Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Imam, bilal dan siak di Kelatan dibenarkan solat berjemaah
Diterbitkan:  Mar 17, 2020 6:29 PM
Dikemaskini: 10:29 AM

Susulan arahan larangan segala aktiviti di masjid, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) bagaimanapun memberi kebenaran supaya laungan azan dan perlaksanaan solat fardhu di masjid dan surau secara berjemaah dilakukan oleh pegawai masjid.

Timbalan Yang Dipertua Maik, Zulkifle Ab Rahman berkata, kebenaran itu diberikan kepada imam tua, imam muda, bilal dan siak yang melepasi saringan pemeriksaan di Pejabat Kesihatan Daerah.

Menurut beliau, pendekatan itu sebagai langkah membendung penularan Covid-19 selepas perintah kawalan pergerakan diumumkan kerajaan, semalam.

"Dalam tempoh berkenaan, semua masjid dan surau di negeri itu digalakkan melaksanakan operasi pembersihan dan penyahkuman sebagai langkah kawalan membendung Covid-19.

"Perlanjutan atau penamatan tempoh 14 hari berkenaan adalah tertakluk sepenuhnya kepada arahan Maik berdasarkan nasihat dan pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Bagaimanapun, laungan azan dan perlaksanaan solat fardhu di masjid dan surau secara berjemaah hendaklah dilakukan oleh pegawai masjid sahaja iaitu imam tua, imam muda, bilal dan siak selepas melepasi saringan pemeriksaan di Pejabat Kesihatan Daerah," katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan memutuskan untuk melaksanakan perintah kawalan pergerakan, mulai Rabu (18 Mac hingga 31 Mac 2020), di seluruh negara susulan penularan wabak Covid-19.

Beliau berkata, perintah kawalan selama 14 hari itu dibuat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Katanya, perintah kawalan pergerakan ini membabitkan pertamanya larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya.

Sehubungan itu Zulkifle berkata, sepanjang tempoh itu, semua perhimpunan untuk tujuan aktiviti agama seperti kuliah dan ceramah di masjid serta surau hendaklah ditangguhkan.

Selain itu katanya, sekiranya berlaku kematian akibat Covid-19, jenazah orang Islam hendaklah diuruskan sebagaimana hukum pengurusan jenazah orang Islam disyaki atau disahkan dijangkiti virus iaitu pengecualian dan kelonggaran, sekiranya terdapat keadaan yang boleh menimbulkan kemudaratan kepada nyawa petugas yang menguruskan jenazah itu.

"Dalam hal ini, dibolehkan jenazah itu melalui prosedur tayammum yang paling ringan kesan bahayanya seperti melakukan tayammum hanya diatas permukaan beg jenazah atau pembalut plastik yang membalut jenazah itu sahaja.

"Justeru, semua pihak yang terbabit dengan pengurusan masjid dan surau dan ahli jawatankuasa di Kelantan hendaklah mematuhi arahan ini.

“Marilah kita bersatu hati merafakkan doa semoga wabak Covid-19 segera berakhir dan negeri kita beroleh perlindungan Allah," katanya.

Lihat Komen
ADS