Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
2,000 Rohingya hadir dalam acara Tabligh dicari untuk pemeriksaan - sumber
Diterbitkan:  Mar 19, 2020 4:52 PM
Dikemaskini: Mar 20, 2020 3:40 AM

Pihak berkuasa Malaysia sedang mengesan kira-kira 2,000 orang Rohingya yang menghadiri perhimpunan Tabligh yang menyebabkan peningkatan besar kes Covid-19 di seluruh Asia Tenggara, kata sumber keselamatan dan dua orang lain, kepada Reuters.

Lebih dari 100,000 Rohingya menetap di Malaysia selepas melarikan diri dari Myanmar, tetapi mereka dianggap sebagai pendatang haram.

Status itu mungkin membuatkan ramai yang keberatan untuk tampil mendapatkan ujian untuk koronavirus walaupun mereka mempunyai tanda-tanda jangkitan, kata satu lagi sumber lain, dari komuniti Rohingya.

Perhimpunan di Bukit Jalil, Kuala Lumpur dihadiri oleh kira-kira 16,000 orang, termasuk Rohingya dari Myanmar, kata satu sumber.

Selain penduduk Rohingya, kira-kira 1,500 orang Islam dari seluruh Asia dilapor turut hadir ke majlis tersebut.

Hampir 600 kes koronavirus di Asia Tenggara dikaitkan dengan perhimpunan itu, termasuk 513 di Malaysia, 61 di Brunei, 22 di Kemboja, sekurang-kurangnya lima di Singapura dan dua di Thailand.

Pihak berkuasa Malaysia masih cuba menjejaki kira-kira 4,000 lagi peserta acara tabligh itu.

"Mereka telah kembali kepada keluarga mereka di seluruh Malaysia, sudah menjadi sukar bagi kita untuk menghubungi mereka,” kata satu sumber yang bekerja dengan komuniti pelarian itu.

Katanya, ramai yang takut untuk tampil kerana bimbang berdepan masalah dengan pihak berkuasa.

Reuters berkata pihak polis enggan mengulas perkara itu dan meminta soalan diajukan kepada Majlis Keselamatan Negara - yang tidak dapat dihubungi untuk ulasan segera.

Malaysia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan untuk dua minggu untuk membendung koronavirus selepas kenaikan jumlah kes berkaitan dengan perhimpunan masjid itu. Seorang yang menghadiri perhimpunan itu meninggal dunia akibat Covid-19.

Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) di Malaysia meminta pelarian dan pemohon suaka di Malaysia mendapatkan rawatan jika menunjukkan gejala jangkitan Covid-19, tidak kira sama ada mereka hadir atau tidak dalam acara Tabligh itu.

Kementerian Kesihatan tidak memberikan maklum balas terhadap soalan Reuters buat masa ini.

Seorang warga Rohingya, 39, bapa kepada empat anak yang tinggal di negeri Pulau Pinang, berkata beliau menghabiskan beberapa hari di masjid dengan kira-kira 20 rakan Rohingya.

"Semuanya baik-baik saja, tidak ada demam," kata pekerja pembinaan itu. Reuters tidak mendedahkan namanya untuk melindungi identitinya.

Salman, seorang pekerja pembinaan Bangladesh yang tinggal berhampiran masjid, berkata beliau dan ramai lagi warga Bangladesh pergi ke perhimpunan itu.

Ujian koronavirusnya negatif tetapi hospital memanggilnya setiap hari untuk memeriksanya, kata Salman.

"Apabila saya pergi untuk ujian, mereka tidak meminta pasport atau permit kerja atau sebarang dokumen.

“Mereka hanya meminta nama, umur dan alamat saya," kata Salman, yang enggan memberikan nama penuhnya.

Lihat Komen
ADS