Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
N Sembilan awalkan gaji kakitangan, bantuan am JKM

Kerajaan Negeri Sembilan mengumumkan beberapa inisiatif bagi mengurangkan beban rakyat serta usaha menangani penularan jangkitan COVID-19 di negeri ini, antaranya bayaran gaji penjawat awam Negeri Sembilan diawalkan kepada Jumaat ini.

Selain itu, bayaran Bantuan Am Jabatan Kebajikan Masyarakat juga diawalkan supaya dapat dibelanjakan untuk kegunaan harian dan melanjutkan tempoh akhir bayaran cukai tanah daripada 31 Mei kepada 31 Julai tanpa dikenakan bayaran denda lewat.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata kerajaan negeri turut memperuntukkan bantuan keperluan asas sebanyak RM3 juta berbentuk barangan keperluan harian untuk individu berpendapatan rendah yang terjejas punca pendapatan harian akibat COVID-19.

“Selain itu, setiap daerah juga perlu menyediakan dua premis untuk petugas kesihatan yang terlibat dalam usaha menangani COVID-19.

Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri Sembilan (PKOBNS) yang bertempat di Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dibuka 24 jam sehari bagi menangani COVID-19, telah diaktifkan sejak 15 Mac untuk menyelaras operasi dan pelaporan menangani COVID-19,” katanya dalam kenyataan di Seremban, hari ini.

Katanya Mesyuarat Penyelarasan Kluster COVID-19 Peringkat Negeri Sembilan yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan pula akan bermesyuarat dengan lebih kerap bagi menangani isu-isu yang timbul.

Satu Garis Panduan Perintah Kawalan Pergerakan Penjawat Awam Negeri Sembilan turut dikeluarkan, katanya.

Aminuddin berkata Kerajaan Negeri Sembilan juga akan menilai semula inisiatif dan isu-isu berkaitan COVID-19 dari semasa ke semasa mengikut keperluan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS