Bukan hanya penutup hidung dan mulut perlu diberi pengecualian duti import dan cukai jualan oleh kerajaan bagi menghadapi ancaman wabak Covid-19 sekarang, kata Pakatan Harapan (PH).
Selain itu, kata PH, bekalan kritikal lain yang digunakan penjawat awam serta pekerja kesihatan di barisan depan juga wajar diberikan pelepasan berkenaan.
Antaranya, kata PH, ialah peralatan perlindungan diri (personal protective equipment atau PPE), sarung tangan serta alat bantuan pernafasan.
"Ini akan sedikit sebanyak menggalakkan pembekalan alat bekalan perubatan kritikal melalui pembuatan tempatan dan juga melalui bekalan import," kata PH dalam kenyataan bersama dikeluarkan petang ini.
Ia ditandatangani Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail; Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad, dan Ahli Parlimen Bangi dari DAP, Dr Ong Kian Ming.
Terdahulu Putrajaya menyatakan persetujuan untuk mengecualikan duti import dan cukai jualan untuk penutup hidung dan mulut ketika jumlah kematian akibat Covid-19 meningkat dari sehari ke sehari.
Pada masa sama, beberapa hantaran yang tular di media sosial juga membayangkan petugas di barisan depan menghadapi kekurangan peralatan bagi menguruskan pesakit Covid-19.
Antara kekangan yang ditunjukkan ialah PPE semasa menguruskan pesakit menyebabkan petugas terbabit berdepan risiko untuk dijangkiti kuman berbahaya itu.
Selain itu PH juga menggesa Jabatan Kastam Diraja Malaysia mempercepatkan proses pengimportan alat perubatan kritikal.
Katanya langkah itu wajar dibuat bagi mengatasi sebarang kesulitan atau sekatan.
"PH juga mengulangi gesaan agar kerajaan menerbitkan dari semasa ke semasa jumlah bekalan peralatan kritikal termasuk penutup hidung dan mulut, penyah kuman, kit ujian Covid-19, PPE, dan ventilator yang ada dalam negara," katanya.
