Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita

Kira-kira 300 orang berkumpul di pusat bandar hari ini untuk berarak sempena sambutan Hari Wanita Sedunia.

Acara berkenaan bermula dengan ramai orang berkumpul di hadapan pusat membeli-belah Sogo di mana beberapa orang, termasuk seorang aktivis Orang Asli, menyampaikan ucapan mereka.

Mereka kemudian berarak dari Sogo ke Dataran Merdeka sambil mengangkat pelbagai sepanduk, sementara penceramah lain meneruskan ucapan.

Mereka terdengar melaungkan: "Hancur patriarki", "hentikan keganasan dan intimidasi", "kami mahu kebebasan", "kami mahu kesamarataan", "haramkan perkahwinan bawah umur", dan "politikus pergi mampus".

Rakyat Malaysia masih belum bebas dari budaya patriarki

Salah seorang wakil Sisters In Islam berkata, walaupun rakyat Malaysia telah mencapai kemerdekaan selama 62 tahun, mereka masih belum bebas daripada budaya patriarki.

"Walaupun kita sebagai rakyat Malaysia telah merdeka selama 62 tahun, tetapi kita masih belum bebas daripada patriarki.

"Kita masih belum bebas dari pemikiran sempit, dari masyarakat dan undang-undang yang (memaksakan) wanita untuk sujud kepada lelaki," katanya.

Beliau menegaskan kepentingan mempunyai satu undang-undang yang menghukum diskriminasi terhadap wanita.

"Kita mahu masyarakat meningkatkan kesaksamaan kepada semua jadi kami mempunyai hak untuk hidup secara aman dan dengan kehormatan," katanya.

Kerajaan gagal sediakan alternatif kepada wanita ditindas

Aktivis lain mendakwa kerajaan sebelum ini gagal menyediakan alternatif kepada rakyat, terutamanya wanita, untuk membebaskan diri daripada penderitaan.

"Kami meletakkan banyak harapan kepada mereka, tetapi malangnya, bukan sahaja mereka gagal mengekalkan kuasa selama satu penggal, tetapi gagal memberikan apa-apa alternatif kepada rakyat, terutama wanita untuk keluar daripada penderitaan hidup.

 

"Dengan penurunan ekonomi dan ancaman dari Covid-19, kumpulan wanita merana. Peruntukan untuk kanak-kanak dan pusat jagaan orang kurang upaya juga dipotong.

"Seorang menteri berkata daripada 309 kes jenayah terhadap wanita, 83 peratus adalah keganasan rumah tangga, namun tidak ada usaha sebenar daripada kerajaan untuk membendung jenayah terhadap wanita," katanya.

Beliau juga berkata hak memiliki rumah bagi wanita tidak dapat dicapai kerana harga hartanah yang terlalu tinggi dan sewa bilik sehingga RM700 sebulan.

Aktivis bimbang jadi sasaran di media sosial

Bercakap kepada pemberita kemudian, aktivis Juana Jaafar berkata penceramah yang berucap tidak memperkenalkan diri sebelum menyampaikan ucapan kerana takut menjadi mangsa siber buli.

"Bagi tujuan keselamatan, aktivis tidak memperkenalkan diri mereka. Perarakan selalunya bermula dan berakhir secara aman tetapi apabila kita pulang ke rumah, mereka diserang di media sosial.

"Pihak berkuasa tidak berbuat apa-apa tentang mereka. Rakyat membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia tetapi tidak berhasil," kata Juana.

Beliau berkata terdapat juga individu yang tidak dapat hadir dalam perarakan itu hari ini kerana di bawah umur.

"Kami sebaliknya terpaksa membacakan surat mereka (kepada orang ramai). Adalah malang kerana kita meraikan kebebasan bersuara.

"Ruang ini juga terbuka kepada mereka dan isu-isu yang kita tekankan pada hari ini juga berkaitan dengan mereka," katanya. 


Lihat Komen
ADS