Anggota Parlimen: Tiada kontroversi dalam 'Lelaki Komunis Terakhir'
Ahli-ahli Parlimen yang menyaksikan pra-tonton filem "Lelaki Komunis Terakhir" semalam berpendapat, tiada yang kontroversi dalam dokumentari itu dan ia wajar ditayangkan kepada umum.
Ahli-ahli Parlimen yang menyaksikan pra-tonton filem "Lelaki Komunis Terakhir" semalam berpendapat, tiada yang kontroversi dalam dokumentari itu dan ia wajar ditayangkan kepada umum.
Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Rais Yatim berkata; "Jalan cerita tidak begitu kontroversial dan tidak melihat apa-apa hal yang mungkin menimbulkan kontroversi dari segi seni."
"Malah fakta di dalam filem itu boleh diperolehi daripada buku mengenai Chin Peng yang terdapat di pasaran tempatan, katanya kepada pemberita selepas pra-tonton filem itu bersama anggota-anggota Parlimen di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), di Hulu Kelang, Selangor semalam.
Filem tersebut arahan pengarah muda Amir Muhammad (bawah-kanan) diharamkan tayangannya pada 10 Mei, 10 hari sebelum ia menjengah ke pawagam ekoran komen-komen yang mendakwa filem itu cuba mengagungkan perjuangan komunis dan mempromosi bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng.
Keputusan untuk mengadakan tayangan tertutup kepada anggota Parlimen itu dibuat selepas Ketua Pembangkang Lim Kit Siang memohon untuk menonton filem kontroversi itu bagi melihat sendiri kewajaran filem itu diharamkan oleh kerajaan.
Dr. Rais berkata: "Tidak ada fakta baru kecuali kandungan filem atau wawancara dengan bekas-bekas anggota PKM yang membawa gambaran kurang jelas atau kurang muktamad bagi satu-satu pihak, tapi itu biasa."
Bagaimanapun menteri itu berkata, terpulanglah kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk memutuskan samada mahu menarik balik pengharaman filem itu atau tidak.
" Kementerian saya hanya akan memberikan pandangan jika diminta. Saya tidak akan menyentuh aspek keselamatan kerana kita bukan melihat pada hal itu. Kita tidak arif untuk mengulas mengenainya... kita melihat dari sudut sinematografi. Oleh kerana semua dah lihat, saya harap isu ini tidak dipanjanglebarkan lagi," katanya.
Menurut laporan Bernama, Lim yang turut menghadiri pro-tonton itu pula berkata, beliau tidak nampak apa-apa yang begitu kontroversial hingga mewajarkan filem itu diharamkan.
"Saya tidak nampak apa-apa yang boleh mencetuskan kemarahan kerana ia tidak mengagung-agungkan parti komunis atau Chin Peng, malah tidak juga mempromosi komunisme," katanya ahli Parlimen Ipoh Timur itu.
Lim mencadangkan agar orang awam diberi peluang membuat penentuan, dan lihat jika filem itu boleh bertahan di panggung wayang.
Sementara itu, Setiausaha Agung PAS Datuk Kamaruddin Jaafar, juga anggota Parlimen Tumpat, bersependapat dengan Lim dan berkata tidak ada sebab filem itu diharamkan.
Ia sebuah filem mudah memaparkan kehidupan kumpulan tertentu warga Malaysia dalam era 1940an dan 50an, katanya.
"Malah ia tidak pun mengemukakan kisah penuh mengenai kebangkitan komunis di negara ini dan bukan juga filem propaganda," kata beliau.

