Menteri Pertahanan Ismail Sabri menjelaskan bahawa kerajaan akan mengeluarkan surat pelepasan perjalanan kepada pekerja di sektor penting atau essential supaya mereka tidak berhadapan dengan sebarang masalah apabila melalui sekatan jalan raya untuk ke kerja.
Ini, katanya selepas mesyuarat hari ini memutuskan supaya pihak angkatan tentera Malaysia (ATM) membantu pihak polis dalam memastikan perintah kawalan pergerakan dipatuhi oleh orang ramai mulai Ahad ini.
“Satu lagi yang telah diputuskan tadi, kemungkinan ada kesusahan dari pekerja-pekerja jabatan kerajaan dan swasta apabila tidak ada bukti yang mereka akan pergi pejabat.
“Jadi ketua setiausaha di setiap kementerian akan keluarkan surat pelepasan perjalanan kepada setiap pekerja,” katanya.

Bagi pekerja swasta di sektor perkhidmatan penting, katanya tanggungjawap mengeluarkan surat itu diserahkan kepada Menteri Kanan Mohamed Azmin Ali.
“Bagi kluter ekonomi, Azmin akan dapatkan surat-surat dari pihak swasta.
“Jadi kekeliruan yang selama ini timbul akan dapat diselesaikan melalui pas kebenaran perjalanan yang akan dikeluarkan oleh ketua setiausaha kementerian dan pejabat swasta,” katanya.
Di bawah perintah kawalan pergerakan, semua perniagaan yang tidak penting atau essential telah diarahkan supaya ditutup sementara rakyat dilarang meninggalakan negara ini dan melakukan perjalanan antara negeri manakala warga asing pula tidak benarkan memasuki Malaysia.
Rakyat juga digesa untuk tinggal di rumah dan hanya keluar jika ada keperluan, seperti untuk membeli bekalan makanan.

Pada sidang media itu, Ismail turut menggesa rakyat yang berada di negeri lain supaya elak daripada datang ke Kuala Lumpur pada musim cuti sekolah.
“Ibu bapa yang anak mereka bercuti, teruskan tinggal di kampung masing-masing. Jangan pulang ke KL (Kuala Lumpur).
“Yang dah balik baru-baru ini tapi dah balik, tinggal di rumah masing-masing di kampung. Tak perlu pulang Kuala Lumpur,” katanya.
Bawa balik rakyat Malaysia dari Itali dan Iran
Dalam perkembangan berasingan, Ismail menjelaskan bahawa seramai 55 rakyat Malaysia di Iran dan 94 di Itali akan dibawa pulang bermula 22 dan 23 Mac ini.
“Semua akan melalui kuarantin selama 14 hari kerana mereka datang dari negara yang punya risiko yang amat tinggi,” katanya.
Setakat ini, Itali mencatatkan 427 kematian sejak Rabu lalu dan angka kumulatif mencecah sebanyak 3,405 kes.
