Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jais keluarkan panduan majlis nikah dalam tempoh perintah kawalan pergerakan
Diterbitkan:  Mar 17, 2020 6:58 PM
Dikemaskini: 10:58 AM

Selepas Majlis Keselamatan Negara (MKN) melarang penganjuran sebarang majlis resepsi termasuk kenduri kahwin ekoran penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengeluarkan tatacara pelaksanaan majlis akad nikah di Selangor.

Dalam tatacara berkenaan, akad nikah dilarang sama sekali dilangsungkan di tempat awam seperti masjid dan surau, sebaliknya hendaklah dilangsungkan di premis persendirian.

Akad nikah juga hendaklah dilangsungkan melibatkan hanya 10 pihak, iaitu seorang pendaftar atau penolong pendaftar perkahwinan, pengantin lelaki, pengantin perempuan, seorang wali, dua saksi, dua wakil pengatin lelaki dan dua wakil pengantin perempuan.

Bagaimanapun, acara itu tidak boleh melibatkan berjabat tangan antara pengantin lelaki dengan wali, pendaftar atau penolong pendaftar perkahwinan, dan akad nikah itu juga harus diselesaikan dalam masa tidak lebih 20 minit, termasuk khutbah nikah.

Sekiranya terdapat mana-mana daripada 10 individu yang dibenarkan hadir itu disahkan atau disyaki positif Covid-19, maka majlis itu hendaklah dibatalkan.

“Langkah-langkah keselamatan yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia hendaklah dipatuhi, termasuk berkaitan penyediaan hand sanitizer (pensanitasi tangan), topeng muka dan jarak selamat antara individu.

“Kenduri bagi meraikan majlis perkahwinan adalah dilarang sama sekali,” kata kenyataan tatacara itu lagi.

Tatacara pelaksanaan majlis akad nikah itu hendaklah dipatuhi sepanjang 18 Mac hingga 17 April 2020, di seluruh negeri Selangor.

Malam semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkuatkuasa mulai 18 Mac hingga 31 Mac depan bagi menangani Covid-19.

Perintah itu diambil kerajaan berdasarkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Akta Polis 1967 (Akta 344) dan "tertakhluk kepada perkembangan semasa bagi semua warga negara dan bukan warga negara yang berada di Malaysia."

Selangor sebelum ini turut menangguhkan solat Jumaat dan semua aktiviti di masjid, surau dan musolla sehingga 17 April depan bagi mengurangkan impak dan penularan Covid-19.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS