Most Read
Most Commented
Read more like this

Universiti Teknologi MARA (UiTM) didakwa semakin serius berusaha mengikis imej agama selepas memperkenalkan peraturan menggugurkan nama Islam pada persatuan pelajar dan mengurangkan tempoh pembelajaran subjek agama.

Usaha terbaru universiti itu termasuklah mengkaji sama ada kursus pendidikan Islam yang diperkenalkan sejak lebih 20 tahun lalu wajar diteruskan.

Kursus yang ditawarkan di bawah Pusat Pendidikan Islam (PPI) itu termasuklah Pendidikan Islam (UIS), Tamadun Islam dan Tamadun Asia (Titas), dan Tamadun Islam untuk pelajar bukan Islam (TIS).

Seorang kakitangan universiti itu memberitahu malaysiakini , Naib Canselor Datuk Prof Dr Ahmad Zaidee Laidin mengadakan pertemuan dengan beberapa tokoh agama kerajaan minggu lalu bagi membincangkan perkara tersebut.

"(Mesyuarat itu) menuduh PPI menjadi sarang pembangkang," kata sumber.

Mesyuarat bertarikh 12 Disember itu dihadiri oleh Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta kakitangan kanan dan koordinator pengajian Islam universiti tersebut.

Malaysiakini difahamkan Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Dasuki Ahmad dan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Datuk Nakha'e Ahmad tidak menghadiri mesyuarat tersebut walau turut dijemput.

Ketika dihubungi hari ini, pejabat Naib Canselor memaklumkan mesyuarat itu diadakan untuk "penyemakan kurikulum" dan mengesahkan ia diadakan bersama tokoh agama kerajaan itu.

Tuduhan serong terhadap PPI itu dibuat berasaskan tanggapan tenaga pengajar di situ lebih cenderung ke arah "politik alternatif" dan juga terdapat bekas pensyarah pusat itu yang bertanding dalam pilihanraya umum tahun lalu.

Antara mereka termasuklah Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang kini sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Jengka, Pahang, Wan Ibrahim Wan Jusoh (ADUN Melor, Kelantan) dan Ramli Ibrahim (anggota Dewan Rakyat bagi Kota Baru).

Tambah sumber itu, Naib Canselor dalam ucapan-ucapannya sering menyatakan "Islam tidak boleh bercanggah dengan kerajaan".

Menjejaskan kedudukan

Sebelum ini Zaidi didakwa memaklumkan kepada para pensyarah berkenaan bahawa jam kredit matapelajaran Islam dikurangkan kerana ia juga pernah diajar di peringkat sekolah.

"Mengajar pendidikan Islam (dikhuatiri) mengancam pendidikan sekular yang ada," dakwa sumber itu lagi.

Zaidi juga didakwa memaklumkan pengurangan subjek itu dibuat kerana tidak mahu wujud percanggahan antara beberapa mata pelajaran yang diajar di UiTM, misalnya syariat Islam bercanggah dengan perundangan Barat.

Sejak bulan Mei lalu, universiti itu mengurangkan tempoh pembelajaran subjek berkenaan daripada jumlah enam semester kepada tiga semester.

Dalam perkembangan berkaitan, Pendaftar universiti itu Mohd Ariffin Ibrahim mengeluarkan pekeliling pada 1 Disember lalu yang menggesa semua aktiviti ceramah dan kelas agama harus mendapat kelulusan Naib Canselor dan tidak boleh "menjejaskan kedudukan UiTM sebagai agensi awam."

Malaysiakini difahamkan langkah ini baru diperkenalkan pada tarikh itu sebagai satu usaha mengawal pengaruh pembangkang.

Pengurusan UiTM bagaimanapun belum memutuskan sama ada mata pelajaran tersebut akan dikurangkan atau dimansuhkan ekoran "tidak ada kesepakatan" di kalangan wakil-wakil yang bermesyuarat pada hari itu.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS