Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Hari 91: Peguam tutup kes, hujah lisan ditetapkan 3 hari pada Mei

LANGSUNG | Perbicaraan melibatkan bekas perdana menteri, Najib Razak, berkaitan dakwaan penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd memasuki hari ke-91.

Malaysiakini melaporkan perbicaraan ini secara langsung.


12.33 tengah hari: Mahkamah Tinggi menetapkan tiga hari bermula 12, 13 dan 18 Mei untuk penghujahan lisan di peringkat pembelaan dalam perbicaraan terhadap Najib Razak.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan tarikh tersebut selepas peguam utama Muhammad Shafee Abdullah memberitahu mahkamah bahawa pihak pembelaan menutup kesnya hari ini. Prosiding hari ini kemudiannya ditangguhkan.

Hari ini merupakan hari ke-33 perbicaraan di peringkat pembelaan dengan pihak peguam Najib memanggil 19 saksi pembelaan termasuk tertuduh sendiri, untuk memberi keterangan di mahkamah.


Pihak pembelaan tutup kes dalam perbicaraan terhadap Najib

12.22 tengah hari:  Peguam utama Muhammad Shafee Abdullah memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa pihak pembelaan kini menutup kes dalam perbicaraan terhadap Najib Razak berhubung dakwaan penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

Beliau memberitahu perkara itu selepas prosiding berhenti rehat.


12.04 tengah hari: Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan peguam utama, Muhammad Shafee Abdullah agar prosiding berhenti rehat seketika.

Ini bagi membolehkannya bercakap kepada seorang saksi pembelaan yang berpotensi daripada Kementerian Pendidikan dan meneliti jika individu berkenaan boleh memberi keterangan dalam perbicaraan terhadap Najib.


SPRM rekod kenyataan Nik Faisal di Jakarta pada Okt 2015

11.59 pagi: Pegawai SPRM, Regjit Singh memberitahu bahawa suruhanjaya itu merekod kenyataan daripada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil pada bulan Oktober 2015.

Saksi pembelaan itu berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh peguam, Muhammad Shafee Abdullah.

Regjit berkata kenyataan itu direkodkan daripada Nik Faisal di sebuah hotel di Jakarta, pada dua hari berasingan pada bulan Oktober tahun itu.

Saksi itu berkata Nik Faisal ketika itu ditemani oleh peguam Selva Mookiah.

Selva juga pernah menjadi penasihat undang-undang MIC.


11.40 pagi: Prosiding diteruskan selepas mahkamah berhenti rehat


11.02 pagi: Bekas Timbalan Pendakwa Raya Dzulkifli Ahmad dilepaskan dari kandang saksi selepas peguam utama Muhammad Shafee Abdullah menyelesaikan pemeriksaan semula terhadap saksi pembelaan itu.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali kemudian membenarkan prosiding berhenti rehat seketika.


Wang masuk ke akaun Najib tak semestinya suatu kesalahan - Saksi

10.58 pagi: Wang yang masuk ke akaun peribadi Najib Razak tidak semestinya bermaksud suatu kesalahan, kata bekas timbalan pendakwa raya (DPP) Dzulkifli Ahmad.

Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan semula oleh pihak pembelaan yang diketuai peguam utama, Muhammad Shafee Abdullah.

"Aliran masuk wang tidak semestinya bermakna ia adalah suatu kesalahan melainkan jika ia telah dibuat dengan pengetahuan dan mala fide (niat jahat) atau mens rea (niat untuk melakukan suatu kesalahan)," kata Dzulkifli.

Saksi itu adalah antara anggota pasukan DPP yang membantu Peguam Negara Apandi Ali meneliti kertas siasatan SPRM dalam isu derma RM2.6 bilion dan RM42 juta dana SRC International terhadap Najib.

Pada 26 Januari 2016, Apandi membersihkan Najib daripada salah laku dalam kes tersebut.


Dzulkifli nafi lindungi keputusan AG tutup kes Najib

10.13 pagi: Bekas Timbalan Pendakwa Raya, Dzulkifli Ahmad menafikan bahawa beliau 'melindungi' keputusan Peguam Negara Apandi Ali untuk menutup kes 'derma' RM2.6 bilion dan RM42 juta dana SRC membabitkan bekas perdana menteri Najib Razak.

Semasa pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya V Sithambaram, saksi pembelaan tersebut kelihatan marah apabila disebutkan perkara itu.

Sithambaram bertanya Dzulkifli apakah tindakan peguam negara menghantar kembali kertas siasatan kepada SPRM pada Januari 2016 semata-mata "sandiwara" sebagai sebahagian daripada usaha menutup kes berkenaan.

