Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita

KES SRC | Perbicaraan melibatkan bekas perdana menteri, Najib Razak, memasuki hari ke-89.

Beliau dibicarakan di depan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan dibela sepasukan peguam diketuai Muhammad Shafee Abdullah.

Najib dikenakan satu tuduhan salah guna kuasa, tiga pecah amanah dan tiga pengubahan wang haram melibatkan dana syarikat SRC International Sdn Bhd (SRC).

LANGSUNG

1.15 petang: Bekas ketua pesuruhjaya SPRM, Dzulkifli Ahmad, dijangka akan memberikan keterangan di mahkamah esok.

Turut dijadual memberi keterangan sebagai saksi pembelaan, kata Shafee, ialah bekas ketua setiausaha sulit Najib, Shukry Mohd Salleh.

Hal itu dimaklumkan kepada mahkamah sebelum prosiding ditangguhkan hari ini.

Mahkamah akan bersidang lagi pagi esok.


12.59 tengah hari: Abu Kassim Mohamed berkata beliau mencadangkan kepada pasukan petugas khas menyiasat 1MDB agar Najib didakwa, kata saksi pembelaan, ACP R Raja Gopal.

Memberi keterangan semasa pemeriksaan utama pasukan pembelaan, anggota polis itu berkata beliau menghadiri mesyuarat - pada 4 Julai 2015 - sebagai mewakili ketua polis negara ketika itu, Khalid Abu Bakar.

Raja Gopal pula ketika itu menjadi salah seorang pegawai di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman.

Selain ketua polis negara, pasukan petugas khas menyiasat 1MDB itu dianggotai Abdul Gani Patail (peguam negara), Dr Zeti Akhtar Aziz (Gabenor Bank Negara) dan Abu Kassim (ketua pesuruhjaya SPRM)

Menjawab soalan Shafee, Raja Gopal berkata, pada mesyuarat tersebut seorang timbalan pendakwa raya, Dzulkifli Ahmad, memberitahu Abu Kassim memberikan cadangannya agar Najib didakwa.

Shafee: Abu Kassim mencadangkan agar perdana menteri ketika itu (Najib) didakwa berhubung RM42 juta (kes SRC)?

Raja Gopal: Ya.

Bagaimanapun, menjawab soalan lanjut Shafee, Raja Gopal berkata, pasukan petugas khas itu tidak menerima cadangan Abu Kassim.


12.42 tengah hari: Bekas peguam negara, Mohamed Apandi Ali, berkata beliau tidak pernah mengeluarkan arahan untuk menyembunyikan apa-apa ketika menutup siasatan wang "derma" RM2.6 bilion serta SRC yang dikaitkan dengan Najib.

Terdahulu Shafee bertanya kepada saksi terbabit mengenai keputusannya untuk menutup kertas siasatan mengenai Najib pada 26 Jan 2016.

Soalan itu ditanyakan kerana sebelumnya, V Sithambaram bertanya kepada seorang timbalan pendakwa raya, Dzulkifli Ahmad, yang meneliti kertas siasatan ada mencadangkan agar kes itu ditutup.

Kata Apandi kepada Sithambaram, Dzulkifli tidak pernah memberikan cadangan sebegitu.

Shafee: Adakah kamu terlibat untuk menyembunyikan apa-apa semasa membuat keputusan (menutup kes ke atas Najib pada 26 Jan 2016)?

Apandi: Tidak.

Shafee: Pasukan kamu terlibat dalam sebarang cubaan menutup apa-apa?

Apandi: Tak, saya tak pernah memberikan sebarang arahan untuk menyembunyikan apa-apa.


12.13 tengah hari: SPRM gtidak pernah memohon untuk mendapatkan kelulusan daripada peguam negara untuk memintas perbualan dalam telefon, kata Mohamed Apandi Ali.

Beliau berkata demikian semasa disoal peguam bela Najib, Muhammad Shafee Abdullah.

Shafee: Adakah SPRM ada bertanya meminta kelulusan untuk memintas (perbualan) beberapa individu?

Apandi: Jawapannya ialah tidak, tak pernah. Saya tak tahu mengenai rakaman audio ini.

Shafee: Ia (rakaman audio) gtidak pernah mendapat kelulusan daripada kamu?

Apandi: (Menggeleng kepala).

