Kes rasuah PDRM menurun
Kes rasuah yang membabitkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) didapati semakin menurun, kata Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Fu Ah Kiow.
Kes rasuah yang membabitkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) didapati semakin menurun, kata Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Fu Ah Kiow.
Katanya, daripada 85 kes rasuah pada 2003 telah menurun tujuh kes kepada 78 kes pada 2004 dan seterusnya menurun sebanyak 23 kes menjadi 56 kes pada tahun lalu.
"Sehingga April 2006, terdapat hanya 13 kes rasuah melibatkan PDRM yang disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR)," katanya di Dewan Negara hari ini.
Mengenai kemampuan PDRM menyelesaikan kes jenayah pula, Fu berkata sehingga kini tahap penyelesaian kes jenayah adalah memuaskan, iaitu melebihi 40 peratus berbanding tahap penyelesaian antarabangsa yang hanya 20 peratus.
Katanya, anggota PDRM sentiasa dilengkapkan dengan ilmu dan kemahiran dalam bidang penyiasatan jenayah secara saintifik bagi memastikan mereka memperoleh bahan bukti di tempat kejadian untuk pertuduhan di mahkamah.
Menjawab soalan berhubung usaha kementerian berkenaan membendung penerbitan bahan lucah pula, beliau menyeru orang ramai membuat laporan sekiranya terdapat penerbitan majalah atau bahan cetak lucah yang melanggar undang-undang dalam pasaran.
Fu berkata, kementerian sentiasa menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan tiada penerbitan majalah atau bahan cetak yang menyalahi undang-undang.
"Usaha pemantauan yang dijalankan memang ketat. Kementerian juga menempatkan pegawai di setiap pintu masuk negara untuk semua bahan cetak yang masuk di negara ini," katanya menjawab soalan senator Dr Mohd Puad Zarkashi berkaitan penjualan majalah playboy versi Malaysia di beberapa negeri baru-baru ini.
Fu menegaskan bahawa setiap penerbitan majalah atau mana-mana bahan cetak perlu mendapat kelulusan permit penerbitan daripada kementerian.
Selain itu, katanya penerbit juga perlu menghantar naskah contoh majalah kepada pihaknya sebelum diberi kebenaran dijual di pasaran.
Minggu lalu, akhbar melaporkan Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran KKDN Kelantan, menemui senaskah majalah Playboy versi Malaysia dijual secara terbuka di Kelantan.
Edisi khas kontroversi majalah Playboy bertajuk "Tak Bogel Tapi Lucah" itu, walaupun tidak memaparkan gambar wanita bogel tetapi ia banyak menceritakan kisah berbaur lucah.
Majalah 22 muka surat (tidak termasuk muka hadapan dan belakang) itu dijual dengan harga RM2.80 senaskah didapati menggunakan Permit Penerbitan (PP) bernombor 11650/9/2006 yang dipalsukan penerbitnya.