Sithambaram: Saya mengatakan 'penjelasan lanjut' dari SPRM adalah semata-mata "sandiwara" kerana keputusan telah pun dibuat untuk tidak mengenakan dakwaan terhadap Najib?

Dzulkifli: Ini adalah semata-mata "tohmahan" bagi saya, tidak benar sama sekali.

Sithambaram: Ini tidak benar?

Dzulkifli: Tidak benar.

Sithambaram: Penjelasan lanjut ditanya SPRM untuk mengetahui jika ada kes terhadap Najib, adalah semata-mata untuk menutup kes itu?

Dzulkifli: Tidak benar kerana 'penjelasan lanjut' (berhubung kertas siasatan) adalah sangat penting untuk mengetahui sama ada kes itu boleh dibuktikan atau tidak, dalam hal elemen pendakwaan yang dicadangkan.

Sithambaram: Saya katakan bahawa ini adalah semata-mata untuk menutup kes Najib.

Dzulkifli: Tidak benar sama sekali dan ini adalah "tohmahan" pada pihak pendakwaan.


SPRM saran Nik Faisal, Suboh dan dua yang lain didakwa

10.02 pagi: SPRM mencadangkan Ketua Pegawai Eksekutif SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil; pengarah syarikat, Suboh Md Yassin dan dua pengarah SRC lain didakwa.

Bekas Timbalan Pendakwa Raya, Dzulkifli Ahmad memberi keterangan itu semasa pemeriksaan utama oleh peguam, Muhammad Shafee Abdullah.

Dzulkifli berkata ini berhubung dengan kertas siasatan SPRM yang telah diberikan kepada peguam negara ketika itu, Apandi Ali pada bulan Januari 2016.

Pada 26 Januari tahun itu, Apandi membersihkan Najib Razak daripada sebarang salah laku membabitkan isu RM2.6 bilion dan RM42 juta dana SRC International.

Dzulkifli berkata SPRM mencadangkan empat individu itu didakwa di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Beliau bagaimanapun tidak ingat siapa dua lagi pengarah berkenaan.

Beliau juga mengatakan tidak tahu mengenai hasil cadangan itu sehingga ke hari ini.


9.55 pagi: Bekas perdana menteri Najib Razak memasuki kandang tertuduh apabila prosiding bermula di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Pihak pendakwaan dijangka memulakan pemeriksaan balas ke atas saksi pembelaan Dzulkifli Ahmad, yang juga bekas Timbalan Pendakwa Raya dan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Peguam utama Muhammad Shafee Abdullah memberitahu mahkamah bahawa beliau mempunyai dua soalan tambahan untuk ditanya kepada Dzulkifli, sebelum pihak pendakwaan boleh memeriksa balas saksi.


Pihak pendakwaan hari ini dijadual memeriksa balas bekas Timbalan Pendakwa Raya, Dzulkifli Ahmad berhubung keterangan beliau mengenai keputusan Jabatan Peguam Negara membersihkan bekas perdana menteri Najib Razak daripada sebarang salah laku dalam kes membabitkan dana RM42 juta SRC International pada 2016.

Pada hari ke-91 perbicaraan terhadap Najib pagi ini, Timbalan Pendakwa Raya, V Sithambaram dijangka menyoal saksi pembelaan itu berhubung keputusan Peguam Negara Mohamed Apandi Ali pada 26 Jan 2016, untuk membebaskan Najib daripada salah laku dalam kes SRC.

Semalam, Dzulkifli memberi keterangan bahawa beliau adalah sebahagian daripada DPP yang membantu Apandi berhubung kertas siasatan SPRM mengenai derma RM2.6 bilion dan RM42 juta dana SRC International yang dimasukkan ke akaun peribadi Najib.

Dzulkifli semalam memberi keterangan secara terperinci proses yang terlibat dalam keputusan Apandi menggugurkan siasatan berhubung derma RM2.6 bilion dan RM42 juta SRC International terhadap Najib.

Saksi berusia 52 tahun itu yang menerajui SPRM dari Ogos 2016 hingga Mei 2018, juga memberitahu mahkamah bahawa adalah tidak wajar bagi Ketua Pesuruhjaya SPRM selepas itu, Abu Kassim Mohamed pada 4 Julai 2015, mencadangkan kepada pasukan petugas 1MDB bahawa Najib harus didakwa di mahkamah.

Najib berdepan tuduhan salah guna kuasa, tiga tuduhan pecah amanah, dan tiga tuduhan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan RM42 juta dana SRC International, bekas anak syarikat 1MDB yang bermasalah.

Pada awal tahun 2012, SRC International menjadi milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc). Najib yang juga menteri kewangan pada masa itu, merupakan penasihat emeritus untuk SRC International, dan pengerusi lembaga penasihat kepada 1MDB.

Lihat Komen
ADS