Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Thomas: Saya sudah cuba sebaik mungkin untuk tegakkan keadilan
Diterbitkan:  Mar 4, 2020 4:41 PM
Dikemaskini: 8:41 AM

Bekas peguam negara (AG) Tommy Thomas menyatakan bahawa dirinya sudah berusaha sebaik mungkin untuk menghalang ketidakadilan semasa berada di pejabat, sehingga hari terakhirnya.

“Saya cuba sebaik mungkin untuk menegakkan keadilan dan mengelakkan ketidakadilan sehingga hari terakhir saya di pejabat. Saya berterima kasih atas peluang ini,” katanya kepada FMT.

Mengenai peletakan jawatannya sebagai AG beberapa bulan menjelang tamat kontrak dua tahunnya pada Jun, Thomas berkata beliau berbuat demikian kerana perubahan politik susulan peletakan jawatan Dr Mahatahir Mohamad sebagai perdana menteri.

“Kedudukan saya sebagai peguam negara adalah lantikan politik dan oleh Dr Mahathir Mohamad.

“Apabila perdana menteri meletakkan jawatan, saya wajib berbuat demikian kerana saya dilantiknya.

“Juga penting untuk saya ke tepi supaya perdana menteri boleh melantik peguam negaranya,” katanya.

Sementara itu, Presiden Badan Peguam Malaysia, Abdul Fareed Abdul Gafoor memuji perkhidmatan Thomas sebagai AG serta kepada Badan Peguam.

Katanya, Thomas banyak membantu dan merujuk kepada Badan Peguam mengenai pelbagai perkara tentang undang-undang.

Thomas meletakkan jawatannya pada 28 Februari lalu, ketika krisis politik di negara ini sedang memuncak susulan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan dan peletakan jawatan Mahathir sebagai perdana menteri.

Ini berlaku selepas Bersatu, yang diketuai oleh presidennya, Muhyiddin Yassin, dan beberapa ahli parlimen PKR, yang diketuai oleh bekas timbalan presidennya, Mohamed Azmin Ali, meninggalkan gabungan itu untuk bersama dengan Umno dan PAS dalam gabungan Perikatan Nasional.

Mahathir dilantik sebagai PM sementara sehingga Muhyiddin akhirnya mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kelapan negara pada 1 Mac.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS