Larian untuk hidup. Masih kuingat pada lewat petang itu. Aku berlari pulang dari Jalan Bangsar ke Jalan Pantai Baru dekat Lembah Pantai. Kembali segera aku ke Asrama Intan. Kuala Lumpur senja itu telah terbakar. Api perkauman menjilat tanpa belas ihsan. Manusia sudah hilang kemanusiaan.
Empat hari lalu, aku baru sahaja sampai dari kampung. Aku sebenarnya datang ke sebuah ibukota yang bahaya dengan rasa curiga. Sesama manusia. Sedangkan aku tidak tahu apa-apa. Dalam usia baru selesai tingkatan lima dan kemudian mengaji di pra-U, banyak perkara aku tidak tahu. Aku tidak faham sekelilingku. Suasana politik waktu itu haru biru. Kesan pilihanraya yang baru berlalu.
Aku berlari pulang. Aku melihat orang menjerit. Aku disuruh pulang. Di Kuala Lumpur sana orang sedang berperang. Pada senja itu aku sedang menunggu bas yang tidak tiba-tiba. Aku berhajat ke Petaling Street untuk membeli sehelai tali leher bagi acara orientasi di kolej kami.
Entah apa jadi kalau aku sudah ada di sana. Anak Melayu yang baru datang dari kampung sesat di tengah-tengah lorong Cina pada malam 13 Mei yang gila itu. Malam di mana ramai manusia hilang kemanusiaannya.
Sempat aku diselamatkan. Dengan menaiki bas kolej yang sarat, kami berkumpul di kolej induk di Seksyen 16 Petaling Jaya. Tetapi beberapa temanku tertinggal di Asrama Intan di Jalan Pantai Baru. Mereka kemudian menceritakan sekumpulan gangster datang menyerang.
Kerja gila
Pada malam 13 Mei itu, di tanahair sendiri, buat pertama kali aku tidak rasa selamat. Kami pelajar-pelajar terpaksa berkawal. Aku bersenjata dengan batang cangkul. Sebab ada khabar angin, entah dari mana datangnya ia, dikhabarkan orang Cina dari Sungai Way akan datang menyerang kolej kami, Kolej Islam Malaya, Petaling Jaya. Jadi dikehendaki berjaga-jaga.
Benar-benar sudah gila, Mengapa tiba-tiba aku perlu memegang batang cangkul ini? Kepala siapa yang hendak aku belasah? Sedangkan aku tidak pernah bermusuh selama hidupku, kecuali bergaduh ketika zaman kanak-kanak dulu. Tetapi tiba-tiba kini aku berdepan satu keadaan yang aku tidak faham. Dikatakan ada orang yang tidak kenal siapa aku, tidak aku bersalah padanya, harus datang dan mahu membunuh aku begitu sahaja?
Aku tidak dapat terima ini. Tetapi kupegang juga batang cangkul itu. Dengan duduk bercangkung di dalam gelap, di belakang bangunan kolej kami, aku menunggu kedatangan "musuh" yang tak kukenal siapa mereka.
Tetapi tiada musuh yang tiba. Malam keesokannya, keadaan tidak begitu tegang dan aku mendapat tugas baru. Aku diminta mengendalikan lampu spot-light menyuluh sekitar kolej, kalau-kalau ada orang mahu menyerang dari arah belakang. Mungkin mereka akan datang dari arah rumah orang kelas berada, kebanyakannya orang Cina di Seksyen 16 itu. Ini benar-benar kerja gila. Aku tidak dapat terima. Pada malam-malam genting itu, aku teringatkan Mr Wong. Dia guru yang mengajar kami General Paper. Apa akan nasib guruku itu? Aku berdoa akan keselamatan dirinya.
Selepas perintah berkurung tamat, kami pulang ke asrama kami di Jalan Pantai Baru. Asrama pelajar Tingkatan Enam Rendah di tempatkan di luar kampus induk kolej. Apabila sampai di sana, aku tidak dapat terima apa yang aku pandang dengan mata. Kedai lelaki India, tempat aku membeli sabun dan penyangkut baju, ketika hari-hari pertama aku tiba di asrama itu, telah terbakar hangus. Aku dikhabarkan lelaki India itu yang aku tidak tahu Islam atau Kristian atau Hindu agamanya, tetapi apa bezanya? Sedangkan dia adalah manusia, telah terkorban bersama kedainya yang rentung.
Ini benar-benar gila. Aku tidak dapat terima. Apa salahnya lelaki India itu? Memang benar-benar satu kegilaan apabila aku melihat beberapa rumah keluarga Cina, tidak jauh dari asrama kami itu turut musnah terbakar sama. Aku tidak pasti apakah mereka juga terbunuh pada malam 13 Mei itu, malam di mana manusia hilang kemanusiaannya.
