Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Agong lantik Muhyiddin sebagai PM
Diterbitkan:  Feb 29, 2020 4:43 PM
Dikemaskini: 10:18 AM

Yang di-Pertuan Agong berkenan melantik Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri yang baru.

Perkara itu dinyatakan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Ahmad Fadil berkata, ia selepas Istana Negara menerima senarai calon perdana menteri daripada ketua-ketua parti politik.

Ia sebagai lanjutan proses temu duga Sultan Abdullah dengan semua anggota parlimen yang dibuat pada Selasa dan Rabu lalu.

"Setelah mendapat representasi daripada semua ketua parti politik yang mewakili parti masing-masing, serta ahli Dewan Rakyat yang bebas, pada hemat Seri Paduka Baginda, ahli Dewan Rakyat yang mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat ialah Tan Sri Mahiaddin Bin Md Yasin (Muhyiddin), Ahli Parlimen Pagoh.

"Sehubungan itu, Seri Paduka Baginda telah berkenan melantik Tan Sri Mahiaddn Md Yasin (Muhyiddin) sebagai perdana menteri, selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Ahmad Fadil berkata majlis angkat sumpah akan diadakan di Istana Negara pada pukul 10.30 pagi esok (1 Mac).

"Seri Paduka Baginda bertitah bahawa proses pelantikan perdana menteri tidak boleh dilengah kerana negara memerlukan kerajaan demi kesejahteraan rakyat dan negara yang kita cintai bersama.

"Seri Paduka Baginda bertitah bahawa ini adalah keputusan terbaik untuk semua dan Baginda menzahirkan harapan agar kemelut politik ini berakhir," katanya lagi.

Pelantikan itu dibuat tidak lama selepas Dr Mahathir Mohamad mengumumkan beliau mempunyai sokongan anggota parlimen yang cukup untuk menubuhkan kerajaan.

Ia selepas PH mengisytiharkan sokongan kepadanya. Sokongan Warisan menyusul tidak lama kemudian.

Muhyiddin berusaha menguasai Bersatu tetapi beberapa anggota Parlimen parti itu kekal menyokong Mahathir.


Lihat Komen
ADS