Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lapangan terbang akan terus beroperasi - MAHB
Diterbitkan:  Mar 19, 2020 5:11 PM
Dikemaskini: 9:11 AM

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) berkata lapangan terbang akan terus beroperasi semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama 14 hari ini kerana lapangan terbang berada dalam kategori perkhidmatan penting.

Mengikut senarai soalan kerap ditanya yang dikeluarkan hari ini, MAHB berkata, ketika ini tiada sebarang sekatan ke atas operasi penerbangan antarabangsa dan domestik.

“Sebarang keputusan untuk membatalkan penerbangan adalah atas budi bicara syarikat penerbangan dan penumpang dinasihatkan menghubungi syarikat penerbangan masing-masing berkenaan jadual penerbangan mereka,” kata pengendali lapangan terbang itu.

Rakyat Malaysia dan penduduk tetap tidak dibenarkan pergi ke luar negara untuk bercuti semasa tempoh ini manakala diplomat Malaysia yang berkhidmat di luar dibenarkan untuk meninggalkan negara ini.

Bagi yang memegang permit kerja dari negara ketiga yang mahu pulang ke tempat kerja mereka dibenarkan berbuat demikian tetapi tidak boleh masuk semula sebelum 31 Mac.

“Anda diminta menunjukkan dokumen yang perlu di pintu perlepasan,” kata MAHB.

Sementara itu, warga tempatan dan penduduk tetap, pasangan serta anak-anak warga yang memegang pas jangka panjang serta diplomat asing yang berkhidmat di Malaysia dibenarkan memasuki Malaysia dari luar negara semasa tempoh Perintah.

Bagaimanapun, semua ekspatriat, pelajar, pekerja sementara dan pemegang pas Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) tidak dibenarkan memasuki Malaysia semasa tempoh ini dan sekiranya pas mereka telah tamat tempoh ketika mereka berada di negara mereka masing-masing, mereka akan dibenarkan masuk sebaik sahaja Perintah itu ditarik balik.

“Sila ambil perhatian bahawa semua kemasukan ke Malaysia perlu menjalani pemeriksaan kesihatan di pintu masuk dan kemudiannya perlu melakukan kuarantin sendiri bagi tempoh 14 hari seterusnya,” kata MAHb sambil menambah kru syarikat penerbangan dan kargo termasuk kru pesawat persendirian juga perlu melalui proses pemeriksaan kesihatan sebelum pemeriksaan imigresen.

Penumpang penerbangan transit dan penerbangan penghubung yang tidak perlu melalui imigresen juga dibenarkan untuk menaiki penerbangan penghubung mereka.

“Sila ambil perhatian transit antara terminal (KLIA-KLIA2 atau KLIA2-KLIA) tidak boleh dilakukan semasa tempoh Perintah,” kata syarikat itu.

Pengunjung Malaysia dan asing tidak dibenarkan terbang dari Semenanjung Malaysia ke Malaysia Timur dan sebaliknya.

“Bagaimanapun, orang Sabah dan Sarawak yang telah berada di Semenanjung sebelum penguatkuasaan Perintah dan mahu pulang ke negeri masing-masing akan dibenarkan berbuat demikian,” kata syarikat itu.

Peraturan yang sama terpakai kepada mereka dari Semenanjung Malaysia yang ketika ini berada di Sabah dan Sarawak dan mahu pulang ke Semenanjung Malaysia.

Selain itu, farmasi, pasar raya dan kedai serbaneka yang menjual barangan penting di lapangan terbang dibenarkan beroperasi semasa tempoj Perintah, manakala makan di outlet restoran atau kedai makan dan minuman tidak dibenarkan.

MAHB berkata semua perkhidmatan pengangkutan awam ke dan dari lapangan terbang disediakan, bagaimanapun kekerapan operasi akan dikurangkan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS