Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hari 35: Kes 1MDB Najib bersambung lepas tangguh 4 bulan

KES 1MDB NAJIB | Selepas empat bulan berehat, perbicaraan kes bekas perdana menteri Najib Razak mengenai tuduhan penyelewengan dana 1MDB bersambung semula tengah hari ini.

Najib dituduh menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang sama.

Malaysiakini membawakan laporan langsung perbicaraan kes ini.


Perbicaraan pada 13 Nov tahun lepas ditangguhkan kerana kedua-dua peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah dan saksi pendakwaan kesembilan, bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, sedang cuti sakit pada hari itu.

Berikutan penangguhan itu, Najib menjalani dua perbicaraan kes jenayah berasingan, iaitu melibatkan pindaan laporan audit 1MDB dan kes penyewengan RM42 juta dana SRC International.

Semalam, Mahkamah Tinggi menetapkan tiga hari bermula 12, 13 dan 18 Mei untuk penghujahan lisan di peringkat pembelaan dalam perbicaraan terhadap Najib.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan tarikh tersebut selepas peguam utama Muhammad Shafee Abdullah memberitahu mahkamah bahawa pihak pembelaan menutup kesnya hari ini.

Perbicaraan kes penyelewengan RM2.28 bilion dana 1MDB berlangsung di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah dan dijadualkan bremula pada 2.30 petang ini.

Ini kerana pendakwa raya utama Gopal Sri Ram perlu hadir urusan mahkamah di Istana Kehakiman di Putrajaya pagi ini.

Shafee dijangka meneruskan pemeriksaan balas terhadap Shahrol yang memberi keterangan masuk hari ke 22. Pembelaan telah melakukan pemeriksaan balas terhadap Shahrol selama 15 hari.

Najib, 67, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

MP Pekan itu didakwa melakukan perbuatan itu di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di Kuala Lumpur di antara 24 Feb 2011 dengan 19 Dis 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Bekas menteri kewangan itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama, di antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (Amla), yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Lihat Komen
ADS