Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Persatuan peruncit: Kami juga perlukan pakej ransangan
Diterbitkan:  Mar 26, 2020 11:11 AM
Dikemaskini: 3:19 AM

Persatuan Peruncit Malaysia (MRA) berkata ahli-ahlinya kini terjejas teruk akibat perintah kawalan pergerakan (PKP) dengan menjangkakan penurunan hasil jualan sebanyak 90 peratus.

Mereka merayu kerajaan Perikatan Nasional mengambil langkah seperti pemberian sewa percuma di kompleks membeli belah sepanjang tempoh berkenaan.

"Hasil jualan turun sebanyak 60 peratus pada bulan Februari dan kami menjangkakan penurunan sebanyak 90 peratus pada bulan Mac 2020, disebabkan PKP.

"Sejak pengumuman pertama PKP, industri runcit dan ahli-ahli kami telah banyak terjejas dan terkesan.

"Banyak perniagaan runcit berada dalam keadaan yang teruk dan sangat memerlukan bantuan, lebih-lebih lagi dengan lanjutan tempoh PKP selama 14 hari lagi," kata MRA dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan atas nama Presiden MRA James Loke dan ahlinya  termasuk wakil dari peruncit utama seperti Parkson Corporation, Aeon, Sunshine Wholesale Mart, Bata, Habib Jewels, Mydin Mohamed Holdings dan Sogo.

MRA berkata penguncupan ekonomi di seluruh dunia telah mencetuskan masalah aliran tunai.

"Jika isu ini tidak ditangani secepat mungkin, ia akan mencetuskan kemerosotan nilai aset, pendapatan dan penguncupan ekonomi selanjutnya," katanya.

MRA memberi amaran bahawa sesetengah peruncit dan kedai tidak boleh dibuka semula selepas 14 April kerana sumber yang terhad, tanpa pendapatan semasa tempoh PKP.

Bagaimanapun katanya banyak perbelanjaan perlu dibayar - sebahagian besarnya adalah gaji dan sewa.

"Kerajaan perlu menyokong perniagaan dan pekerja secara kewangan, dan pemilik pusat membeli-belah perlu memberikan sewa percuma semasa PKP dan beberapa rebat sewa selepasnya, supaya pemulihan dapat dilakukan secepatnya agar struktur ekonomi (perniagaan dan pekerjaan) tetap utuh."

"Pemulihan yang cepat bermakna sesuatu perniagaan boleh membayar balik pembiayaan yang dibuat sekarang. Ekonomi tidak boleh pulih dengan cepat jika syarikat mula gulung tikar dan pekerja hilang pekerjaan," tambah MRA.

Justeru, MRA mengharapakan sokongan dari pihak kerajaan dalam menangani masalah melibatkan golongan peruncit.

"Apa yang perniagaan boleh lakukan adalah mempertahankan pekerja mereka, dan sebagai balasan, para pekerja dapat melakukan peranan mereka dalam perjuangan ini. Kami memerlukan pakej rangsangan," kata MRA.

Persatuan peruncit turut memberi jaminan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bahawa mereka akan patuh kepada arahan kerajaan.

"Kesejahteraan kakitangan kami, serta keluarga mereka, rakan niaga kami, dan komuniti di sekeliling kami adalah keutamaan kami ketika menempuh masa-masa yang mencabar dan tidak menentu ini," katanya.


Lihat Komen
ADS