Aku tidak dapat terima semuanya ini. Aku terlalu muda. Mengapa aku mesti berdepan dengan kezaliman ke atas sesama manusia ini? Aku melihat dengan mataku sendiri. Kesan terbakar di sana sini, termasuk kesan terbakar di hati.
Mata sepet
Lalu pada satu hari, aku berada di pekan Seksyen 17 Petaling Jaya. Aku ditegur oleh satu keluarga Cina dalam bahasa ibunda mereka. Mereka menyangka aku ini anak Cina. Lalu apabila aku pulang ke asrama petang itu, ke cermin aku tatap wajahku. Kulihat sedikit sepet di mataku. Adakah diriku ini, darah Cina mengalir dalam tubuhku?
Pengalaman serupa itu, sekali lagi berlaku. Ketika itu di Jalan Pantai Baru. Sebuah kereta tiba-tiba berhenti. Kereta itu rosak, lalu keluar pemandunya, seorang lelaki Cina separuh umur usianya. Dia menyapa aku meminta tolong, juga dengan bahasa ibundanya. Tetapi apabila melihat aku tidak memahami, lalu lelaki Cina itu berasa cemas dan takut sekali. Kerana aku ini anak Melayu agaknya yang boleh membahayakannya.
Tetapi aku memanggil kawan-kawanku. Bersama-sama kami membantu lelaki Cina itu. Dia berasa lega dan mulai percaya, keselamatan dirinya dan anak isterinya dalam kereta, sebenarnya tidak dalam bahaya. Dan dia mulai percaya tidak semua Melayu itu harus jadi musuh baginya.
Ini semua berlaku sewaktu ketegangan kaum masih tinggi, di mana semua orang tidak pasti hati budi kawan sendiri yang bukan daripada bangsanya sendiri. Gila semuanya ini. Aku tidak boleh terima. Mengapa sudah jadi rosak sekali masyarakatku ini? Lalu aku kembali melihat ke cermin, memeriksa wajahku, memeriksa diri. Aku melihat kembali sepet di mataku. Satu pengalaman krisis identiti. Sejak itu aku sudah timbul kebimbangan baru. Tidak berani lagi aku ke Chow Kit dan ke Kampung Baru jika tidak bersama-sama kawan-kawanku yang betul-betul Melayu. Melayu pada kulit, mata dan wajahnya. Tidakkah ini benar-benar gila?
Kemudian tiba waktu cuti penggal pertama, selepas 13 Mei itu. Lalu aku pulang ke kampung. Aku disambut dengan tangisan. Keluarga sangkakan aku sudah terkorban pada malam 13 Mei itu, malam di mana manusia hilang kemanusiaannya. Nenekku terlalu terharu. Dia bersyukur tidak terkira.
Cucunya tidak apa-apa. Dia berasa ngeri sekali untuk memikirkan satu lagi tragedi kematian keluarga kami, kali ini aku sendiri jadi korbannya atas nama kebencian perkauman.
Nenekku, suaminya mati dibunuh Cina, di bandar Muar sana, sebelum Tanah Melayu merdeka. Ketika itu suaminya menjadi pegawai tinggi polis di zaman kolonial. Kesan darah pakaian datukku yang terkorban itu disimpan nenekku untuk ditunjukkan kepada cucu-cucunya.
Tetapi sejak dua kali selepas 13 Mei aku ditegur sapa dengan bahasa Cina, lalu aku mulai menjejak bakaku. Siapa sebenarnya aku ini? Mengapa sepet pada mataku? Lalu ibuku memberitahu. Moyangku di sebelah bapa, Maimunah namanya, dia anak angkat seorang Sultan Singapura, sebenarnya seorang anak Cina. Aku berasa bangga dan bersyukur kepada Allah dapat mengenal akar umbiku sendiri dan mujurlah, aku tidak membenci orang Cina selama ini. Jika tidak, samalah seperti aku membenci diriku sendiri.
Lalu lebih 30 tahun kemudian, aku berasa sedih dan kecewa sekali. Isu kebencian kaum itu muncul kembali. Dan kali ini, paling memilukan, kerana ada pada suatu ketika, iaitu ketika lidah dan penaku tidak cermat dijaga, aku kelihatan terlibat sama. Sehingga kerana itu, sampai ke hari ini, aku berasa khuatir. Aku bimbang jika aku juga dianggap seorang lagi Melayu ekstremis, kerana pernah aku berdiri, satu ketika dulu, secara terbuka, mempertahankan saki-baki hak bangsaku.
HASSAN KARIM ialah Naib Presiden Parti Rakyat Malaysia.
