Paling Popular
Terkini
story images
story images

Semua anggota jemaah menteri kerajaan Perikatan Nasional (PN) wajib mengisytiharkan harta masing-masing dan diberi tempoh sebulan untuk berbuat demikian, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Bercakap kepada wartawan selepas mesyuarat sulung kabinet yang dipengerusikannya hari ini, Muhyiddin juga mengingatkan mereka mengenai komitmen untuk membanteras rasuah.

“Kita akan serahkan kertas aku janji untuk komitmen pimpinan dalam kerajaan bagi menentukan tahap integriti kerajaan berada di tahap paling tinggi.

“Kedua, saya juga beritahu semua anggota kabinet untuk isytihar harta mereka dan borang akan diedarkan kemudian.

"Kita juga minta tempoh sebulan diserahkan kepada SPRM,” katanya di Putrajaya sambil menambah borang pengisytiharan itu akan diedarkan dan diserah seperti yang diamalkan pentadbiran kerajaan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) lalu.

Sementara itu, mengulas projek semasa kerajaan PH sebelum ini, Muhyiddin berkata beliau akan mengkajinya terlebih dulu, termasuk gesaan beberapa pihak untuk memperkenalkan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

“Biasanya kita akan teruskan tetapi apa pun kita akan bincang terlebih dahulu,” katanya.

Eknomi dalam situasi tak baik

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin juga berkata kerajaan akan menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi bagi mencari jalan penyelesaian terhadap situasi negara ekoran kejatuhan harga minyak dunia.

Beliau yang juga anggota parlimen Pagoh berkata mesyuarat majlis tersebut akan diadakan secara mingguan mulai Isnin depan dan keputusannya pula akan dibentangkan kepada kabinet pada Rabu.

"Majlis tersebut akan dipengerusikan oleh saya dan bersama-sama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mohamed Azmin Ali; Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mustapa Mohamed," katanya.

Tambah Muhyiddin, beberapa pakar termasuk Gabenor Bank Negara akan dilantik untuk menyertai majlis itu bagi membantu kerajaan menyelesaikan masalah berkenaan.

"Mereka akan dihubungi dalam masa terdekat," katanya.

Muhyiddin berkata, harga minyak yang jatuh ke paras AS$30 setong memberi kesan tambahan kepada dana kerajaan.

"Semua ahli jemaah Kabinet sedar bahawa ekonomi negara berada dalam keadaan situasi tidak baik," katanya.

Beliau berkata, masalah tersebut turut dibebani dengan penukaran wabak Covid-19 yang telah berlarutan sehingga kini.

"Ini telah memberi impak besar kepada negara," katanya.

Lihat Komen
ADS