Panglima ATM: Malaysia tidak sokong militan Thailand
Malaysia tidak pernah menjadi pusat latihan perisikan atau membuat bom bagi militan dari selatan Thailand, tegas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Tan Sri Laksamana Anwar Mohd Nor.
Beliau berkata, negara ini juga tidak pernah membenarkan atau menyokong warga Thailand menjadi pelarian atau menyeberangi Malaysia untuk mendapatkan perloindungan.
"Kita tidak benarkan dan tidak pernah menyokong...kita tidak akan benarkan perkara itu berlaku. Ini adalah dasar kerajaan Malaysia tidak menyokong aktiviti itu di kawasannya," katanya dalam sidang akhbar bersama dengan rakan sejawatnya dari Thailand, Jeneral Ruengroj Mahasaranond pada akhir Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pegawai Tentera dan Agensi Keselamatan Lain kedua-dua negara ke-17 di Bangkok hari ini.
Anwar mengulas laporan akhbar Thailand yang mendakwa Malaysia menjadi tempat berlindung dan latihan untuk pejuang militan yang cuba mendapatkan kemerdekaan daripada Bangkok bagi ketiga-tiga wilayah paling selatan negara itu, Yala, Narathiwat dan Pattani.
Menurut laporan Bernama, bulan lepas, sebuah akhbar di Bangkok memetik sumber-sumber risikan tentera Thailand yang mendakwa militan dari selatan Thailand telah menubuhkan satu kem di Kelantan dan Perak untuk melatih 50 wanita dalam pengumpulan risikan dan membuat bom di Perak.
Katanya angkatan tentera Malaysia tidak pernah menerima maklumat seperti itu daripada rakannya di Thailand, sambil menambah kedua-dua pasukan tentera sentiasa menyelaras aktiviti, berkongsi penerangan dan saling memberikan informasi terkini.
Beliau memberi jaminan Malaysia sentiasa memantau keadaan di kawasan sempadan itu dan bersedia bertindak jika pergolakan di wilayah selatan Thailand tersebut merebak ke negara ini.
Rondaan sempadan
Anwar yang mengetuai delegasi Malaysia termasuk juga Duta Malaysia ke Thailand, Datuk Shaarani Ibrahim dan pegawai dari Majlis Keselamatan Negara di Jabatan Perdana Menteri, polis dan agensi kerajaan lain.
Mengenai kesan isu 131 rakyat Islam Thailand yang lari ke Kelantan pada tahun lepas terhadap hubungan pasukan tentera kedua-dua negara, beliau berkata ia tidak menjejaskan hubungan ketenteraan Malaysia dan Thailand.
"Tidak terjejaspun, tidak pernah, bukan saja satu titik. Semangat tentera kita sentiasa berbaik-baik, terbuka dan berterus-terang. Kita bincang bersama banyak perundingan sebelum rancangan dilaksanakan," tambah beliau.
Hubungan diplomatik antara Malaysia dan Thailand terjejas apabila 131 orang itu meminta perlindungan pelarian di Malaysia. Bagaimanapun, keadaan itu kembali sediakala apabila Malaysia menyerahkan salah seorang pelarian tersebut yang dipercayai suspek utama dalam pemberontakan itu sementara yang lain masih lagi ditahan oleh pihak berkuasa Malaysia.
Anwar berkata kedua-dua pasukan tentera telah menubuhkan satu pasukan bersama untuk menyelaras kepulangan pelarian itu tetapi isu berkenaan kini ditangani atas dasar kerajaan kepada kerajaan.
Beliau juga berkata kedua-dua pasukan tentera itu akan mengukuhkan rondaan bersamanya di sepanjang sempadan bagi mencegah pendatang menyeberangi sempadan antara kedua-dua negara.
"Rondaan bersama itu sudah ada. Apa yang kita buat sekarang ialah untuk memperluaskan ke kawasan lain, seperti rondaan di Selat Melaka," katanya.
Menurutnya tugas jawatankuasa itu adalah di bawah Jawatankuasa Sempadan Bersama (JBC) yang dijangka bermesyuarat di Bangkok Julai ini.
Anwar berkata Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat JBC itu.