Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hadi: Saya tak masuk kabinet agar boleh pantau menteri PAS
Diterbitkan:  Mar 10, 2020 9:45 PM
Dikemaskini: 2:15 PM

Presiden PAS Abdul Hadi Awang menjelaskan tentang ketiadaan namanya dalam senarai kabinet yang diumum Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Dalam siaran langsung di Facebook malam ini, Abdul Hadi berkata beliau tidak dilantik menyertai kabinet Perikatan Nasional agar dapat memantau menteri-menteri PAS yang berada dalam kerajaan.

"Kita hantar wakil (untuk dilantik sebagai) menteri dan timbalan menteri yang akan melaksanakan peranan eksekutif untuk membuktikan kemampuan mentadbir dan mengurus dalam keadaaan parti perlu memantau.

"Sebab itu saya sebagai presiden parti tak dilantik sebagai menteri kabinet untuk lebih berkesan parti memantau kerajaan, menteri-menteri kabinet dan timbalan menteri kita yang duduk dalam kerajaan," katanya.

Semalam, Muhyiddin melantik 31 menteri dan 38 timbalan menteri. Daripada jumlah itu, tiga pemimpin PAS dilantik sebagai menteri, dan lima yang lain dilantik sebagai timbalan menteri.

Buat pertama kali, kabinet kerajaan tidak menampilkan jawatan timbalan perdana menteri, sebaliknya memperkenalkan empat menteri kanan yang memegang portfolio berasingan.

Selain itu kabinet Muhyiddin juga tidak mengikut formula konvensional yang biasanya menampilkan presiden parti-parti komponen utama.

Selain Abdul Hadi, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi juga tidak dilantik menyertai kabinet itu.

Semalam, Ahmad Zahid menjelaskan bahawa beliau menolak menyertai kabinet bagi menumpukan persiapan pilihan raya umum (PRU) ke-15 dan membersihkan nama dalam kes-kes mahkamahnya.

Sementara itu, dalam siaran langsung malam ini, Abdul Hadi mengulangi pendiriannya bahawa kerajaan yang ditubuhkan sah dari segi perlembagaan dan menegaskan ia bukan kerajaan 'pintu belakang'.

"Kita berjaya dengan cara demokrasi, bukan cara pintu belakang. Mengikut perlembagaan yang sah. Berlaku satu perubahan yang menarik yang tak menyusahkan rakyat.

"Kita berjaya membentuk kabinet perpaduan umat yang terdiri daripada (pelbagai) parti-parti politik. Bukan sahaja wakil rakyat yang dipilih rakyat (pelbagai) malah parti-parti yang dipilih (menyertai kabinet) juga pelbagai, bukan dua, tiga parti saja.

"Ini satu perubahan yang perlu dilihat secara demokratik," katanya.

Lihat Komen
ADS