Malaysiakini
BERITA

PKP: Urusan mahkamah syariah seluruh Malaysia ditangguh

Bernama

Diterbitkan
Dikemaskini 25 Mac 2020, 4:22 pagi

Susulan arahan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkaitan penularan wabak Covid-19, segala urusan di semua Mahkamah Syariah seluruh negara ditangguh, dan dilaksanakan melalui dalam talian.

Ketua Pengarah dan Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, pihaknya telah mengeluarkan arahan tersebut kepada semua Mahkamah Syariah dan JKS Negeri, pada 17 Mac lepas.

Katanya, penutupan semua Mahkamah Syariah dan segala operasinya mulai 18 hingga 31 Mac dan arahan gerak kerja dari rumah, hendaklah dilaksanakan secara dalam talian seperti melalui telefon, emel atau aplikasi Whatsapp.

Bagaimanapun beliau berkata jika terdapat keperluan untuk pendaftaran kes baharu, pegawai penguatkuasa hendaklah memaklumkan lebih awal kepada ketua pendaftar, bagi tujuan persediaan oleh pihak mahkamah.

“Bagi kesalahan yang boleh dijamin, ketua pendaftar hendaklah memastikan urusan jamin dapat diproses seperti biasa,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata antara urusan yang ditangguh adalah seperti prosedur perbicaraan dan pengurusan kes di Mahkamah Syariah, sama ada kes mal atau jenayah di mahkamah terbuka, mahupun di mahkamah tertutup.

“Selain itu, semua kes yang melibatkan Sulh, Runding Cara Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) dan Majlis Tahkim, yang melibatkan kehadiran pihak-pihak di hadapan pegawai Sulh, BSK dan Hakam juga ditangguhkan sehingga 31 Mac,” katanya.

Sulh merupakan suatu proses, di mana pihak-pihak yang terlibat di dalam suatu pertikaian terhadap satu atau beberapa tuntutan.

Mohd Na’im menjelaskan bagi pemfailan atau pengurusan kes, petugas yang dibenarkan bertugas terdiri daripada seorang hakim, seorang pendaftar, seorang pembantu syariah dan seorang dari bahagian kewangan, sekiranya ada kes yang difailkan secara perakuan segera dan pemfailan notis rayuan, dalam tempoh 14 hari sahaja.

“Bagi permohonan perakuan segera di Mahkamah Rayuan Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rendah Syariah, ketua pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah, pendaftar atau penolong pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah dan penolong pendaftar Mahkamah Rendah Syariah, akan mengendalikan dokumen perakuan segera dan mendapatkan arahan selanjutnya dari Ketua Hakim Syarie, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah dan Hakim Mahkamah Rendah Syariah,” katanya.

Mohd Na’im turut menasihati pegawai dan kakitangan Mahkamah Syariah supaya sentiasa peka dan mengikut arahan-arahan, yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan dari semasa ke semasa.

“Saya mendoakan semoga kita semua berada di bawah perlindungan Allah SWT dan warga MSN dan JKSN dijauhi dari wabak Covid-19,” katanya.

- Bernama

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.