Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Covid-19 ragut dua nyawa pertama
Diterbitkan:  Mar 17, 2020 5:34 PM
Dikemaskini: 10:59 AM

Malaysia mencatatkan dua kematian pertama berkaitan wabak Covid-19 hari ini.

Ia melibatkan seorang lelaki berusia 60 tahun di Kuching, Sarawak, dan seorang lelaki berusia 34 tahun.

Perkara itu diumumkan Menteri Kesihatan Dr Adham Baba dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.

Menurut Adham, lelaki berusia 60 tahun itu, yang merupakan kes ke-358, mempunyai sejarah penyakit kronik dan mula mengalami gejala demam, batuk dan kesukaran bernafas pada 7 Mac lalu.

"Beliau mendapat rawatan di Hospital Umum Sarawak pada 14 Mac 2020 setelah dikesan positif Covid-19. Keadaan beliau merosot dan telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi.

"Beliau disahkan meninggal dunia pada 17 Mac 2020," katanya.

Dr Noor Hisham Abdullah dan Dr Adham Baba

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam satu kenyataan memaklumkan lelaki itu merupakan paderi di sebuah gereja di Kuching, dan meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak pada pukul 11 pagi tadi.

"Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak masih dalam proses mengenal pasti sumber jangkitan terhadapnya.

"Sementara itu, 193 kontak rapat mendiang telah dikenal pasti dan sedang menjalani kuarantin di rumah," kata JPBN Sarawak.

Sementara itu, Adham memaklumkan satu lagi kematian, iaitu melibatkan lelaki berusia 34 tahun yang merupakan kes ke-178, merupakan salah seorang peserta perhimpunan Tabligh di Masjid Sri Petaling Kuala Lumpur pada 27 Feb hingga 1 Mac.

"Dia mula mengalami gejala demam pada 5 Mac dan mendapat rawatan di Hospital Permai Johor Bahru pada 12 Mac, setelah dikesan positif Covid-19.

"Keadaannya merosot dan telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi. Dia disahkan meninggal dunia pada 17 Mac 2020," katanya.

Adham juga berkata, kematian lelaki itu tidak disebabkan faktor komorbiditi, iaitu penyakit-penyakit lain yang turut menjadi punca kematian.

"Komorbiditi bermaksud penyakit lain... Punca kematiannya ialah Covid-19. Tiada (penyakit lain)," katanya lagi.

Malaysia mencatat lebih 100 kes baru untuk hari ketiga berturut-turut hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 kepada 673, menurut Adham.

Adham berkata, sebanyak 120 kes baru direkodkan setakat pukul 12 tengah hari nanti.

Katanya lagi, 95 kes dikesan mempunyai kaitan dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling.

Malaysia mencatatkan 190 kes baru pada 15 Mac dan 125 kes baru pada 16 Mac.

Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan perintah kawalan pergerakan bagi membendung penularan wabak Covid-19, berkuatkuasa esok.

Perintah kawalan pergerakan itu antara lain:

  • Larangan terhadap semua perhimpunan termasuk kegiatan keagamaan, sukan, sosial dan budaya.
  • Semua premis perniagaan ditutup, kecuali pasaraya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian.
  • Warga dilarang ke luar negara, manakala mereka yang kembali dari luar negara perlu menjalani pemeriksaan kesihatan dan menjalani kuarantin sendiri selama 14 hari.
  • Sekatan kemasukan terhadap pelancong dan pelawat asing.
  • Penutupan semua sekolah dan institut pengajian di setiap peringkat.
  • Penutupan premis kerajaan dan swasta kecuali perkhidmatan penting iaitu air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan.

Lihat Komen
ADS