mk-logo
Berita
Pesara keluar cek RM300,000, tak tahu diterima firma guaman

KES ZAHID | Seorang pesara yang pernah mengeluarkan lima keping cek berjumlah RM366,000 tidak mengetahui cek-cek berkenaan akhirnya diberikan kepada firma guaman Tetuan Lewis & Co.

Pesara itu, T Rajan, berkata demikian ketika pemeriksaan utama dengan timbalan DPP Harris Ong Mohd Jeffrey Ong di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Dia berkata lima keping cek itu diberikan kepada pengurup wang untuk ditukar kepada mata wang dolar Australia.

Katanya lagi, jumlah itu ditukarkan kepada kira-kira A$90,000 - berdasarkan tukaran mata wang ketika itu iaitu Julai 2016 - sebagai wang pendahuluan untuk pembelian rumah anak perempuannya di Australia.

Dia merupakan saksi pendakwaan ke-42 perbicaraan pengubahan wang haram, rasuah dan pecah amanah dana Yayasan Akalbudi membabitkan presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Sebelum ini Lewis & Co dikatakan menjadi pemegang amanah kepada Yayasan Akalbudi, yang mana Ahmad Zahid merupakan pengasas, pemegang amanah dan penandatangan tunggal.

Ketika disoal Harris, Rajan berkata dia mengosongkan ruang "bayar" (penerima) dan hanya mengisi amaun, tarikh iaitu 15 julai 2016, selain menurunkan tandatangannya sebelum cek-cek itu diserahkan kepada pengurup wang berkenaan.

Malah, katanya lagi, dia memang selalu mengosongkan ruang penerima setiap kali menukarkan wang apabil ingin ke luar negara, dan menyerahkan ceknya kepada individu bernama "Omar" daripada pengurup wang yang sama.

Rajan berkata, dia hanya mengetahui Lewis & Co ditulis sebagai penerima cek-cek miliknya apabila dihubungi bank dua minggu kemudian, untuk tujuan pengesahan.

Harris: Apabila bank maklumkan bayar kepada Lewis & Co, apakah reaksi anda?

Rajan: Tak ada apa-apa, saya tak tahu siapa Lewis & Co. Saya sudah dapat duit saya. Bank tanya saya adakah kamu keluarkan cek ini, saya jawab ya.

Ketika dihubungi bank, katanya lagi, pihak bank tidak bertanya tentang tujuan cek berkenaan dan dia juga tidak bertanya kepada Omar kenapa Lewis & Co diisi sebagai penerima cek.

Harris: Boleh beritahu mahkanah kenapa tak tanya Omar kenapa bayar kepada Lewis & Co?

Rajan: Bagi saya, saya sudah dapat duit saya, dan saya sudah bagi kepada dia (Omar) cek. Tak ada sebab saya nak tanya kenapa dibayar kepada entiti ini (Lewis & Co).

Harris: Adakah ini menimbulkan apa-apa keraguan?

Rajan: Tidak.

Bagaimanapun, Rajan berkata dia tidak pernah mengenali Lewis & Co serta tidak pernah mempunyai apa-apa urusan dengan firma guaman itu dan juga Ahmad Zahid.

Terdahulu, saksi ke-41, Syahrul Ridzwan Nawawi, penolong pengurus di Cawangan Wisma FGV Maybank Berhad, menegesahkan lima keping cek daripada Rajan itu memang dibayar kepada Lewis & Co.

Dia berkata, nilai setiap cek ialah RM76,000, RM67,000, RM75,000, RM83,000 dan RM65,000.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela Ahmad Zahid, Haziq Dhiyauddin Razali, Syahrul bersetuju pelepasan cek dibuat setelah pengesahan oleh bank dan didapati tidak ada apa-apa yang menyalahi undang-undang.

Bagaimanapun ketika disoal timbalan pendakwa raya Ahmad Sazilee Abdul Khairi semasa pemeriksaan semula, dia berkata undang-undang yang dimaksudkan ialah “yang terpakai untuk bank”, dan menyatakan “tidak pasti” mengenai undang-undang yang lain.

Lagi cek diterima Lewis & Co

Selain itu, prosiding hari ini turut memanggil dua lagi saksi untuk mengesahkan cek yang diterima firma guaman itu daripada beberapa pihak.

Saksi ke-40, yang merupakan penolong pengurus khidmat pelanggan di cawangan CIMB Bank Menara Binjai, Sharifah Aspaniza Syed Mustapha mengesahkan transaksi 16 cek kepada Lewis & Co daripada syarikat bernama Ekares Sdn Bhd, berjumlah RM4,559,036.

Dia berkata kesemua transaksi 16 cek itu dibuat dalam tiga tarikh berasingan, iaitu 21 April, 24 Jun dan 30 Jun 2016.

Semasa pemeriksaan utama oleh Ahmad Sazilee, Aspaniza mengakui amaun transaksi berkenaan sepatutnya mencetuskan laporan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla).

Bagaimanapun, menurutnya, laporan itu tidak dibuat memandangkan pihak bank telah menghubungi pemilik cek, Ekares untuk mengesahkan transaksi berkenaan.

Ketika diperiksa balas oleh Haziq, Aspaniza bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa semua cek dilepaskan oleh pihak bank memandangkan tiada apa-apa yang menyalahi undang-undang dan “pelik” dalam transaksi berkenaan.

Saksi ke-43 dan yang terakhir dipanggil hari ini, ialah penolong pengurus cawangan Taman Sri Gombak, Azman Mat Nor @ Mohd No.

Dia mengesahkan terdapat pengeluaran cek daripada akaun individu bernama Mubarak Hussain Akhtar Husin kepada Lewis & Co berjumlah RM2,000,000.

Menurutnya, transaksi cek itu berlaku pada pada 25 November 2016.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Ahmad Zahid dituduh menerima cek berjumlah RM65 juta menerusi peguam dari Tetuan Lewis & Co, dengan sebahagian besar daripada amaun itu kemudian digunakan untuk penempatan deposit tetap menggunakan nama firma itu.

Selain itu, dua unit banglo berjumlah RM5.9 juta didakwa dibeli tertuduh menggunakan duit tersebut.

Perbicaraan yang dilakukan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah akan bersambung 23 Mac. 

Lihat Komen
ADS