Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PKR Pahang pantau ahli elak duri dalam daging
Diterbitkan:  Mar 2, 2020 10:43 PM
Dikemaskini: 2:43 PM

PKR Pahang mengingatkan anggota parti itu agar tidak bersekongkol dengan mana-mana pihak atau parti yang dianggap mengkhianati amanah rakyat.

Pengerusinya, Fuziah Salleh, berkata Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Pahang akan terus memantau setiap pimpinan dan anggota parti agar mereka tidak menjadi duri dalam daging sekali gus merosakkan PKR dari dalam.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pimpinan dan ahli di setiap cabang yang didapati bersekongkol dengan mana-mana parti atau kumpulan yang mengkhianati amanah rakyat.

"MPN PKR Pahang berdiri teguh dengan idealisma perjuangan parti dan setia di bawah kepemimpinan presiden, Anwar Ibrahim," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pakatan Harapan (PH) dijatuhkan daripada kerajaan baru-baru ini ekoran tindakan 11 ahli parlimen PKR yang keluar dari parti itu. Dua daripada mereka - Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin - dipecat.

Seorang daripada mereka ialah ahli parlimen Pahang, iaitu Saifuddin Abdullah, yang mewakili Indera Mahkota.

Fuziah berkata PKR Pahang juga akan terus setia dan bekerjasama dengan DAP dan Amanah bagi memastikan "kerajaan pintu belakang" yang wujud hari ini dapat di ambil alih semula oleh PH sejajar dengan mandat yang diberikan rakyat dalam PRU14 lalu.

Sementara itu Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, berkata tindakan segelintir individu meninggalkan parti itu hari ini tidak memberi kesan kerana jumlahnya sangat sedikit berbanding keanggotaan yang melebihi 70,000 orang.

Katanya, dia berharap kumpulan terbabit sedar bahawa apa yang dilakukan itu sebenarnya mengkhianati rakyat Malaysia.

"Saya lebih cenderung melihat perkara ini sebagai gerakan pembersihan parti daripada golongan munafik yang sanggup menggadai diri," katanya.

Justeru Farhash mengajak ahli PKR meneruskan bersatu dan meneruskan perjuangan reformasi yang belum selesai.

"Lihatlah ini sebagai peluang untuk bergerak dengan lebih kuat kerana kini tidak wujud lagi kabilah kartel," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS