Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Banyak kontena tersadai di Pelabuhan Klang akibat PKP

Banyak kontena tersadai di Pelabuhan Klang dan tidak dapat dihantar ekoran pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang mengehadkan penghantaran barang-barang tidak penting.

Persekutuan Penghantar Fret Malaysia (FMFF) memberi amaran keadaan itu ibarat bom jangka yang memberi kesan kepada kapasiti dan kecekapan pelabuhan.

Hal itu memandangkan setiap kontena yang tidak boleh dihantar akan dikenakan caj bayaran lewat, simpanan dan pengeluaran, yang akan meningkatkan kos input dan seterusnya akan dikenakan juga kepada pengguna.

Pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang (PKA) Ean Yong Hian Wah berkata buat masa ini, Wesport berada pada kapasiti 67 peratus manakala Northport pada 47 peratus.

Beliau berkata kedua-dua pelabuhan itu dapat menampung lebih banyak kontena meskipun PKP dilanjutkan sehingga 14 April.

Ean Yong turut berkata pengendali pelabuhan telah menyediakan dua bidang tanah yang dapat menampung tambahan 25,000 kontena di Westport.

Mengakui masalah dihadapi oleh perkhidmatan pengangkutan barang, katanya, PKA sedang membincangkan cadangan mengurangkan caj penyimpanan.

Katanya lagi, PKA telah menghantar senarai barangan yang menjadi sokongan kepada barangan penting minggu lalu kepada Kementerian Pengangkutan, dengan harapan agar Majlis Keselamatan Negara (NSC) akan membenarkan barangan tersebut dihantar melalui jalan raya.

Menurut FMFF, perhidmatan pengangkutan mempunyai masalah membuat penghantaran kontena memandangkan terdapat interpretasi berbeza di kalangan pihak berkuasa berkenaan syarikat pengangkutan jalan raya.

FMFF yang mewakili 1,300 ahli berkata, meskipun sektor logistik disenaraikan sebagai perkhidmatan penting oleh MKN, kenderaan-kenderaan pengangkutan ditahan oleh agensi penguatkuasaan atas pelbagai sebab.

Sokongan buat industri penting

Ean Yong menggesa kerajaan memberi perhatian terhadap perkara itu, memandangkan banyak industri yang saling berhubung kait, sedangkan penghantaran tidak dapat dibuat kepada beberapa industri penting ekoran PKP.

“Kita tidak boleh hanya lihat satu atau dua barangan sahaja dan beri mereka pelepasan (untuk dihantar).

“Syarikat pengeluar (produk penting) memerlukan industri sokongan yang lain untuk menghasilkan produk berkenaan sebelum ia dapat diedarkan ke pasaran.

“Contohnya, kamu perlukan bahan mentah dan bahan-bahan lain, tapi kamu juga perlukan pembungkusan. Industri ini tak dikelaskan sebagai perkhidmatan penting,” jelasnya.

Tambahnya, masalah seumpama itu, lebih-lebih lagi yang dihadapi oleh pengeluar makanan perlu diberi keutamaan bagi memastikan bekalan makanan yang mencukupi.

“MKN perlu beri keutamaan logistik untuk pastikan industri sokongan dapat membekalkan barangan penting.

“Kegagalan dalam hal itu boleh menjejaskan bekalan makanan,” tambahnya.

Pada Selasa, kerajaan mengakui terdapat gangguan dalam rantaian bekalan makanan.

Satu pasukan khas ditubuhkan bagi melihat perkara berkenaan rantaian bekalan makanan, terdiri daripada wakil Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Pertanian dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. Pasukan itu diketuai oleh menteri kanan, Mohamed Amin Ali. 

Lihat Komen
ADS