Mustafa sokong syor Nik Aziz terima bukan Islam
Pengarah Pilihanraya PAS, Datuk Mustafa Ali mengalu-alukan cadangan Mursyidul Am parti itu, Datuk Nik Aziz Nik Mat mahu menerima orang bukan Islam sebagai ahli bersekutu PAS.
Pengarah Pilihanraya PAS, Datuk Mustafa Ali mengalu-alukan cadangan Mursyidul Am parti itu, Datuk Nik Aziz Nik Mat mahu menerima orang bukan Islam sebagai ahli bersekutu PAS.
Beliau berkata, cadangan tersebut wajar dibawa dan dibincangkan di muktamar PAS untuk mendapat maklum balas perwakilan dari seluruh negara.
"Sangat elok cadangan itu kerana ia dibawa sendiri oleh Datuk Nik Aziz dan ia sesuatu yang amat positif kepada parti dan sesuai dengan perkembangan politik negara," katanya ketika dihubungi hari ini.
Mustafa berkata demikian bagi mengulas cadangan Nik Aziz untuk membawa usul membolehkan orang bukan Islam menjadi ahli bersekutu PAS.Nik Abdul Aziz mencadangkan agar parti itu membuka keahlian kepada bukan Islam bagi mengukuhkan lagi perjuangan dan masa depan parti itu dalam politik tanah air.
Menurut Mustafa yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu cadangan tersebut pernah dibincangkan dalam muktamar parti sebelum ini tetapi tiada keputusan dibuat.
"Mungkin dengan cadangan yang dibuat sendiri oleh Nik Aziz ia memberikan sesuatu yang positif kepada parti terutama menjelang pilihanraya umum akan datang," katanya lagi.
Sementara itu, Pengerusi Kebangsaan Kelab Penyokong PAS (bahagian bukan Islam), Hu Pang Chaw berkata, cadangan itu sesuai dengan perubahan suasana politik negara yang semakin terbuka.
Katanya, kepimpinan PAS sedar bahawa tanpa sokongan kaum lain, parti itu tidak dapat keluar dari kongkongan lama dan kekal sebagai parti terpencil.
" Sudah sampai masanya bagi ahli-ahli PAS di akar umbi bersikap matang untuk menerima keahlian dari bukan Islam,"ujarnya.

