Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Barisan penuh kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan dimuktamadkan minggu depan.

Menurut sumber, barisan kabinet baru itu dijangka akan diumum dan bakal mengangkat sumpah jawatan pada hari Isnin mahupun Selasa ini.

"Semua parti Umno dan PAS telah menghantar senarai nama-nama calon untuk dipertimbangkan bagi menganggotai kabinet Muhyiddin.

"Insya-Allah Isnin atau Selasa ini...minggu depan boleh dikatakan barisan Kabinet kerajaan baru selesai dibentuk untuk merangka pentadbiran negara.

"Malah, hari ini dan esok ada presiden parti dalam gabungan Perikatan Nasional mengadakan perbincangan dengan Muhyiddin," katanya kepada Malaysiakini.

Pada 1 Mac lalu, Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri Malaysia kelapan menggantikan Dr Mahathir Mohamad.

Pemilihan Muhyiddin mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Muhyiddin dipilih selepas proses temu duga Sultan Abdullah dengan semua anggota parlimen yang dibuat bagi menentukan jawatan perdana menteri.

Terdahulu kemelut dalam kerajaan PH - yang bermula dengan tindakan Mohamed Azmin Ali dan 10 ahli parlimen yang menyokongnya meninggalkan PKR - menyaksikan Mahathir meletak jawatan sebagai perdana menteri.

Sejurus selepas Azmin mengambil langkah tersebut, Muhyiddin pula mengumumkan Bersatu meninggalkan PH, menjadikan gabungan tersebut dianggotai PKR, Amanah dan DAP.

Mahathir sekali lagi membuat kejutan tidak lama selepas itu apabila mengumumkan meletak jawatan sebagai pengerusi Bersatu.

Bagaimanapun MPT Bersatu yang bermesyuarat kemudian menolak peletakan jawatan tersebut.

Muhyiddin hanya berjaya membentuk kerajaan PN selepas mendapat sokongan GPS.

Sementara itu, sumber yang juga salah seorang pemimpin kanan parti politik tidak menamakan siapa bakal dipilih sebagai timbalan perdana menteri.

Sebaliknya, mereka menyerahkan hal itu kepada Muhyiddin untuk menentukan.

Bagaimanapun katanya, sebahagian menteri yang pernah menganggotai kabinet PH akan terus dipilih berada dalam kerajaan pimpinan PN ini.

"Saya difahamkan sebahagian menteri sebelum ini akan dilantik kembali dalam Kabinet baru ini," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS