Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri: Rakyat M'sia ke himpunan Tabligh Indonesia akan ditempatkan di pusat kuarantin
Diterbitkan:  Mar 19, 2020 6:19 PM
Dikemaskini: 10:19 AM

Kerajaan memutuskan bahawa sejumlah 83 warga Malaysia yang ke Sulawesi, Indonesia untuk menyertai himpunan Tabligh akan dikuarantin selama 14 hari sebaik kembali ke Malaysia.

Himpunan itu dibatalkan hari ini selepas gesaan daripada pihak berkuasa Indonesia tetapi ribuan sudah berkumpul di Gowa, dekat Makassar sejak beberapa hari lalu.

Menurut perintah kawalan pergerakan yang berkuat kuasa semalam, warga Malaysia yang pulang dari luar negara dibenarkan untuk menjalankan kuarantin secara sendiri.

Bagaimanapun Menteri Kesihatan Dr Adham Baba membayangkan kelonggaran itu tidak akan diberikan kepada 83 warga Malaysia tersebut.

"Untuk kes Sulawesi, hampir 83 rakyat Malaysia berada di sana (untuk menyertai himpunan itu).

"Kita sudah buat keputusan apabila mereka balik, mereka akan disaring dan kita akan kuarantin (mereka) selama 14 hari di pusat kuarantin yang telah diwartakan. Ini mandatori," katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Kebimbangan terhadap himpunan itu susulan himpunan sama di Masjid Seri Petaling Kuala Lumpur pada 27 Feb hingga 1 Mac lalu, yang menyebabkan ramai peserta dijangkiti wabak Covid-19.

Himpunan itu menjadi kluster penularan Covid-19 terbesar di Malaysia, dengan majoriti daripada 900 kes dikesan mempunyai kaitan dengan acara itu.

Warta kerajaan bertarikh 16 Mac menyenaraikan 56 lokasi sebagai pusat kuarantin di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Ia termasuklah Pusat Kuarantin Kesihatan di KLIA dan KLIA2, Pusat Kawalan Kusta Negara di Sungai Buloh dan beberapa hospital.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS