Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images

Sekatan waktu operasi pasar awam – susulan perintah kawalan pergerakan (PKP) - didakwa bukan hanya mengancam rantaian bekalan sayur dan makanan mentah, malah kepada sektor perikanan juga.

Menurut Pengerusi Persatuan Perusahaan Ikan Malaysia, Chia Tian Hee, kerugian nelayan hampir mencecah jutaan ringgit dan mereka terpaksa membuang ikan kerana penutupan pasar dan kurang sambutan orang ramai.

“Minggu lepas saya kira kerugian nelayan semua lebih daripada jutaan ringgit, bukan sikit, nak kami simpan semua ikan dalam peti sejuk beku juga tidak boleh.

“[….] jadi terpaksa buang sahajalah,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

PKP dilaksanakan bermula 18 Mac lalu dan kini disambung sehingga 14 April bagi membendung penyebaran wabak Covid-19.

Perintah itu antara lain mewajibkan penutupan kebanyakan premis perniagaan, sekolah dan institut pengajian tinggi, serta premis kerajaan dan swasta melainkan perkhidmatan penting.

Pasar raya dan kedai menjual keperluan asas dibenarkan beroperasi dengan ketetapan waktu yang dihadkan oleh kerajaan.

Sementara itu, Chia turut mengulas susulan video tular pembuangan ikan yang berlaku di Perak pada 21 Mac lalu.

Jelasnya, kilang perikanan tersebut diarah tutup oleh pihak berkuasa dan menyebabkan banyak hasil ikan terpaksa buang.

Bagaimanapun, katanya, perkara tersebut dapat diselesaikan selepas pihaknya membuat laporan di Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Perak.

“[…] pegawai LKIM Perak tolong nelayan, baru masalah selesai dan kilang ikan boleh beroperasi, cuma (tenaga) pekerja boleh dihadkan dalam 50 peratus sahaja.

“LKIM banyak tolong, sekarang masalah untuk beroperasi itu sudah selesai sikit, tetapi dengan kakitangan terpaksa dikurangkan, kami susah nak proses ikan dan kalau ada pun kami masih kena buang ikan kerana pasaran tiada,” katanya.

Menurut Chia, kerajaan seakan tidak memahami rantaian makanan buat sektor perikanan kerana jelasnya, jika satu bahagian disekat, maka ia akan jejas keseluruhannya.

“Kerajaan tak faham, kita bukan tangkap ikan saja, tapi kena ada bahagian penghantaran, pemprosesan.

“Nelayan memang tidak disekat, malah digalakkan untuk tangkap ikan dengan lebih banyak tetapi disebabkan rantaian bekalan terjejas maka hasil ikan banyak terbazir,” katanya lagi.

Chia berkata demikian susulan sekatan jalan raya ekoran PKP yang menyukarkan bahagian penghantaran bekalan makanan tersebut.

Semalam, kebanyakan petani dan pekebun meluahkan keluhan susulan terpaksa membuang hasil tanaman mereka akibat alasan yang sama.

Malah, ada petani mendakwa mereka terpaksa membuang bertan-tan sayur dan bisnes merudum sehingga 30 peratus.

‘Di Johor lebih kurang sama’

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Johor Selatan Azli Mohd Azis turut menjelaskan situasi lebih kurang sama di negeri berkenaan.

Jelasnya, hasil tangkapan kini sukar dipasarkan dan kebanyakan ikan terpaksa dibuang.

“Stok lebih lima hari kita kena buang sebab kalau simpan lama-lama ikan dah kurang segar dan ia melibatkan kos air batu.

“[…] dalam seminggu ini saja kami dah buang lebih 100 kilo ikan,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Katanya lagi, susulan penutupan beberapa pasar borong di beberapa tempat sekitar Johor, nelayan hanya mempunyai beberapa tempat untuk menjual ikan iaitu di pasar persatuan nelayan Pasir Gudang.

Bagaimanapun, hasil ikan yang melimpah tidak dapat dijual kerana kekurangan pelanggan untuk ke pasar bagi mematuhi arahan PKP.

“Kita bagi nelayan jual ikan di pasar persatuan (nelayan) kerana kasihan, mereka ini gaji harian. Kalau ikan tak jual tiada pendapatan.

“Tetapi pelanggan tiada, dan jumlah ikan kami terima terlalu banyak, jadi kami pun terpaksa buang sejumlah ikan yang agak banyak,” katanya lagi.

Tambahnya, ikan juga dijual bukan dengan harga asal tetapi jauh lagi murah.

“Kalau bawal hitam (ikan) sekilo RM30 ringgit kita selalu ambil dari nelayan, tapi sekarang nelayan hanya boleh jual dalam RM20 sahaja.

“Kita pun kalau ambil ikan mahal dan tiada pembeli, dia jadi rugi dan membazir,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia Munir Mohd Nawi menjelaskan bahawa ia adalah perkara terpencil dan menggangap masalah itu sudah selesai.

“Saya difahamkan kes terpencil, bagaimanapun kilang pemprosesan sila hubungi LKIM dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti),” katanya ringkas ketika dihubungi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS