Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penghantar makanan - Wira tak didendang di saat Covid-19

Di saat rakyat Malaysia tidak dapat ke tempat kerja ekoran perintah kawalan pergerakan, ribuan penunggang motosikal masih di jalanan untuk memenuhi permintaan penghantaran makanan yang kian meningkat.

Ia kerja yang berisiko. Mereka tetap terdedah kepada kontak dengan ramai orang saban hari.

Muhammad Ezlan Putra, 23, biasanya berada di jalan raya selama tujuh hingga lapan jam dalam sehari. Dia memberitahu Malaysiakini bahawa ancaman di jalan raya dahulu ketakutan terbesarnya. Kini ia adalah risiko terdedah kepada wabak Covid-19.

"Saya bimbang dengan keadaan ini, tapi apa boleh buat? Ini sudah jadi kerja saya," katanya.

Tambah membimbangkan apabila ramai orang yang ditemuinya tidak memakai topeng muka. Dia juga gagal mendapatkannya.

"Saya sudah ke beberapa farmasi untuk beli, tapi semua tak ada stok," katanya lagi.

Ezlan

Walaupun kerajaan sudah memberi jaminan bekalan topeng muka kekal mencukupi, hakikatnya ia tetap barang yang langka buat masa ini.

Menurut kenyataan Ketua Grab Malaysia Sean Goh, syarikat itu kini memberi subsidi topeng muka untuk penghantar makanan mereka.

Bagaimanapun, ia berdasarkan "siapa cepat dia dapat", bermakna tidak semua penghantar makanan akan mendapatnya.

Satu lagi perkhidmatan penghantaran makanan, Foodpanda semalam mengumumkan penghantar makanan mereka telah dibekalkan dengan topeng muka dan pencuci tangan.

Bagaimanapun tinjauan rambang Malaysiakini di kalangan penghantar makanan Foodpanda mendapati mereka masih belum menerimanya.

"Kita beli sendiri. Kita perlu beli topeng muka dan pencuci tangan guna duit sendiri," kata seorang penghantar makanan, Firdaus.

Menjawab soalan Malaysiakini, Foodpanda berkata kapten penghantar makanannya sedang mengedarkan topeng muka, pembasmi kuman dan sarung tangan kepada para penunggangnya sebelum mereka memulakan syif di lapangan.

Penghantaran tanpa kontak

Perintah kawalan pergerakan antara lain mengarahkan pusat membeli-belah ditutup dan restoran hanya mengambil pesanan makanan untuk dibawa pulang.

Bagi penghantar makanan, ia tidak memudahkan kerja mereka.

Sejumlah pusat membeli-belah yang menempatkan restoran masih menyediakan makanan untuk dibawa pulang. Bagi penghantar makanan, ia bermakna mereka perlu melalui pemeriksaan suhu badan dan memberikan maklumat diri sebelum dibenarkan masuk.

Ia banyak memakan masa dalam seharian mereka bekerja.

"Sekarang semua kompleks membeli-belah ditutup, hanya beberapa restoran masih buka untuk penghantaran atau bawa pulang makanan. Sesetengah kedai, misalnya McDonald, mereka akan periksa suhu badan dan minta anda isi maklumat diri.

"Bagi orang biasa, pengawal tak akan benarkan anda masuk begitu saja," katanya lagi.

Kesan positif keadaan sekarang untuk penghantar makanan adalah pilihan baru "penghantaran tanpa kontak" yang diperkenalkan GrabFood dan Foodpanda.

Ini membenarkan pelanggan untuk meminta pelanggan meletakkan makanan mereka di tempat tertentu, meminimumkan pertemuan bersemuka dengan penghantar.

"Pelanggan boleh beritahu di mana nak letak makanan mereka. Ada yang minta kami letak di lobi kondiminium, ada yang minta sangkut di pagar," kata Ezlan.

Perlindungan undang-undang

Sementara kebanyakan pekerja dilindungi ketika tempoh perintah larangan pergerakan, yang mewajibkan majikan membayar gaji kepada mereka yang terpaksa berada di rumah, tidak banyak perlindungan untuk penghantar makanan.

Menurut Majlis Keselamatan Negara, pekerja biasa juga dilindungi jika mereka dipaksa menjalani kuarantin. Ketika tempoh kuarantin, majikan tidak boleh memaksa pekerja menggunakan cuti tahunan.

Penghantar makanan tidak menikmati hubungan pekerjaan sama dengan majikan mereka, kerana mereka tidak termasuk dalam undang-undang buruh sedia ada.

Justeru mereka tidak dilindungi atau menikmati apa-apa manfaat yang diumumkan oleh Kementerian Sumber Manusia ketika tempoh perintah berkuat kuasa.

Bagaimanapun, Grab telah mengumumkan mereka akan memberikan bantuan kewangan kepada penghantar makanan atau pemandu yang terkesan dengan akaun yang digantung.

"Kami akan memberikan RM1,000 kepada mereka yang dijangkiti Covid-19 ketika bekerja, dan RM300 kepada pemandu yang dikuarantin kerana terdedah ketika bekerja," kata Grab.

Lihat Komen
ADS