BERITA

‘Ta ya alif dal alif, tiada, susah sangat ke doktor nak faham?'

Diterbitkan
Dikemaskini 26 Mac 2020, 2:50 tengahari

"Kejujuran pesakit sangat berharga bagi kami," itulah kata-kata tegas yang pastinya terbit dari sudut hati penuh pengharapan seorang doktor perubatan, dan mereka yang berada di saf paling hadapan dalam usaha merawat pesakit yang dijangkiti wabak Covid-19.

Tampil meluahkan rasa kesal, Dr Ahmad Samhan mendedahkan betapa kakitangan perubatan juga terdedah dengan jangkitan virus yang sedang dibendung kini.

Menulis di Facebook hari ini, beliau menceritakan bagaimana terdapat pesakit yang sanggup menipu apabila ditanya mengenai sejarah kontak rapat dengan mana-mana kluster pesakit Covid-19.

Kisah yang diceritakan oleh kawannya itu juga menunjukkan betapa golongan pengamal perubatan begitu terdedah dengan jangkitan Covid-19 ketika menjalankan tugas.

Menurutnya, ada pesakit yang tidak mengaku mempunyai kontak apabila hadir sesi saringan walaupun hasil pemeriksaan memberi gambaran pesakit itu mengalami kesan teruk

“Saya tengok hasil X-ray dada encik teruk. Betul ke encik tak ada kontak rapat dengan jemaah Tabligh atau pesakit positif covid-19?” Entah kali ke berapa agaknya dia ditanya soalan yang sama oleh doktor.

"Namun pesakit itu tidak mengaku, malah menegaskan perkataan 'tiada' dengan ejaan Jawi.

“Betul doktor, berapa kali saya nak jawab. Ta ya alif dal alif. Tiada. Susah sangat ke doktor nak faham jawapan saya?”

Dr Ahmad Samhan 

Bagaimanapun selepas dirujuk kepada doktor pakar, pesakit tersebut juga menegaskan perkara sama iaitu 'tiada' kontak rapat dengan mana-mana individu yang positif Covid-19.

10 doktor, misi, staf kesihatan kena saring

Dr Ahmad berkata, doktor pakar kemudianya akur dan pesakit itu dimasukkan di wad biasa untuk jangkitan pneumonia (jangkitan paru-paru).

Katanya, doktor yang merawat pesakit tersebut kemudiannya diberitahu supaya menjalani saringan Covid-19 susulan pesakit itu sebenarnya positif.

"Terduduk, tercengan, kelu. Akhirnya barulah dia mengaku pernah ada kontak rapat dengan jemaah Tabligh di satu majlis perkahwinan.

"Yang lagi menyedihkan, ketika dalam wad biasa beliau telah menyebabkan pesakit di sebelah dijangkiti. Lebih teruk bila pesakit yang dijangkiti itu perlu diintubasi dan masuk ke ICU (unit rawatan rapi).

"Lebih 10 orang doktor, misi dan staf kesihatan lain turut terdedah dan perlu menjalani saringan. Dah terlambat," tulisnya.

Dr Ahmad berkata, kisah itu diceritakan oleh salah seorang sahabatnya yang dikuarantin beberapa hari lepas.

"Adakah kebohongan itu dapat menjanjikan nyaman pada perasaan? Kejujuran pesakit sangat berharga bagi kami. Andai dijual, kami sanggup membeli.

"Kami barisan frontliner berjanji sepenuh hati yang kami akan terus bekerja dan merawat pesakit lain.

“Tidak ada agama yang menggalakkan berbohong dan masalah lebih cepat diselesaikan jika kita jujur dalam tindakan," tegasnya yang bertugas di Hospital Kuala Lumpur.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.