perlu memastikan semua keputusan perlu dibuat berasaskan Perlembagaan Malaysia demi memastikan sistem perlembagaan negara kita tidak terjejas," katanya.


10 pagi: Beberapa ahli parlimen tiba di bangunan Yayasan Albukhary di Kuala Lumpur.

Antaranya Muhyiddin Yassin (Pagoh), Syed Saddiq Abdul Rahman (Muar), Ronald Kiandee (Beluran), Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu), Rina Harun (Titiwangsa), Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam) dan senator Marzuki Yahya (Setiausaha Agung Bersatu).

Mereka dijadual bertemu Dr Mahathir Mohamad yang tiba di situ lebih awal menaiki Mercedes Benz biru tua kira-kira jam 9.10 pagi.

Selain ahli parlimen Bersatu, beberapa bekas pemimpin PKR yang meninggalkan parti itu - dan mencetuskan kejatuhan kerajaan PH - juga kelihatan.

Antaranya Kamarudin Jaffar (Bandar Tun Razak) dan Mohd Rashid Hasnon (Batu Pahat).


9.45 pagi: Seorang pemimpin kanan Bersatu berharap, parti itu dapat mencapai persetujuan yang membolehkan kemelut yang berlaku sekarang diatasi segera.

Bercakap kepada Malaysiakini, beliau bekrata, Bersatu perlu memutuskan sama ada mengetengahkan Dr Mahathir Mohamad atau Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri.

Beliau yang enggan didedahkan identitinya berkata, kata putus itu perlu dicapai hari ini juga.

Hal itu kerana, katanya, Bersatu perlu berunding dengan parti lain seperti Umno/BN, PAS, Gabungan Parti Sarawak dan Warisan sebelum sidang khas Dewan Rakyat 2 Mac ini.

Bagaimanapun beliau mengakui, jika Muhyiddin dipilih, ia akan lebih memudahkan Bersatu diterima Umno dan PAS berbanding Mahathir. 


9.40 pagi: Dua bekas ketua polis negara - Hanif Omar dan Musa Hassan - serta Yang Dipertua Dewan Negara, Abu Zahar Ujang, memasuki Istana Negara melalui Pintu 3.

Difahamkan mereka menghantar memorandum berkaitan krisis politik semasa kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan apa kandungan memorandum tersebut.

Hanif berkata, beliau akan menjelaskan hal itu selepas mengadap Agong.

Hanif (tengah) bersama memorandum yang akan diserahkan. Turut kelihatan bekas ahli Majlis Tertinggi Umno, Ibrahim Abu Shah (tiga dari kiri)

Terdahulu, ada beberapa orang berbaju putih tiba dan memasuki pintu sama kira-kira jam 9 pagi.

Seorang daripada mereka ialah bekas penyelidik PKR Muhammed Yusoff Rawthera.


9.40 pagi: Seorang anggota Dewan Negara memuat naik semula kenyataan mengenai dibuat Mahathir Mohamad kepada Anwar Ibrahim di media sosial kira-kira dua tahun lalu.

Kenyataan yang dikepilkan Yusmadi Yusoff di Twitter itu ialah penghargaan perdana menteri interim kepada keluarga Anwar.

Untuk rekod, ketika itu Mahathir dalam peringkat awal untuk berbaik-baik semula dengan Anwar - yang masih dalam penjara - ketika pembangkang berusaha keras mahu mengalahkan BN dalam PRU ke-14.

"Kawan-kawan, tolong bantu saya untuk memahami kenyataan ini," ciap Yusmadi.

 

Kenyataan yang dirujuk Yusmadi itu ialah kata-kata Mahathir di Facebook, bertarikh 7 Jan 2018: Saya terhutang budi dan berterima kasih kepada keluarga Anwar kerana sanggup membelakangkan apa yang berlaku pada masa lalu, untuk menyelamatkan Malaysia. Perjuangan rakyat fokus kami berdua."


9.20 pagi: Semua indeks Bursa Malaysia menunjukkan kejatuhan semasa dibuka hari ini kesan tekanan daripada aktiviti penjualan di sebalik pengumumkan pakej rangsangan ekonomi oleh Dr Mahathir Mohamad semalam.

Bernama melaporkan setakat 9.08 pagi hari ini, indkes utama Bursa Malaysia turun 1.26 peratus atau 19.08 mata kepada 1,486 selepas dibuka pada paras 20.69 mata jam 9 pagi.

Secara umum 499 kaunter mencatatkan rugi berbanding 54 untung. Sebanyak 140 lagi tidak berubah dan 65 digantung. 


9 pagi: Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang mengutuk pihak yang merancang menjatuhkan kerajaan PH kerana ia dibuat ketika negara berdepan wabak Covid-19.

