Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Covid-19: UPM nafi pensyarah tidak mematuhi arahan KKM
Diterbitkan:  Mar 25, 2020 1:18 PM
Dikemaskini: 5:18 AM

Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) Aini Idris menyangkal dakwaan bahawa seorang pensyarah universiti tersebut yang menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur mengadakan sesi pengajaran tanpa memaklumkan kepada orang lain bahawa beliau pernah menyertai himpunan tersebut.

Dalam satu kenyataan media, Aini berkata bahawa pensyarah tersebut tidak menunjukkan sebarang petanda penyakit Covid-19.

Kenyataan itu merujuk kepada aduan seorang kakitangan UPM yang dikatakan tidak memaklumkan bahawa beliau telah menghadiri ijtimak jemaah tabligh di Masjid Seri Petaling dan tidak melakukan ujian saringan seperti yang telah ditetapkan.

"UPM telah meneliti aduan ini dan telah menjalankan penyiasatan terperinci berkaitan hal ini.

"Berdasarkan maklumbalas yang diterima dari beberapa pihak termasuk Pusat Kesihatan Universiti (PKU), dimaklumkan bahawa staf yang terlibat telah pergi ke ijtimak tabligh ini selama dua jam sahaja, dari 7.30 hingga 9.30 pagi, pada 1 Mac 2020.

"Sebaik mengetahui arahan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) beliau telah pergi membuat saringan Covid-19 di PKU pada 12 Mac 2020, (dan) tidak menunjukkan sebarang gelaja," kata Aini.

Tambahnya, PKU telah mengarahkan beliau untuk kuarantin di rumah sehingga 15 Mac 2020 dan memantau staf tersebut setiap dua hari.

"(Semalam) Hari ini 24 Mac, adalah hari yang ke 24 dan beliau tidak menunjukkan sebarang petanda penyakit Covid- 19.

"PKU pada hari ini telah mengarahkan beliau untuk pergi membuat ujian swab di Hospital Kajang. Beliau telah pun melakukan ujian swab dan dimaklumkan oleh Hospital Kajang bahawa beliau akan menerima panggilan telefon sekiranya keputusan adalah positif," katanya.

Menurut Aini, UPM sentiasa memastikan staf patuh kepada arahan yang keluarkan oleh KKM dan Majlis Keselamatan Negara.

Katanya, UPM juga turut mengeluarkan arahan kepada semua staf terlibat dengan mana-mana kluster kes positive Covid- 19 untuk menjalani pemeriksaan.

Sehingga kini, sebanyak 1,624 kes Covid-19 dilaporkan dengan 17 kematian.

Lihat Komen
ADS