Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Sebelum virus Covid-19 mati kerana air panas, pesakit mati dulu'
Diterbitkan:  Mar 21, 2020 8:20 PM
Dikemaskini: 12:20 PM

Seorang lagi doktor pakar tampil menyanggah 'petua' yang dicadangkan oleh Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba, mengenai kaedah melawan virus berbahaya yang menyebabkan Covid-19.

Kali ini orang itu ialah bekas timbalan menteri kesihatan, Dr Lee Boon Chye.

Katanya, meminum air suam bukanlah cara yang berkesan untuk merawat atau mencegah virus yang setakat petang ini meragut nyawa hampir 10 orang di negara ini.

Menurut beliau, hal yang sama juga berlaku jika pesakit Covid-19 meminum alkohol, seperti yang dilaporkan di Iran.

"Walaupun suhu panas dan air panas boleh membunuh virus, anda sebenarnya perlu menyiram air panas ke dalam paru-paru dan ini akan membanjiri paru-paru, sekali gus membunuh pesakit sebelum virus itu mati!" katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kelmarin - semasa temu bual bersama RTM - Adham menyatakan virus "tidak suka panas" dan ia akan dinyahkan dari kerongkong sehingga "kalah" apabila memasuki perut yang berasid.

Bagaimanapun kenyataan tersebut mengundang kecaman pelbagai pihak termasuk dalam kalangan pakar perubatan. Seorang daripada mereka ialah Dr Amalina Bakri yang berkhidmat di United Kingdom.

Bukan cuma di tekak

Kepecayaan sebegitu juga sudah dinafikan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) pada akhir Feb lalu dan badan tersebut menganggap ia sebagai suatu mitos.

Adham ialah ialah ahli parlimen Umno mewakili kawasan Tenggara di Johor. Beliau dilantik oleh Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, menggantikan menteri kerajaan Pakatan Harapan (PH), Dr Dzulkefly Ahmad.

Petang tadi, Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang, menganggap Adham sebagai seorang "pelawak" kerana memberikan kenyataan berkenaan air suam itu.

Lee berkata saluran pernafasan manusia mempunyai laluan yang berbeza daripada sistem gastrointestinal walaupun ia berkongsi kawasan umum di dalam kerongkong.


Baca PH sedia tawarkan khidmat Dr Dzul gantikan 'pelawak'


"Semasa kita makan atau minum, ada mekanisme untuk mencegah makanan atau minuman itu masuk ke dalam paru-paru.

"Apabila makanan atau minuman secara tidak sengaja memasuki paru-paru, ia menyebabkan pneumonia aspirasi dan akibatnya adalah serius.

"Covid-19 adalah jangkitan saluran pernafasan khususnya di saluran pernafasan yang lebih mendalam. Bagi pesakit yang dijangkiti, virus ini berada terutamanya di saluran pernafasan dalam dan bukan hanya di tekak," katanya.

Menurut ahli parlimen Gopeng itu lagi, cara terbaik mencegah jangkitan Covid-19 ialah dengan kerap membasuh tangan, mengelak daripada menyentuh muka, duduk di rumah dan menggunakan penutup hidung dan mulut semasa berada di tempat awam.

"Duduk di rumah dan patuhi perintah kawalan pergerakan," katanya.

Lihat Komen
ADS