Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan Selangor digesa tangguh penyahwartaan hutan simpan di Kuala Langat
Diterbitkan:  Mar 27, 2020 2:37 PM
Dikemaskini: 6:39 AM

Gabungan Melindungi Hutan Negeri Selangor menggesa kerajaan Snegeri menangguhkan proses penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara, memandangkan negara sedang bergelut dengan wabak Covid-19.

"Perintah kawalan pergerakan (PKP) dan arahan penangguhan aktiviti-aktiviti untuk NGO daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) telah menyebabkan sebarang penilaian impak atau dialog mengenai cadangan penyahwartaan tidak mungkin akan berlaku dalam masa yang terdekat," kata gabungan itu dalam kenyataan media hari ini.

Gabungan itu terdiri daripada beberapa NGO iaitu: Center for Orang Asli Concerns Malaysia (COAC); Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera; Malaysia (GRASS Malaysia); Global Environment Centre (GEC); Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA); Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS); Sahabat Alam Malaysia (SAM); Treat Every Environment Special (TrEES).

Pengarah gabungan itu, yang juga pengarah TrEES, Leela Panikkar menjelaskan bahawa JPPM pada 16 Mac 2020, telah melarang semua pertubuhan daripada melakukan sebarang aktiviti sehingga akhir bulan Jun untuk menangani penularan Covid-19.

Justeru, katanya, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) juga pada hari yang sama telah menangguhkan lawatan ke kampung Orang Asli di Semenanjung.

"Ini telah membuatkan sebarang dialog dan penilaian mengenai kepentingan hutan simpan tersebut kepada Orang Asli mustahil untuk diadakan.

"Tambahan lagi, dengan penguatkuasaan PKP pada 18 Mac 2020 dan lanjutan hingga ke 14 April 2020, pihak berkepentingan tidak boleh berbincang dan membuat persediaan untuk sesi pendengaran awam tersebut.” katanya.

Gabungan itu mengkritik Menteri Besar Amirudin Shari yang menyatakan pada 18 Mac bahawa pada hari PKP dikuatkuasakan, sesi townhall akan diadakan untuk mendapatkan maklum balas mengenai cadangan penyahwartaan berkenaan.

Dilaporkan sebelum ini bahawa Jabatan Perhutanan Selangor menerima 44,292 bantahan bertulis terhadap penyahwartaan itu.

Sementara itu, dalam kenyataan sama, pengarah GEC, Faizal Parish, berkata: "Kami meminta supaya cadangan sesi Pendengaran Awam dan segala langkah-langkah atau urusan dalam proses cadangan penyahwartaan ditangguhkan sehingga selepas Julai 2020.”

Malaysiakini pada 10 Februari lalu melaporkan bahawa 930 hektar tanah rizab itu ditetapkan untuk ditukar status bagi tujuan pembangunan.

Ia selepas Jabatan Perhutanan Selangor meletakkan notis dalam akhbar yang mengundang pihak berkepentingan di daerah itu menyuarakan bantahan mereka terhadap cadangan tersebut dalam tempoh 30 hari.

Tujuh perkampungan Orang Asli yang antara lain berada dalam kawasan itu adalah Kampung Orang Asli Pulau Kempas, Bukit Cheeding, Bukit Kecil, Bukit Perah, Busut Baru, Tanjung Rabok dan Bukit Kamandol.

Selain dari kampung adat, kawasan hutan itu juga dikatakan sebagai rumah kepada spesies flora dan fauna yang terancam.

Amirudin sebelum ini berkata bahawa kerajaan bercadang menukar status kawasan itu menjadi zon pembangunan bercampur.

Amirudin juga berkata 40 peratus kawasan itu terdedah kepada kebakaran.

Laporan oleh Straits Times Singapura mendakwa kerabat diraja adalah antara pemaju tanah yang mungkin terlibat.

Lihat Komen
ADS