Katanya pihak terbabit sangat tidak bertanggungjawab.

"Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Dr Tedros Ghebreyesus memberi amaran bahawa wabak koronavirus mencapai titik kritikal dan mempunyai potensi menjadi wabak meluas ketika seluruh dunia bergelut untuk mencegah penyebarannya," kata Lim.

Veteran DAP itu menambah krisis politik "palsu" sekarang mesti diselesaikan secepat mungkin dan pihak yang terlibat mesti dikutuk semua rakyat.

"Negara tidak boleh dijadikan objek tebusan oleh pemimpin politik tidak bertanggungjawab yang sanggup merisikokan negara hanya untuk mencapai keinginan dalam permainan mereka," katanya yang turut menggesa kerajaan PH dikembalikan sebagai pentadbir.


8.30 pagi: Naib Presiden PKR: Dr A Xavier Jayakumar, mengingatkan Bersatu parti itu mungkin akan mengalami kerugian besar jika pilihan raya mengejut diadakan.

Hal itu kerana, kata Jayakumar, Bersatu kini tidak tersusun dan jika akhirnya parlimen dibubarkan, mereka mungkin berdepan kekalahan besar.

"Apa yang perlu dilakukan oleh Dr Mahathir Mohamad ialah pecat lima anggota kabinet (lama) dan buat pelantik lain dan teruskan seperti biasa," katanya tanpa menyebut sebarang nama.

Ahli Parlimen Kuala Langat itu juga mendakwa Mahathir mempunyai peranan dalam kemelut yang berlaku sekarang dan percaya ada usaha sedang dijalankan untuk membentuk kerajaan perpaduan dengan mengetepikan PH.

Sebenarnya, kata Jayakumar, Mahathir boleh saja menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar Ibrahim dengan aman.

"Mengapa beliau mendahului Yang di-Pertuan Agong mengenai pengumuman sidang khas parlimen?" katanya.

Jayakumar juga berharap Agong akhirnya akan membuat keputusan dan akan dipatuhi semua pihak.


8.40 pagi: Ketua Setiausaha Negara melawat beberapa jabatan kerajaan di Putrajaya untuk melihat perjalanan operasi ketika kerajaan belum terbentuk.

Hasil lawatan tersebut Mohd Zuki Ali berpendapat semuanya berjalan dengan lancar apabila kakitangan awam terus menjalankan tugas seperti biasa.

 

"Minggu yang penuh dengan peristiwa. Namun, penjawat awam terus melaksanakan tanggungjawab seperti biasa.

"Berkesempatan meninjau Jabatan Pengangkutan Jalan dan Jabatan Imigresen Putrajaya. Alhamdulillah," ciapnya.


8.30 pagi: Setiausaha Agung Umno mencadangkan agar Yang di-Pertuan Agong mengadakan temu duga kali kedua untuk menentukan perdana menteri baru untuk negara ini.

Menggunakan ciapan di Twitter, Annuar Musa berkata, langkah itu boleh dibuat selepas sesi pertama pada Selasa dan Rabu lalu gagal menemukan calon yang mendapat sokongan jelas daripada ahli parlimen.

 

Bagaimanapun Annuar berpendapat pilihan terbaik ialah membubarkan parlimen untuk membolehkan pilihan raya umum dilakukan.


8 pagi: Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad mengecam Azmin Ali kerana dilihat cuba mengambil kesempatan menaikkan namanya dengan pengumuman pakej rangsangan ekonomi diumum Mahathir Mohamad semalam.

"Awak yang merosakkan suasana pelaburan dan ekonomi serta politik negara melalui 'langkah si kitol'! Lepas tu nak curi credit untuk kerja keras (Lim) Guan Eng? Amat sangat memalukan! Have you no shame!

"Awak ingat rakyat akan keliru dengan kenyataan ini? Anggap awak ambil berat? No way!" ciapnya di Twitter.

Hal sama turut dibangkitkan Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming.

"Semasa anda berkomplot utk menjatuhkan Kerajaan PH, pegawai Kementerian Kewangan dan pegawai Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, sedang bekerja untuk menyediakan pakej stimulus ini... #NoShame," ciapnya.

 

Bagaimanapun pembantu Azmin, Woon King Chai, tampil membela ahli parlimen Gombak itu.

Kata Woon, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (yang diketuai Azmin sebelum ini) juga bekerja keras untuk memastikan rakyat mendapat manfaat daripada pakej tersebut.


7.30 pagi: Antara peristiwa yang menjadi perhatian hari ini ialah persidangan khas Majlis Raja-raja di Istana Negara.

Mahathir pula dijadual bertemu dengan pemimpin partinya pagi ini sehari selepas beliau membuat pusingan U dengan menerima kembali jawatan sebagai pengerusi Bersatu.

Lihat Komen
ADS