Malaysiakini
BERITA

PM: Premis k'jaan, swasta tutup kecuali perkhidmatan penting

Diterbitkan
Dikemaskini 16 Mac 2020, 3:47 petang

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memaklumkan penutupan premis kerajaan dan swasta kecuali perkhidmatan penting bagi menangani penularan wabak Covid-19.

"Penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara (atau essential services) iaitu air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan," kata beliau dalam perutusan khas malam ini.

Menurut Muhyiddin, arahan penutupan premis ini berdasarkan perintah kawalan pergerakan yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkuatkuasa mulai 18 Mac hingga 31 Mac depan bagi menangani Covid-19.

Perintah mengawal pergerakan ini, kata perdana menteri diambil kerajaan berdasarkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Akta Polis 1967 (Akta 344) dan "tertakhluk kepada perkembangan semasa bagi semua warga negara dan bukan warga negara yang berada di Malaysia."

Selain penutupan premis kerajaan dan swasta ini, perintah kawalan pergerakan itu juga meliputi hal-hal berikut:

"Pertama, larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya. Untuk menguatkuasakan larangan ini, semua rumah ibadat dan premis perniagaan-perniagaan hendaklah ditutup, kecuali pasaraya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian. Khusus untuk umat Islam,penangguhan semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau termasuk Solat Jumaat adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas yang telah bersidang pada 15 Mac 2020.

"Kedua, sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara. Bagi yang baru pulang dari luar negara, mereka dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan dan melakukan kuarantin secara sukarela (atau self quarantine) selama 14 hari.

"Ketiga, sekatan kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke dalam negara.

"Keempat, penutupan semua taska, sekolah kerajaan dan swasta termasuk sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah antarabangsa, pusat tahfiz dan lain-lain institusi pendidikan rendah, menengah dan pra-universiti.

"Kelima, penutupan semua institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta serta institut latihan kemahiran di seluruh negara," kata perdana menteri lagi.

Muhyiddin juga berkata "Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara akan bermesyuarat setiap hari untuk memantau dan mengawasi situasi wabak Covid-19."

"Saya sendiri akan mempengerusikan mesyuarat ini dan memaklumkan kepada saudara-saudari perkembangan situasi wabak Covid-19 dari semasa ke semasa," katanya.

Bagi sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Pusat Pengurusan Operasi Negara di talian hotline 03-88882010 bermula jam 12 tengah hari esok.

Perintah kawalan pergerakan tersebut susulan peningkatan mendadak jangkitan Covid-19 di Malaysia. Kementerian Kesihatan merekodkan 553 kes hari ini.

Setakat ini, tiada rakyat Malaysia yang menjadi korban Covid-19 yang telah meragut 6,650 nyawa di seluruh dunia.

Menurut perdana menteri lagi, beliau sedar perintah kawalan pergerakan ini "menimbulkan kesulitan dan kesukaran" kepada rakyat tetapi terpaksa dilakukan demi membendung penularan Covid-19.

"Kita telah melihat peningkatan wabak Covid-19 secara mendadak daripada puluhan orang yang dijangkiti virus ini kepada ribuan orang dalam masa yang singkat di beberapa buah negara lain.

"Kita tidak boleh menunggu lebih lama sehingga keadaan menjadi lebih meruncing. Tindakan drastik perlu diambil dalam kadar segera untuk menyekat penularan wabak ini dengan cara mengehadkan pergerakan orang ramai.

"Saya harap saudara-saudari dapat bersabar menghadapi dugaan ini. Jangan panik, jangan cemas, dan sentiasalah bertenang," jelasnya.

Perdana menteri juga memberi jaminan "bekalan bahan-bahan makanan, keperluan harian dan penjagaan kesihatan termasuk topeng muka adalah mencukupi."

"Saya telah mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna agar sentiasa memantau situasi bekalan makanan dan keperluan harian di pasaran sepanjang tempoh Perintah KawalanPergerakan ini berkuatkuasa," katanya lagi.

 

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.