Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ikut Korea Selatan, buat saringan besar-besaran - Najib

Bekas perdana menteri Najib Razak berpendapat bahawa saringan percuma secara besar-besaran kepada semua rakyat perlu dilaksanakan di Malaysia.

Mengambil contoh Korea Selatan, Najib menjelaskan negara tersebut berjaya mengawal kenaikan kes penularan wabak Covid-19 dengan pelaksanaan pemeriksaan kesihatan itu kepada semua rakyatnya.

“Kerana saya percaya kos untuk memberi saringan percuma kepada sesiapa yang mahu diuji memberi pulangan jauh lebih besar berbanding langkah-langkah lain yang diambil oleh kerajaan.

“Saya juga percaya bahawa melaksanakan saringan besar-besaran adalah antara langkah paling efektif untuk melawan Covid,” katanya menerusi kenyataan di akaun Facebook.

Untuk rekod, menurut soalan lazim (FAQ) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai perintah kawalan pergerakan, rakyat yang ingin membuat pemeriksaan Covid-19 tetapi tidak mempunyai gejala boleh ke hospital swasta bagi membuat pemeriksaan tersebut.

Bagaimanapun, perkhidmatan pengambilan sampel Covid-19 itu akan dikenakan caj oleh pihak syarikat swasta berkenaan.

Sementara itu, Najib juga menjelaskan bahawa kerajaan perlu berusaha mengurangkan kos ujian saringan Covid-19 dengan pihak swasta dari RM700 hingga ke RM500.

“Katakanlah kita berjaya menurunkan kos saringan ke RM500 seorang, jumlah kos untuk membuat saringan untuk satu juta rakyat adalah RM500 juta.

“Jumlah nilai KDNK Malaysia adalah RM1.4 trilion tahun lepas atau sekitar RM3.8 bilion sehari, sebab itu, apakah kos RM500 juta berbanding pulangan yang diperoleh jika kita mampu mempercepatkan pemulihan ekonomi negara kita?

“Lagipun, kos setiap saringan Covid sedang menurun pada ketika ini kerana semakin banyak syarikat dalam dunia sedang memperkenalkan kit ujian Covid yang semakin mudah diguna dan semakin murah,” katanya lagi.

Semalam, Malaysia mencatatkan 212 lagi kes Covid-19 -bilangan tertinggi sejak permulaan wabak itu pada akhir Januari.

Ini membawa jumlah keseluruhan sebanyak 1,518 kes dan 14 kematian.

Lihat Komen
ADS