Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Tuntut dari Skim Insurans Pekerjaan, bukan keluar wang KWSP'
Diterbitkan:  Mar 24, 2020 5:47 PM
Dikemaskini: 9:52 AM

Bekas pemimpin kesatuan sekerja Abdullah Sani tidak bersetuju dengan langkah kerajaan membenarkan pencarum mengeluarkan wang simpanan Akaun 2 di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka.

Sebaliknya, ahli Parlimen Kapar tersebut mencadangkan supaya orang ramai menuntut hak mereka sebagai pekerja melalui Skim Insurans Pekerjaan (SIP).

“Ini adalah hak anda, maka anda berhak menuntutnya. Anda telah membayarnya setiap bulan untuk mendapatkan skim perlindungan ini, bukannya dengan mengeluarkan simpanan.

“Jangan keluarkan simpanan dari akaun kedua KWSP anda kerana ia boleh digunakan untuk menampung pembelian, pembinaan, pembiayaan rumah.

“Pendidikan anak-anak dan mengerjakan ibadah haji bagi menyempurnakan rukun Islam kelima,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bermula 1 Disember 2018, bagi pekerja yang hilang pekerjaan dan telah cukup mencarum sebanyak minimum 11 bulan caruman, layak menuntut faedah penuh SIP seperti Elaun Mencari Pekerjaan (EMP), Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA) dan Elaun Pendapatan Berkurangan (EPB).

Pencarum SIP yang hilang pekerjaan dan memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan layak menerima bayaran faedah penuh SIP. Makluman lanjut mengenai Sistem Insurans Pekerjaan boleh dilayari di www.perkeso.gov.my.

Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan kini pencarum boleh mengeluarkan wang simpanan dari akaun dua bagi membantu meringankan beban yang ditanggung mereka akibat pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, inisiatif pengeluaran menerusi i-Lestari itu tertakluk kepada kadar maksimum RM500 sebulan selama 12 bulan.

Jelas Abdullah, penularan wabak Covid-19 itu dikategorikan sebagai bencana yang menyebabkan banyak pihak terjejas dari segi ekonomi dan hilang pekerjaan.

“Bermula 1 Jan 2018, secara automatik pekerja telah mencarum SIP melalui potongan gaji anda sendiri secara bulanan.

“SIP ini anda boleh tuntut pada bila-bila masa jika anda mula tergolong dalam penerima faedah.

“Sekiranya tuntutan tidak dibuat, ia dikira hangus jika anda sudah bersara. Jadi kepada golongan yang terjejas akibat covid-19 boleh memohon,” katanya.

Kerajaan telah melaksanakan perintah kawalan pergerakan bermula 18 Mac hingga 30 Mac ini bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Perintah itu antara lain mewajibkan penutupan kebanyakan premis perniagaan, sekolah dan institut pengajian tinggi, serta premis kerajaan dan swasta melainkan perkhidmatan penting, yang secara tidak langsung menjejaskan kewangan banyak pihak.

Lihat Komen
ADS