Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
The Edge kecewa Ismail Sabri tak semak sebelum buat kenyataan
Diterbitkan:  Mar 29, 2020 8:40 PM
Dikemaskini: 12:57 PM

Syarikat penerbitan The Edge menyatakan rasa kecewa apabila Menteri Kanan, Ismail Sabri Yaakob, membuat kenyataan menuduh mereka menyiarkan "berita tidak benar" tanpa membuat semakan terlebih dulu.

Dalam kenyataan bersama dikeluarkan petang ini, Ketua Pegawai Eksekutif The Edge, Ho Kay Tat, dan ketua pengarangnya, Azam Aris, berkata walaupun Ismail tidak merujuk secara khusus laporan yang disiarkan, terdapat mesej tular di media sosial dan mengandungi pautan diterbitkan di www.theedgemarkets.com.

Berita itu bertajuk "MCO: SOP to be tightened in control phase - Ismail Sabri" yang dibekalkan oleh agensi berita negara, Bernama, yang memetik menteri terbabit.

Kata mereka, ada pihak tertentu menyebarkan laporan berkenaan dengan melampirkan senarai kononnya lokasi tertentu yang akan dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

"Hantaran itu bukan dilakukan oleh kami. Memang jelas pihak yang melakukannya menggunakan tajuk berita dibuat Bernama yang kami siarkan di www.theedgemarkets.com, dengan memasukkan maklumat palsu kawasan yang terjejas.

"Kami kecewa semasa bersiaran dalam televisyen Ismail Sabri membuat tuduhan tanpa asas mendakwa kami menerbitkan berita palsu tanpa menyemak hantaran di media sosial itu milik kami atau tidak," kata Ho dan Azam.

Terdahulu semasa mengadakan sidang media untuk menjelaskan perkembangan terkini wabak Covid-19, Ismail Sabri mendakwa ada laporan dibuat berkenaan pelaksanaan PKPD yang seolah-olah datang daripada beliau.

Sentiasa bertanggungjawab buat laporan

"Semua kawasan yang kononnya akan di-lockdown secara total... berita ini adalah tidak benar, dibuat seolah-olah statement daripada saya.

"Saya tak pernah buat statement kepada media atau The Edge pun.

"Laporan yang menggunakan nama saya oleh The Edge Markets adalah tidak benar sama sekali dan boleh dianggap sebagai berita palsu," katanya.

Justeru, kata Ho dan Azam, mereka berharap pihak berkuasa akan menjalankan siasatan berhubung isu berkenaan.

"Ketika ini negara berdepan dengan suasana sukar.

"The Edge akan sentiasa mengamalkan kewartawanan bertanggungjawab. Kami juga memainkan peranan kami melebihi tugas dalam melaporkan berita.

"Kami telah mengumpulkan syarikat korporat Malaysia untuk mengumpul dana bagi membeli peralatan buat kegunaan hospital melalui The Edge Covid-19 Equipment Fund, serta memberi bantuan kepada pekerja penjagaan kesihatan yang sakit melalui The Edge Covid-19 Health Support Workers Fund," kata mereka.

Ho Kay Tat

Menurut Ho dan Azam, apa yang berlaku hari ini adalah kejadian kedua pertubuhan berita itu dikaitkan dengan mesej palsu di media sosial.

"Kami menjangkakan akan ada lebih banyak hal sebegini pada masa depan, tetapi ia tidak akan mengganggu tugas kami - sama ada melaporkan berita atau menjalankan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR)," kata mereka.

The Edge bukanlah satu-satunya pertubuhan berita yang dikaitkan dengan berita palsu yang disebar bersama laporan sebenar.

Pada 16 Mac lalu, tular satu mesej mendakwa perintah berkurung akan dilaksanakan dan menggesa orang ramai menyimpan barangan keperluan harian.

Bersama mesej itu disertakan laporan Malaysiakini mengenai status kempen melawan Covid-19 yang memasuki fasa pengekangan akhir.

Laporan Malaysiakini itu tidak menyebut mengenai perintah berkurung.

Justeru pembara dinasihat agar sentiasa mendapatkan laporan berita secara langsung dari laman sesawang sesuatu pertubuhan berita dan bukannya melalui mesej yang ditularkan.

Lihat Komen
ADS