Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Perniagaan tak penting ganggu proses kelulusan Miti

Persatuan Perniagaan Kecil Sederhana (PKS) Malaysia berhasrat membantu Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) mengesahkan permohonan syarikat yang memohon untuk meneruskan operasi semasa perintah kawalan pergerakan (PKP).

Presidennya Michael Kang percaya kerjasama di antara sektor awam dan swasta akan mempercepatkan proses kelulusan.

"Lebih daripada 5,000 permohonan telah diluluskan. Kita ada kira-kira 200 permohonan lagi, saya percaya ini boleh disiapkan awal minggu depan," katanya kepada Malaysiakini.

Persatuan itu berhasrat membantu kerajaan kerana pengetahuannya terhadap sektor PKS dan lebih memahami latar belakang ahli-ahlinya.

Dilaporkan Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) yang mewakili lebih 3,000 syarikat pembuatan dan perkhidmatan industri, membantu Miti dalam proses kelulusan berkenaan.

Persatuan SME itu mempunyai lebih daripada 10,000 syarikat dan ahli-ahli persatuan perniagaan dan sebahagian besar daripada mereka terlibat dalam pengeluaran makanan, barangan keperluan dan industri sokongan kepada perkhidmatan yang penting.

Kang berkata, sistem dalam talian yang ditubuhkan oleh Miti untuk perniagaan mendapatkan kelulusan kini sesak, sebahagiannya oleh syarikat yang tidak terlibat dalam menyediakan perkhidmatan penting.

"Ini agak mengganggu pegawai Miti yang bekerja 24 jam sehari, tetapi juga melambatkan proses kebenaran bagi mereka yang bekerja dalam perkhidmatan penting, yang akhirnya boleh membawa kepada gangguan bekalan makanan.

"Sebahagian daripada pemohon juga gagal memberikan butiran dan dokumen komprehensif," katanya.

Beliau menggesa komuniti perniagaan tidak memohon kebenaran untuk beroperasi dalam tempoh PKP jika mereka tidak terlibat dalam perkhidmatan penting dan industri sokongan untuk perkhidmatan penting.

Beliau berkata, persatuannya akan bekerja ke arah membantu industri sokongan untuk beroperasi apabila menerima senarai pengendali perkhidmatan penting, yang memperincikan syarikat-syarikat yang menyokong industri mereka.

Kang juga menjelaskan beberapa kekeliruan yang dihadapi oleh pengusaha perniagaan apabila hanya pengusaha yang terlibat dengan pengeluaran dan pengilangan memohon kelulusan Miti, tetapi pengendali pengagihan pergi kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan.

Kerajaan melaksanakan PKP untuk membendung penyebaran jangkitan Covid-19.

Dalam tempoh ini, pengendali perkhidmatan dan pengendali industri sokongan perlu memohon kelulusan untuk beroperasi.

Majikan dikehendaki menyediakan surat rasmi, atau permit perjalanan untuk pekerja memudahkan pergerakan mereka sekiranya mereka dihentikan oleh anggota penguatkuasa dalam tempoh tersebut.

Kementerian menetapkan 24 Mac sebagai tarikh akhir untuk syarikat memohon kelulusan.

Setelah laman web MITI tidak lagi boleh diakses, ia terpaksa bergantung kepada media sosial untuk melakukan hebahan.

Terdapat juga aduan daripada pengusaha bahawa mereka tidak boleh menghubungi talian hotline MITI.

Kementerian berkenaan telah memohon maaf dan menjelaskan bahawa ia mengendalikan 700 panggilan setiap hari. 

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS