Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Bukan tak bagi berniaga, cuma minta kurangkan pekerja’

Ketua Polis Kuala Lumpur, Mazlan Lazim meminta pekerja khususnya di sektor pertanian supaya lebih bersabar sepanjang tempoh pergerakan kawalan pergerakan (PKP).

Jelasnya, pihak berkuasa hanya menggesa pekerja sektor pertanian untuk mengurangkan tenaga kerja bukan menghalang untuk berniaga.

Beliau berkata demikian ekoran keluhan beberapa penjual sayur dan pemandu lori sayur – di beberapa negeri- yang terpaksa membuang lebihan hasil akibat kekangan waktu operasi pasar awam dan sekatan trafik di jalan raya sepanjang perintah itu.

“Bukan tak bagi berniaga tetapi minta kurangkan pekerja mereka, untuk dua minggu ini sahaja pun berkira.

“Polis bantu kerajaan dan kementerian kesihatan Malaysia (KKM) serta semua rakyat elak daripada merebak Covid-19.

“(Tiada) tujuan hendak putuskan rantaian makanan, ini pun orang tohmah kata polis halau, (polis) nasihat untuk duduk di rumah dan elak daripada terlalu dekat,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Semalam, beberapa petani memberitahu Malaysiakini, disebabkan pelbagai kekangan dan syarat yang dikenakan oleh pihak berkuasa, ramai penjual sayur dan pemandu lori sayur mengadu kurang menjana pendapatan menerusi hasil mereka.

Pasar Borong Kuala Lumpur menjadi antara pasar yang terkesan sekali.

Malaysiakini sudah menghubungi pihak Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) namun masih belum mendapat sebarang maklum balas.

Pengarah Strategi PKR Sim Tze Sin semalam menyeru kerajaan supaya mengambil langkah drastik dalam mengatasi kerugian yang dihadapi oleh petani sepanjang tempoh PKP.

Jelasnya, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan harus mengerakkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) untuk melakukan skim jaminan pembelian balik, iaitu dengan membeli lebihan hasil petani sepanjang tempoh perintah terbabit.

‘Bukan halau, cuma nasihat’

Sementara itu, Mazlan turut menasihati kepada beberapa penjual sayur supaya tidak terlalu berkumpul di pasar kerana bimbang akan terdedah kepada ancaman wabak Covid-19.

“Sekarang ada 440 gerai (di pasar), jika satu gerai ada lima pekerja bermakna 2,200 orang akan berada di pasar dan ini akan jadi ramai dan tidak boleh melaksanakan penjarakan sosial dengan pembeli dan pekerja.

“Bukan halau, cuma nasihat. Kalau tiada kerja dan tiada pelanggan, lebih baik duduk rumah bagi menghormati perintah kawalan pergerakan,” katanya lagi.

Untuk rekod, kerajaan melaksanakan perintah kawalan pergerakan bermula 18 Mac hingga 30 Mac ini bagi mengurangkan penularan wabak Covid-19.

Perintah itu antara lain mewajibkan penutupan kebanyakan premis perniagaan, sekolah dan institut pengajian tinggi, serta premis kerajaan dan swasta melainkan perkhidmatan penting.

Pasar dan kedai jualan keperluan asas dibenarkan buka hanya kepada ketetapan waktu yang dibenarkan.

Ends,

Lihat Komen
ADS