BERITA

Dr Mahathir: Kita sedang hadapi malapetaka

Diterbitkan
Dikemaskini 23 Mac 2020, 2:27 tengahari

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mengulangi kebimbangan beliau mengenai keadaan kemelesetan ekonomi akibat wabak Covid-19.

"Apa yang terjadi di Malaysia juga sedang berlaku di seluruh dunia. Industri perlu tutup atau paling tidak mengurangkan pengeluaran. Eksport dan import akan menerima kesan.

"Ekonomi akan meleset di seluruh dunia. Malah negara-negara paling kayapun akan menderita.

"Sebenarnya kita semua sedang berhadapan dengan malapetaka," katanya pada hantaran terbaru di blognya hari ini.

Dr Mahathir juga berkata perniagaan kecil mengalami "kerugian cukup teruk," manakala industri penerbangan dan pelancongan juga merudum.

"Pekerja akan menderita kerana mungkin diberhentikan. Majikan juga tidak akan dapat menjana keuntungan untuk membayar gaji pekerja," katanya lagi.

Menjelaskan lanjut, MP Langkawi berkata negara menghadapi cabaran besar kerana pergantungan belanjawan terhadap hasil industri minyak dan gas.

"Di Malaysia, industri petroleum tidak besar. Tetapi ia penyumbang besar kepada hasil kerajaan...

"Pakej rangsangan (ekonomi) melibatkan kenaikan perbelanjaan kerajaan dan pengurangan hasil cukai," katanya.

Keuntungan kerajaan, kata Mahathir akan merosot sehingga 50 peratus kerana penurunan harga minyak dunia, memandangkan belanjawan 2020 dibuat bersandarkan jangkaan hasil Petronas pada harga AS$63 setong.

Tambahnya, ini bermakna hasil kerajaan mungkin akan berkurangan sebanyak RM30 bilion. Setakat semalam, harga minyak mentah Brent adalah AS$25.89 satu tong.

Pada 16 Mac lalu, Dr Mahathir Mohamad berkata situasi wabak Covid-19 pada masa ini adalah lebih buruk daripada krisis ekonomi yang pernah didepaninya pada tahun 1997.

"Ini adalah lebih buruk daripada krisis kewangan itu," katanya dalam temu bual dengan Bloomberg TV.

"Ia benar-benar merupakan satu tamparan dahsyat terhadap ekonomi seluruh dunia," katanya menjelaskan keyakinan pelabur pada masa ini sangat rendah.

Semalam, dilaporkan pelabur asing di Bursa Saham Malaysia terus menjual pegangan ekuitinya minggu ini.

Sejumlah RM1.53 bilion mengalir keluar dari Isnin hingga Khamis lalu, berbanding aliran keluar bernilai RM1.43 bilion yang dicatatkan di antara 9 dengan 12 Mac, berikutan ketidaktentuan ketara yang dialami pasaran.

Pada 27 Feb lalu, Dr Mahathir Mohamad ketika berkhidmat sebagai perdana menteri interim mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 bernilai RM20 bilion untuk membantu negara berdepan ketidaktentuan ekonomi akibat penularan Covid-19.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 16 Mac pula mengumumkan empat langkah tambahan terhadap pakej itu, ekoran peningkatan mendadak kes Covid-19.

Ia melibatkan bantuan tunai bulanan kepada pekerja berpendapatan bawah RM4,000 yang terpaksa bercuti tanpa gaji, diskaun caj elektrik, pembayaran awal Bantuan Sara Hidup (BSH) dan pelaksanaan projek-projek kecil PRE2020 yang berjumlah RM20 bilion.

Ekonomi besar di seluruh dunia juga sedang mengusahakan pakej rangsangan bagi berhadapan kegawatan ekonomi.

Misalnya, Amerika Syarikat bercadang menyediakan pakej rangsangan berjumlah AS$1 trilion, lebih besar daripada suntikan dana bagi menghadapi krisis kewangan 2008, dengan mensasarkan sejumlah AS$250 bilion sebagai bantuan langsung berupa bayaran AS$1,000 kepada setiap warganya.

Sementara itu, New Zealand pula mengumumkan pakej perbelanjaan bernilai NZ$12.1 bilion, bersamaan empat peratus nilai KDNK, dalam usaha menangani kesan ekonomi ekoran penularan Covid-19.

Ia termasuk subsidi pendapatan, memperkasa sektor perkhidmatan, bantuan tunai kepada keluarga berpendapatan rendah dan kebajikan sosial selain turut melibatkan pekerja yang terpaksa bercuti atau pekerja yang terpaksa menjaga ahli keluarga yang positif Covid-19.

Pekerja sepenuh masa di New Zealand akan menerima bantuan NZ$585 pada setiap minggu, manakala pekerja sambilan akan mendapat NZ$350 seminggu.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.