Rakaman audio yang didakwa suara Najib serta beberapa individu berprofil tinggi itu dirakam pada 2016. Apandi dilantik menjadi peguam negara oleh kerajaan Najib pada 2015.


11.45 pagi: Perbicaraan bersambung. Kini tiba giliran bekas peguam negara, Mohamed Apandi Ali untuk memberi keterangan.


11.05 pagi: Prosiding berhenti rehat seketika selepas Latheefa selesai memberikan keterangannya.


11.01 pagi: Bekas ketua pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, berkata beliau tidak dapat berkongsi maklumat mengenai usaha mendapatkan semula aset yang dikaitkan dengan 1MDB.

Latheefa berkata demikian semasa pemeriksaan utama Shafee.

Terdahulu ketua pembelaan Najib itu bertanya mengenai status usaha kerajaan mendapatkan kembali berbilion wang milik Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) yang dipinjamkan kepada SRC yang kini dibekukan di sebuah bank di Switzerland.


10.57 pagi: Latheefa Koya mempertikaikan cara soalan dikemukakan peguam bela Najib kepadanya.

Memberi keterangan kepada soalan Shafee, bekas ketua pesuruhjaya SPRM itu bekata beliau hadir sebagai saksi untuk menjawab hal berkaitan rakaman audio berkaitan 1MDB.

"Itu yang saya dimaklumkan (melalui sapina).

"Adakah saya sekarang diperiksa balas atau disoal berkenaan rakaman audio?

"Itulah yang saya diberitahu," katanya.

Latheefa - yang mempunyai latar belakang undang-undang - juga menegaskan Shafee tidak patut bertanya kepadanya mengenai wang KWAP yang dipinjamkan kepada SRC kerana beliau bukan sebahagian daripada pasukan yang menyiasat hal berkenaan.


10.50 pagi: Mohd Nazlan menolak permohonan peguam bela Najib untuk mewajibkan Latheefa Koya menjawab soalan mengenai cara perbualan telefon - didakwa melibatkan Najib - dipintas.


10.28 pagi: Cara Shafee mengemukakan soalan kepada saksi tidak disenangi V Sithambaram kerana dianggap seperti tidak wajar dibuat.

Kata Sithambaram, tindakan peguam bela Najib itu menyoal Latheefa Koya seolah-olah proses pemeriksaan balas ke atas saksi pembelaan, bukannya pemeriksaan utama.

Terdahulu Shafee bertanya Latheesam mengenai cara sembilan rakaman audio berkaitan Najib mengenai 1MDB.

Katanya, Shafee cuba mencari-cari maklumat mengenai cara SPRM memperoleh rakaman audio tersebut.

"Ini nampak macam cubaan untuk melihat bagaimana SPRM bekerja," katanya.

Menurut Sithambaram, jika ada isu mengenai hal itu ia patut dibangkitkan dalam perbicaraan yang lain.

Bagaimanapun Mohd Nazlan membenarkan Shafee meneruskan soalan terhadap Latheefa berkaitan cara pintasan perbualan itu dibuat.


10.02 pagi: Bekas ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya memasuki kandang saksi dan bersedia untuk memberi keterangan. 

Timbalan Pendakwa Raya, V Sithambaram, kemudian membangkitkan bantahan terhadap pasukan pembelaan yang cuba membuat Latheefa merujukan kepada arahan tetap SPRM mengenai proses pengumpulan bukti.

Kata Sithambaram arahan tetap SPRM itu termasuk dalam Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan langkah dipohon pasukan pembelaan membawa bahaya kepada kekangan yang ada pada akta tersebut.

Bagaimanapun Shafee berkata ia tidak akan melanggar OSA kerana Latheefa hanya diminta untuk merujuk kepada dokumen, bukannya menyerahkan dokumen tersebut kepada mahkamah.

Untuk rekod, pada Khamis minggu lalu Shafee meminta Latheefa membawa arahan tetap SPRM itu untuk prosiding hari ini agar ia boleh dirujuk.

Proses mengumpul bukti yang dimaksudkan itu melibatkan rakaman audio didakwa berisi membabitkan Najib serta beberapa personaliti berprofil tinggi, termasuk Rosmah Mansur (isteri tertuduh) dan bekas ketua pesuruhjaya SPRM, Dzulkifli Ahmad.


9.56 pagi: Najib Razak memasuki kandang tertuduh.

Lihat Komen
ADS