Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Putrajaya perlu gantung bursa saham - Persatuan broker
Diterbitkan:  Mar 19, 2020 1:47 PM
Dikemaskini: 5:53 AM

Persatuan Syarikat-syarikat Broker Saham Malaysia (ASCM) menggesa Putrajaya untuk menggantung kegiatan urus niaga dagangan di Bursa Malaysia.

ASCM dalam suatu kenyataan hari ini berkata modal pasaran telah menguncup sebanyak 23 peratus daripada RM1.04 trillion pada 31 Disember 2019 menjadi RM804.63 billion pada 18 Mac 2020.

Maksudnya pasaran saham telah kehilangan RM235 bilion dalam masa dua setengah bulan.

"Bursa Malaysia perlu digantung buat masa ini sebagai langkah pertahanan bagi melindungi pasaran saham daripada mengalami kerosakan teruk yang akan mengambil masa hampir satu dekad untuk dipulihkan kembali," kata Pengerusi ASCM Azman Manaf dalam suatu kenyataan.

Indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup dengan 1,239.01 mata pada Rabu, kemerosotan 28 peratus sebagaimana yang ditunjukkan ASCM, berbanding Disember 2019 dengan 1,588.76 mata dagangan.

Azman memberi amaran indeks utama bursa boleh menjunam di bawah 1,000 mata, tahap yang terakhir dilihat pada 2009 sekiranya kerajaan tidak mengambil langkah bagi mengelakkan hal ini.

"Bencana sedemikian pasti akan menjejaskan ekonomi negara dengan cara yang paling buruk.

"Bank akan menanggung pinjaman tidak berbayar yang besar dan syarikat tersenarai awam (di Bursa Malaysia) akan melihat pengurangan besar modal pasaran, sementara broker akan rugi besar dan ribuan pelabur runcitan akan muflis," katanya.

China dan Filipina telah menggantung bursa sahamnya baru-baru ini.

Ekonomi global menerima kesan akibat pengurangan permintaan dan gangguan bekalan barangan dan perhidmatan terutamanya disebabkan oleh wabak virus Covid-19.

Malaysia telah bertindak balas dengan mengenakan perintah kawalan pergerakan yang berkuat kuasa semalam, dengan menutup kebanyakan perniagaan untuk mengelakkan orang ramai berkumpul dan terus menyebarkan virus itu.

Walau bagaimanapun, perkhidmatan kewangan, termasuk Bursa Malaysia, masih terus dibenarkan beroperasi.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS