Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hari 14: Pembelaan tuduh bekas KSU tunjuk minat projek lebih dari kontraktor

LANGSUNG | Perbicaraan terhadap Isteri bekas perdana menteri Najib Razak, Rosmah Mansor, hari ini masuk hari ke-14 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Rosmah menghadapi tiga pertuduhan berkaitan dengan dakwaan penyelewengan dana bagi projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak bagi Kementerian Pendidikan.

Projek bernilai RM1.25 bilion itu diberikan kepada Jepak Holdings Sdn Bhd secara rundingan terus.

Malaysiakini melaporkan perbicaraan ini secara langsung.


Bicara sambung 6 April

12.39 tengah hari - Peguam beka Akberdin Abdul Kader memberitahu Hakim Mohamed Zaini Mazlan bahawa pihak pendakwaan dan pembelaan telah bersetuju supaya prosiding ditangguhkan awal pada hari ini.

Difahamkan ini bertujuan untuk membolehkan pendakwaan bersiap sedia untuk meneruskan perbicaraan kes 1MDB terhadap bekas perdana menteri Najib Razak, yang dijadual bersambung pada jam 2 petang ini, selepas ditangguh selama empat bulan.

Sebelum menangguhkan perbicaraan, Zaini bertanya Akberdin mengenai berapa banyak masa lagi yang diperlukannya untuk pembelaan melakukan pemeriksaan balas terhadap saksi pendakwaan yang ke-12, bekas ketua setiausaha Kementerian Pendidikan Alias Ahmad.

Akberdin menjawab, beliau memerlukan lebih kurang dua jam lagi.

Zaini kemudiannya kembali menegur Akberdin untuk menyoal hanya perkara-perkara yang berkaitan dengan dakwaan terhadap anak guamnya, Rosmah Mansor.

Perbicaraan ditangguhkan, dan dijadualkan bersambung semula pada 6 April.


Pembelaan tuduh bekas KSU tunjuk minat projek lebih dari kontraktor 

12.15 tengah hari - Peguam bela Rosmah Mansor, Akberdin Abdul Kader sekali lagi mengasak saksi pendakwaan Alias Ahmad mengenai kepentingan Kementerian Pendidikan dalam projek hibrid solar.

Akberdin mencadangkan kepada bekas KSU Kementerian Pendidikan itu, bahawa kementeriannya itu menunjukkan minat yang lebih untuk mendapatkan bayaran pendahuluan untuk Jepak Holdings berbanding syarikat itu sendiri.

Peguam itu berkata walaupun Jepak tidak menulis surat kepada Kementerian Pendidikan atau Alias untuk mempercepat pembayaran, pihaknya selalu berkomunikasi dengan Kementerian Kewangan mengenai perkara itu.

"Jadi kalau saya katakan, yang ambil berat pasal payment ini adalah KPM, datuk. Depa (Jepak) tidak tulis surat pun. KPM yang ambil berat, tulis surat, hantar lagi," kata Akberdin.

Bagaimanapun, Alias tidak bersetuju dengan cadangan peguam bela Rosmah itu.

11.42 - Prosiding bersambung selepas rehat pendek.


11.27 pagi - Perbicaraan berehat seketika.


Tak pernah bayar satu sen pun untuk projek hibrid solar - Saksi

10.45 pagi - Bekas KSU Kementerian Pendidikan Alias Ahmad memberitahu mahkamah tiada bayaran yang dibuat kerajaan untuk projek hibrid solar di Sarawak.

Alias, yang merupakan saksi pendakwaan ke-12, berkata demikian ketika membetulkan cadangan peguam bela Akberdin Abdul Kader mengenai pembayaran pendahuluan yang diminta oleh Kementerian Pendidikan daripada Kementerian Kewangan pada 2016 untuk dibayar kepada Jepak Holdings.

Saksi berkata Kementerian Pendidikan meminta bayaran pendahuluan untuk kerja-kerja yang berkaitan dengan genset diesel di sekolah-sekolah di Sarawak dan bukan untuk projek hibrid solar.

Akberdin: Kita jangan confusekan mahkamah...

Alias: Payment ini bukan untuk solar hybrid. Untuk genset. Tak pernah dibayar satu sen pun untuk solar hybrid.


Bukan saksi yang dibicarakan - Hakim tegur peguam bela

10.21 pagi - Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohamed Zaini Mazlan menegur peguam bela kerana mengasak saksi dan menuduh bekas KSU Kementerian Pendidikan Alias Ahmad sebagai 'korup.'

Ini terjadi apabila peguam Rosmah Mansor Akberdin Abdul Kader menuduh Alias mempunyai kepentingan dalam projek hibrid solar.

"Saya kata pada kamu, ambil inisitatif sampai telefon lepas surat penolakan beliau, sebab datuk ada vested interest dalam projek ni...," kata Akberdin.

Bagaimanapun, Alias membalas, "tidak setuju."

Pada ketika ini, hakim Zaini menegur Akberedin.

"Beliau bukan orang yang sedang dibicarakan," katanya.


10.03 pagi - Perbicaraan bermula di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.


Saksi, peguam siap untuk prosiding

10.00 pagi - Prosiding akan bermula sebentar lagi, Rosmah Mansor masuk ke kandang tertuduh.

Peguam bela Rosmah, Akberdin Abdul Kader dan Jagjit Singh serta DPP mengambil tempat di bilik mahkamah.

Turut kelihatan, bekas ketua pengarah Kementerian Pendidikan Alias Ahmad, yang merupakan saksi pendakwaan ke-12. 


Hari ini,  Alias, dijangka menyambung semula keterangannya. Semalam, beliau telah memberi keterangan di mahkamah bahawa beliau telah menerima satu minit daripada perdana menteri ketika itu Najib Razak yang mengarahkannya untuk membayar pendahuluan sebanyak RM130 juta kepada Jepak Holdings.

Menurutnya, minit itu ditulis melalui surat oleh Jepak kepada Najib, yang diterima Alias menerusi mesej Whatsapp.

Bagaimanapun, menurut saksi, Kementerian Kewangan telah menolak permohonan untuk membayar sebanyak RM130 juta terlebih dahulu kepada Jepak, dengan hanya nilai 25 peratus atau RM10 juta yang boleh dibayar kepada syarikat itu sebelum sesuatu projek dimulakan.

Alias juga memberi keterangan bahawa beliau telah dihubungi oleh Rizal Mansor, yang kemudiannya menjadi pembantu kepada Rosmah, meminta agar pembayaran kepada Jepak diturunkan.

Pemeriksaan balas pembelaan kemudian menyaksikan peguam Rosmah, Akberdin Abdul Kader mengasak saksi tersebut, termasuk menuduh Alias gagal mengendalikan kementerian itu sebagai pegawai yang bertugas mengawasi dan mengarahkan pelaksanaannya.

Lihat Komen
ADS