Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kabinet larang warga Itali, Iran, Korea Selatan masuk Malaysia
Diterbitkan:  Mar 11, 2020 4:29 PM
Dikemaskini: 8:40 AM

Kerajaan hari ini mengumumkan larangan kemasukan kepada semua rakyat Itali, Iran, Korea Selatan ke Malaysia berkuatkuasa Jumaat ini, setelah mengambil kira status semasa penularan virus Covid

Turut disekat daripada memasuki negara ini adalah warga asing lain yang tiba dari negara-negara berkenaan.

Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Kesihatan Dr Adham Baba di laman Twitter rasminya.

Sementara itu, Bernama memetik Dr Adham sebagai berkata rakyat Malaysia, penduduk tetap dan pemegang pas jangka panjang yang tiba dari Itali, Iran dan Korea Selatan pula akan dikenakan perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah selama 14 hari.

Tindakan itu adalah di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Langkah itu juga berkuat kuasa Jumaat 13 Mac.

Selain itu, sekatan perjalanan ke atas tiga wilayah di China iaitu Hubei, Zhejiang dan Jiangsu serta Hokkaido di Jepun yang diputuskan sebelum ini, masih berkuat kuasa, katanya.

Sementara itu, Dr Adham berkata kutipan tabung Covid-19 yang diuruskan NADMA dilancar bagi membantu mereka yang terkesan dengan jangkitan virus tersebut, iaitu mereka yang menjalani pengawasan di rumah selama 14 hari atau rawatan di hospital ekoran positif Covid-19.

“Sumbangan bantuan RM100 sehari akan diberi kepada individu yang tidak mempunyai pendapatan tetap atau tiada gaji sepanjang proses itu," katanya selepas mengadakan lawatan ke Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (Akept) di Nilai, yang menempatkan 66 individu warga Malaysia dan pasangan serta anak bukan warganegara yang tiba di tanah air dari Wuhan, China pada 26 Feb lalu.

Turut hadir, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Noor Hisham Abdullah dan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Mohtar Mohd Abd Rahman.

Ditanya adakah kerajaan akan melaksanakan Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) di tiga negara berkenaan untuk membawa pulang rakyat Malaysia, Dr Adham berkata mereka yang bertugas di luar negara boleh pulang dan menjalani proses kuarantin di Nilai.

"Kami memerhatikan perkara ini dalam konteks sekiranya mereka juga dikenakan perintah kuarantin di sana. Kalau tak ada, sebagai rakyat Malaysia kita ikut apa yang kita laksanakan sebelum ini iaitu mereka boleh balik, tapi perlu melalui prosedur yang kita laksanakan seperti biasa," katanya.

Mengenai kemungkinan kerajaan melaksanakan misi ketiga ke Wuhan bagi membawa pulang rakyat Malaysia yang masih terkandas di sana, beliau berkata pihaknya akan melihat cadangan dari Wisma Putra untuk keperluan itu.

Terdahulu, Dr Adham diberi taklimat mengenai operasi dan pengurusan orang di bawah pengawasan (PUS) yang ditempatkan di Akept.

Seramai 68 individu warga Malaysia, pasangan serta anak bukan warganegara dan dua pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Beijing dikuarantin selama 14 hari, bermula 26 Feb lepas. Kesemua mereka dibenar pulang hari ini selepas disahkan negatif Covid

Setakat hari ini (11 Mac), Itali telah mencatatkan 10,149 kes Covid-19 dengan 631 kematian. Ia adalah negara kedua di dunia yang teruk terjejas dan berada di belakang China di mana virus itu dikatakan berasal.

Iran berada di tangga ketiga dengan 8,042 kes dan 291 kematian.

Korea Selatan pula menduduki tempat keempat dengan 7,775 kes dan 60 kematian.

Lihat Komen
ADS