Paling Popular
Terkini

Kempen #Kitajagakita adalah satu inisiatif rakyat untuk mengumpul organisasi bukan kerajaan (NGO) dan individu bagi membantu golongan memerlukan sebaik sahaja perintah kawalan pergerakan dijalankan.

#Kitajagakita dimulakan oleh penulis Hanna Alkaf, sukarelawan dan beberapa aktivis Pulang Mengundi untuk memastikan golongan memerlukan mendapat bantuan secukupnya.

Hanna berkata inisiatif ini dilancarkan kerana beliau tidak selesa untuk berdiam diri sewaktu menghadapi krisis.

“Jadi saya menyalurkan rasa tidak selesa ini kepada sesuatu yang baik daripada hanya menjadi negatif.

“Ia bermula dengan satu ciapan di Twitter. Apabila saya jumpa inisiatif yang baru, saya akan masukkan dalam bebenang ciapan tersebut. Dari situ, ia mula berkembang. 

"Setiap kali netizen maklumkan pada saya inisiatif baru, saya masukkan dalam bebenang,” jelasnya sewaktu dihubungi oleh Malaysiakini.

Terdahulu menerusi Twitter, Hanna berkata senarai NGO dan kumpulan komuniti terbabit juga telah dimuat naik di laman sosial.

“Sama ada anda sedang memerlukan atau menawarkan bantuan, dalam bentuk wang atau bantuan pertolongan, #kitajagakita,” ciapnya di laman sosial Twitter.

Hanna turut berkata, mereka sedang membangunkan satu sistem yang memudahkan orang ramai untuk membuat sumbangan.

“Sekiranya syarikat-syarikat yang berpotensi sudi untuk bekerjasama dengan kami, ia lebih baik,” katanya lagi.

Laman sesawang #Kitajagakita turut menyenaraikan NGO dan kumpulan komuniti seperti Mercy Malaysia, Befrienders KL, Woman’s Aid Organisation (WAO), Puak Payong dan The Lost Food Project.

Semalam, usahawan selebriti Vivy Yusof dan suaminya Fadza Anuar memulakan kempen bantuan amal iaitu FV Covid-19 Support Funds untuk mengumpul dana bagi disalurkan kepada hospital-hospital yang merawat pesakit Covid-19.

Sehingga kini, kempen tersebut berjaya meraih sebanyak RM214,284 dalam tempoh masa 24 jam dengan jumlah seramai 5,542 penderma.

Setakat tengah hari semalam, 900 kes positif Covid-19 disahkan di Malaysia dengan dua kematian, 75 pesakit telah pulih dan 20 pesakit kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

Lihat Komen
ADS