Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita

Bukan semua anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dikerahkan ketika perintah kawalan pergerakan akan dilengkapi senjata, kata Panglima ATM Jeneral Affendi Buang.

Affendi berkata sesetengah anggota tentera akan dilengkapi senjata untuk tujuan pertahanan diri ketika sekatan jalan raya.

Beliau diminta mengulas sesetengah pihak yang mempersoalkan keberadaan tentera yang membawa senjata di jalan raya.

"Kami bawa senjata untuk pertahanan diri. Jika ada lima tentera, hanya seorang yang dilengkapi senjata.

"Seperti yang saya tegaskan (dalam satu wawancara) semalam, rakyat bukan musuh kami.

"Kami hanya memantau. Musuh kami adalah virus," katanya.

Terdahulu, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, Affendi dan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador memeriksa dron yang akan digunakan di 12 kawasan hotspot di seluruh negara.

Affendi tidak menyebut tentang 12 kawasan itu, tetapi Kementeri Kesihatan baru-baru ini menyenaraikan kawasan degan kes Covid-19 yang tinggi, termasuk Petaling Jaya (96 kes), Lembah Pantai (90), Hulu Langat (75), dan Johor Baru (52).

Beliau juga berkata tidak adil untuk warga maya berkata askar menggunakan kekerasan dan kuasa dalam tempoh perintah kawalan pergerakan.

"Setakat ini saya puas hati dengan anak buah saya. Mereka jalankan tugas seperti yang diamanahkan.

"Tetapi ada pihak pertikai kehadiran kita. Di media sosial, (mereka) kata kita telah guna kekerasan, kuasa. Saya rasa ini tidak adil.

"Keberadaan kami untuk keselamatan orang ramai. Kita dalam keadaan di mana jika kita tak buat apa-apa sekarang, (keadaan) akan menjadi seperti Eropah," katanya.

Hari ini polis dan tentera juga melakuan demonstrasi penggunaan dron kepada Affendi dan Hamid. Dron tersebut boleh menyampaikan pesanan agar rakyat berada di rumah, menggunakan pembesar suara.

Pesanan itu akan dibuat dalam Bahasa Malaysia, Mandarin dan Tamil.

"Dron juga boleh bertindak sebagai pencegah, dan ke kawasan yang tidak boleh dimasuki pasukan pemantau," katanya lagi.

Affendi berkata lagi, dron juga akan digunakan di Kuala Lumpur di mana ada sejumlah orang yang masih keluar rumah di sebalik arahan untuk tidak berbuat demikian.

Perintah kawalan pergerakan berkuatkuasa bermula 18 hingga 31 Mac, tetapi Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata ia boleh dilanjutkan jika keadaan memerlukan.

Lihat Komen
ADS